TRUE GRIT

TRUE GRIT

FILEM: True Grit
ARAHAN: Ethan Coen dan Joel Coen
PELAKON: Hailee Steinfeld, Jeff Bridges, Matt Damon dan Josh Brolin
GENRE: Drama
TAYANGAN: 24 Februari 2011
ULASAN: Shakilawati Abd Rahman (HARIAN METRO)

SINOPSIS TRUE GRIT

SELEPAS mengangkat No Country for Old Men, pasangan adik beradik, Ehtan Coen dan Joel Coen sekali lagi mengadaptasikan novel Charles Portis berjudul True Grit yang diterbitkan pada 1968 ke layar perak.
TRUE GRIT
Dicalonkan dalam 10 kategori Academy Award, termasuk Filem Terbaik, menjadikan True Grit sebuah karya yang wajib ditonton. Kehebatan filem ini terletak pada jalan ceritanya, semangat watak utama dan sinematografi.

Disampaikan menerusi perspektif gadis berusia 14 tahun bernama Mattie Ross (Hailee Steinfeld) yang sanggup berdepan apa saja kesukaran demi menjejaki pembunuh bapanya. Dia bertekad membawa Tom Chaney (Josh Brolin) ke muka pengadilan dan untuk memenuhi hasrat itu dia mengupah Marshal Rooster Cogburn (Jeff Bridges) yang terkenal dengan keberaniannya.
TRUE GRIT
Pemburuan itu turut dibantu Texas Ranger, LaBouef (Matt Damon). Biarpun kehendak berbeza, tujuan mereka sama iaitu menangkap Chaney. Bermula dengan malam kelam, bersalji dan sejuk serta kematian bapa Mattie di depan pintu rumah, penonton dibawa mengembara bersama gadis berjiwa kental itu menyusuri perjalanan jauh untuk menuntut bela.


Semangat dan kedegilan gadis ini memberikan inspirasi. Mengembara sendirian, dia tidak gentar berdepan orang asing, malah sanggup meredah bahaya untuk menangkap Chaney. Paling menangkap jiwa, dia meredah sungai berarus deras dan dalam semata-mata mahu turut serta dalam pemburuan pembunuh bapanya. Keberanian luar biasanya mengejutkan Cogburn dan LaBouef, sekali gus menggeletek hati penonton.
TRUE GRIT
Hailee berjaya mewarnakan watak Mattie hingga nampak sangat bersahaja, bijak, berani dan sinikal. Ia bukan sesuatu yang mudah dilakonkan, tetapi dia melakukannya dengan baik. Melihat persembahannya, terbukti gadis ini berpotensi besar dan tidak mustahil dilabelkan sebagai pelakon kelas A satu hari nanti. Dia bijak menyeimbangkan lakonan hinggakan keserasiannya dengan Bridges dapat dirasai. Ekspresi wajah Hailee juga bisa memancing simpati penonton terhadap nasibnya.
TRUE GRIT
Interaksi antara Hailee, Bridges dan Damon sangat menghiburkan, malah pengarah bijak menyelitkan elemen serius, aksi dan lucu sepanjang penceritaan hingga menjadikan filem ini tidak bosan ditonton. Biarpun naratifnya perlahan, ia sebuah karya unik dan sangat berinspirasi. Keseluruhannya, True Grit karya yang cukup rencahnya, bahkan tidak mustahil ia merangkul beberapa trofi Academy Award.