Fair Game

FILEM: Fair Game
ARAHAN: Doug Liman
PELAKON: Naomi Watts, Sean Penn and Sonya Davison
GENRE: Aksi drama
TAYANGAN: 16 Disember 2010
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari
SUMBER: Harian Metro
Fair Game
Sinopsis Dan Ulasan Fair Game

SAAT menonton sebahagian besar filem yang diadaptasi daripada kisah benar yang berlaku pada ejen perisik CIA bernama Valerie Plame ini, penulis agak skeptikal pada mesej yang cuba disampaikan pengarahnya, Doug Liman. Adakah ia satu lagi filem yang cuba mengetengahkan isu pengganas dan agama yang pernah ditonjolkan dalam kebanyakan filem Hollywood? Lebih-lebih lagi tatkala latar bandaraya Kuala Lumpur, Nigeria dan Iraq dijadikan lokasi perisikan CIA mencari pengganas.

Jika diimbas kembali, ia memang tidak mustahil ekoran kebanyakan filem mereka sering menggambarkan sudut pandang dari kaca mata barat yang bersifat propaganda. Tapi selepas menonton keseluruhan plot rakaman semula pendedahan bekas ejen itu, penonton pasti tersentuh pada mesej keamanan yang terselit secara metafora.

Biarpun plot penceritaannya tampak berat, ia sebenarnya membawa mesej yang ‘panas’ kepada Amerika Syarikat (AS) terutamanya golongan pemimpin di Rumah Putih. Pengarah dan penulis lakon layar bijak menggunakan isu pasca peperangan di Iraq dan senjata nuklear yang digembar-gemburkan pihak berkenaan untuk diterjemahkan ke layar lebar.
Fair Game
Malah pemilihan kisah benar ejen terbabit yang menjadi mangsa percaturan politik di negara Uncle Sam itu bagai kena pada batang hidung sesetengah individu di sana. Mungkin agak basi untuk isu berkaitan peperangan, pengganas, senjata nuklear dan Saddam Hussein dijadikan sub-plot, Fair Game boleh didefinisikan sebagai filem yang menjawab banyak persoalan berkaitan isu berbangkit selepas pemerhatian jangka masa panjang.

Lebih memberi kesan mendalam tatkala penampilan dua pelakon besar Hollywood, Sean Penn dan Naomi Watts yang berjaya membawa watak Joe Wilson dan Valerie Plame yang menghadapi tekanan daripada Rumah Putih. Secara jelas, lontaran rasa Sean Penn memang tidak dapat disangkalkan. Pembawaan Joe yang bersifat agresif untuk berjuang menegakkan kebenaran tidak pernah lekang dalam hidupnya.
Fair Game
Segalanya bermula apabila status Valerie sebagai ejen CIA didedahkan pegawai atasan Rumah Putih kepada pihak media selepas suaminya menulis di dalam The New York Times pada 2003 mengenai pihak pengurusan Presiden Bush yang memanipulasi maklumat senjata pemusnah di Iraq.

Joe dan Valerie yang turut terbabit dalam operasi penyiasatan berkaitan senjata yang dikatakan wujud di negara Teluk itu percaya maklumat yang dikumpul mereka dimanipulasi pihak tertentu untuk teruskan tujuan perang ke atas Iraq.

Sekiranya penonton mengikuti perkembangan semasa dunia berkaitan isu politik yang melanda kedua-dua negara berkenaan dalam tempoh dua dekad ini, pasti banyak isu berkaitan berjaya dirungkai. Bagi penulis sendiri, ia satu usaha yang berjaya menyentuh isu sensitif secara adil tanpa perlu menuding salah kepada mana-mana pihak.
Fair Game
Daripada segi teknikal, penonton pasti kurang senang dengan teknik kerja kamera yang sentiasa bergerak hingga mampu memeningkan kepala. Walaupun ia bertujuan untuk mewujudkan unsur rakaman realiti, ia mungkin agak keterlaluan apabila diterjemahkan ke layar lebar yang nisbah keluasannya lebih besar.

Secara jelas, filem ini adalah naskhah yang mungkin membosankan sesetengah pihak yang kurang faham dengan isu berbangkit. Tapi ia berbaloi ditonton sebagai naskhah yang menjentik pemikiran kita. Bak kata pepatah Inggeris ‘jangan menilai buku pada kulitnya’.