Akademi Al-Quran Musim 5 (TV9)



Akademi Al-Quran kembali lagi untuk musim yang kelima atas sambutan yang menggalakkan dari para penonton dan penyertaan yang cukup memuaskan. Pada musim ini sekali lagi, kita akan dapat menyaksikan 10 peserta dari serata negeri yang telah berjaya dipilih untuk menyertai program ilmiah ini.

Akademi Al-Quran merupakan signature program bagi TV9 dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton sehingga mencecah 1.5 juta penonton telah membuatkan program ini muncul lagi dengan musim kelima.

Pada musim terbaru ini, AQ5 bakal menampilkan dua hos berpengalaman, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga merupakan pemenang kedua AQ3 dan pernah menjuarai Pertandingan Antarabangsa Al-Quran 2009 serta Mohd Zhafran Zainuldin yang juga merupakan adik kepada Ustaz Mohd Zamri Zainuldin. Kelebihan kedua-dua hos ini ialah mereka amat fasih berbahasa Arab.

Akademi Al-Quran 5 akan menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam yang sudah pun bermula sejak 8 Januari 2011 yang lalu dan diterajui oleh penerbit Shukri Ibrahim dan penerbit eksekutif Nuraeshah Malik.

Tujuan diwujudkan rancangan ini adalah untuk melahirkan generasi Al-Quran dengan mendedahkan mereka mengenai ilmu pembacaan Al-Quran, menekankan elemen berlagu serta tarannum dan qiraat tertentu dan paling utama adalah menyemarakkan minat penonton terhadap ilmu Al-Quran melalui satu-satunya rancangan realiti berteraskan Al-Quran.

Berikut adalah 10 peserta Akademi Al-Quran musim ke-5:

1. Muhammad Ariff Razali 15 Perak
2. Mohd Zakiuddin Hj Hanafi 16 Johor
3. Muhammad Shamil Shaikhuddin 17 Kelantan
4. Mohammad Najmi Bin Yasak 19 Kedah
5. Mohamad Husaini Mahmur 19 Negeri Sembilan
6. Muhamad Azlan Syah Zakaria 20 Perak
7. Khairul Amin Hj Kassim 21 Kedah
8. Muhamad Nasir Mohamad Salleh 21 Selangor
9. Suhailah Zulkifly 22 Melaka
10. Mohd Syahriansyah Apin 25 Sabah

AQ5 yang menjadi signature program bagi TV9 ini juga memberi peluang kepada 10 pesertanya untuk menjalani aktiviti mingguan menarik yang mungkin tidak pernah mereka lakukan sebelum ini seperti bertemu secara peribadi tokoh agama yang dihormati YBhg Tan Sri Hassan Azahari, melawat Les Copaque iaitu syarikat yang bertanggungjawab “melahirkan” kartun animasi terkenal Malaysia iaitu Uipn & Ipin dan banyak lagi.

AQ5 yang mempunyai 12 episod ini turut menampilkan tiga juri berpengalaman dan pakar di dalam bidang tertentu seperti Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat) dan Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum) yang sememangnya telah menjadi juri tetap program ini dari musim pertama.

Sementara Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar pula merupakan juri baru yang akan memantau tajwid dan fasohah para peserta kelak.

Menariknya musim kelima ini, penonton berpeluang untuk mengenali 10 bakal peserta AQ5 menerusi Nota AQ5 yang akan disiarkan selama tiga minit pada setiap Isnin hingga Jumaat iaitu pada jam 7.57 pagi dan ulangannya pada 10.57 malam.

Penonton akan bersama-sama peserta menimba satu pengalaman baru di mana menerusi segmen ini, ia mengupas tentang perkara seharian yang kita lakukan selama ini yang secara tidak langsung memberi kesan di dalam kehidupan harian kita. Contohnya berkaitan pemakanan, pembacaan dan pentafsiran Al-Quran.

Sementara itu, Di Sebalik AQ5 juga turut diperkenalkan pada musim ini dan akan disiarkan selama setengah jam pada setiap Jumaat pada jam 6.30 petang.

Menarik tentang Di Sebalik AQ5 ini, penonton dapat melihat gelagat peserta dan juga perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas tarannum, tajwid dan qiraat dan juga perkara-perkara yang berlaku di dalam kelas.

Teruskan menonton Akademi Al-Quran Musim Kelima menerusi stesen TV9, saluran Di Hatiku.

SUMBER ULASAN: BUDIEY.COM