Song of Sparrow

FILEM: Song of Sparrow
ARAHAN: Majid Majidi
PELAKON: Reza Naji, Maryam Akbari, Kamran Dehghan dan Hamed Aghazi
GENRE: Drama
TAYANGAN: 6 Januari 2011
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari (Harian Metro)

Song of Sparrow

Sinopsis Song of Sparrow

Mengisahkan Karim yang bekerja di ladang ternakan burung kasawari di pinggir Teheran. Hidup serba sederhana bersama isteri dan tiga anak, Karim disifatkan sebagai bapa penyayang tapi tegas terhadap keluarganya.

Song of Sparrow
Satu hari insiden tidak diingini berlaku apabila seekor burung itu terlepas dari kandang secara tidak sengaja. Karim yang dipertanggungjawab untuk menjaga pintu kandang ketika itu dipecat biarpun pelbagai usaha dilakukannya untuk menangkap burung itu kembali.

Reda dengan apa yang berlaku, Karim tetap cekal meneruskan kehidupannya bersama keluarga. Dalam kebuntuan mendapatkan wang untuk membeli alat bantuan pendengaran untuk anak gadisnya yang pekak di pusat bandar, dia mendapat ilham tatkala menjadi penunggang teksi-motosikal secara tidak sengaja.
Song of Sparrow
Bermula dari situ, hidup Karim berubah. Malah ketika berada dalam lingkungan masyarakat bandar, Karim mula disogok dengan nilai buruk yang wujud; tamak, pentingkan diri sendiri dan tidak jujur. Sedikit demi sedikit sikap itu mula mengaburi Karim hingga memberi kesan terhadap hubungannya bersama keluarga.

Pun begitu, beberapa babak yang menunjukkan Karim terpaksa berperang dengan perasaannya tatkala dirinya dihimpit rasa bersalah membuktikan biarpun hampir tenggelam dalam emosi negatif, dia mampu mengubahnya.

Sebagai penonton, penulis dapat rasakan sikap dan sifat itu berjaya disampaikan tanpa berlebihan. Apatah lagi lontaran rasa Karim yang akhirnya sedar daripada sikap negatif yang dibawanya kena tepat ke minda penonton.
Song of Sparrow
Pengakhiran, karya asli genre kekeluargaan sutradara Majid Majidi ini tidak sebosan disangka, terutama jika kita menontonnya dengan hati terbuka.

Tidak perlu menampilkan unsur hero berbadan tegap mahupun wanita bertubuh seksi, Song of Sparrow hanya sebuah filem yang bertujuan mendidik sosial secara metafora mudah.