Mualim (TV1)

Mualim (TV1)
Tarikh : 24 Disember 2010
Hari: Jumaat
Masa: 10.30 pagi.
Pelakon: Rusdi Ramli, Lisdawati, Wan Hanafi Wan Su, Aznah Hamid dan Armand Yadi
Slot: Nurani
Sumber: Budiey.com

Rusdi Ramli

Sinopsis Mualim (TV1)

Telemovie yang penuh dengan pengajaran dan iktibar ini berlatarkan sekitar situasi dimana pasangan kekasih yang merancang perkahwinan namun pada masa yang sama hubungan mereka diintai dengan rasa cemburu dan tidak puas hati pemuda yang telah ditolak cintanya oleh wanita itu dahulu. Lelaki itu menyimpan dendam kesumat terhadap wanita yang nyata begitu angkuh dengan kekayaan keluarganya itu.

Kisahnya bermula dengan memperkenalkan watak Shamsiah seorang gadis cantik dengan kulit gebu yang menjadi impian teruna-teruna di kampungnya dan kawasan berdekatan. Shamsiah tinggal di rumah kedua orang tuanya dan dia membantu mereka iaitu Mansor dan Kiah mengusaha kilang batik.

Di kalangan kenalan rapat dan penduduk setempat, keluarga Mansor amat di segani kerana mereka orang berada dan sombong pula. Sikap sombong dan bermegah-megah Mansor dan Kiah terbawa-bawa oleh Shamsiah yang terlalu berbangga dengan kecantikannya yang menjadi kegilaan anak-anak muda.

Ramai jejaka-jejaka berhasrat untuk menjadikan Shamsiah sebagai calon isteri terpaksa memendamkan saja hasrat mereka kerana tahu impian mereka hanya akan dipersenda oleh merak kayangan itu. Hanya Shamsul iaitu anak kepada Suki dan Kinah, yang menjadi pemborong batik boleh dikatakan kalangan orang berada, yang berani memikat Shamsiah.

Tetapi Shamsul hanya bertepuk sebelah tangan kerana Shamsiah tidak menyukai dirinya. Hati Shamsul pedih apabila mendengar Shamsiah menganggapnya tak ubah seperti gagak di rimba yang berangan untuk bersanding dengan merak kayangan lantaran Shamsul tidak mempunyai sebarang pekerjaan selain membantu ibubapa menjual batik.

Tidak cukup dengan kekurangannya itu, Shamsul juga dicap sebagai penjenayah kerana pernah meringkuk dalam lokap. Shamsul menyimpan perasaan dendam terhadap keluarga Mansor dan Kiah. Dia cuba menghasut kedua orang tuanya supaya tidak memborong batik dengan kilang Mansor dan Kiah dan telah menyebabkan berlakunya perang mulut antara mereka sekeluarga.

Kiah membawa Shamsiah bertemu Hassan iaitu anak Mek Yam di kedai emas milik Mek Yam. Dipertemuan itu, Shamsiah dan Hassan jatuh cinta pandang pertama kerana Hassan terpikat dengan kecantikan Shamsiah dan Shamsiah memuja kekacakan Hassan. Dua tiga hari selepas pertemuan itu, heboh satu kampung Shamsiah akan bertunang dengan anak bandar dan anak kepada saudagar emas pula.

Berita pertunangan Shamsiah tersebar keserata kampung dan sampai ke telinga Shamsul. Dalam diam-diam Shamsul berhasrat untuk membalas dendam terhadap Shamsiah yang pernah menghina diri dan keluarganya. Shamsul berikar bahawa dia tidak akan membiarkan Hassan memiliki Shamsiah. Padanya biar dia dan lelaki itu sama-sama berputih mata.

Semakin hampir pertunangan Shamsiah dengan Hassan, semakin membuak-buak kemarahan Shamsul lebih-lebih lagi bila mendengar orang kampung bercerita tentang kehebatan persiapan pertunangan itu. Akhirnya Shamsiah dan Hassan bertunang juga. Tetapi pertunangan itu hanya bertahan tiga bulan sahaja bilamana tiba-tiba Shamsiah meminta pertunangannya dengan Hassan diputuskan. Permintaan Shamsiah itu bukan setakat mengejutkan Hassan tetapi ahli keluarganya juga.

Apakah alasan yang diberikan oleh Shamsiah untuk memutuskan pertunangannya itu? Untuk mengetahui kesudahan ‘Mualim’, jangan lupa temujanji anda pada 24 Disember, 2010 ini jam 10.30 pagi hanya di TV1.