THE ADJUSTMENT BUREAU

FILEM: The Adjustment Bureau
ARAHAN: George Nolfi
PELAKON: Matt Damon, Emily Blunt, Anthony Mackie, John Slattery dan Shohreh Aghdashloo
GENRE: Thriller Aksi
TAYANGAN: 3 Mac 2011
ULASAN: Murshid Eunos (HARIAN METRO)

THE ADJUSTMENT BUREAU
BUNYI judulnya macam hebat. Dengar nama teraju utamanya cukup untuk menarik minat bagi menyaksikan filem ini. Hakikatnya, ia tidak seindah disangka. Atau mungkin terlalu meletak harapan tinggi kepada filem arahan George Nolfi ini, The Adjustment Bureau hanya naskhah biasa.

Kisahnya memang rumit dan tidak logik jika difikirkan, iaitu wujudnya sebuah pasukan yang mengawal masa depan individu tertentu. Mereka menentukan apa patut berlaku dan apa juga yang perlu difikirkan.

Imaginasi penulis lakon layar memang besar, sayangnya plot cerita tidak dikembangkan dengan kemas hingga membuatkan rasa tidak relevan mula terlintas.
THE ADJUSTMENT BUREAU
Bagaimanapun, pembangunan watak dan karakter tampak menarik dan bersesuaian dengan personaliti pelakonnya, terutama Matt Damon yang memegang watak David Norris serta watak Elise Sellas lakonan Emily Blunt.


Norris dibesarkan di New York, punya pendirian dan peluang besar dalam kerjayanya sebagai pemimpin bandar. Melalui pilihan raya yang bakal diadakan, Norris mula memancing kepercayaan penduduk kota New York untuk mengundinya, namun ada pihak lain yang tidak henti-henti menabur fitnah bagi mewujudkan permainan politik kotor.


Usianya yang masih muda memudahkan pihak lawan menyebarkan gambar peribadi nakalnya bersama teman hingga menjejaskan kepercayaan pengundi. Namun Norris memberanikan diri bagi membuat ucapan dan meyakinkan semula pengundinya.

Ketika sibuk berlatih untuk memberi ucapan di dalam tandas, dia dipertemukan dengan Elise, gadis yang punya personaliti besar. Mulalah detik rasa minat dan kemudian cinta.

THE ADJUSTMENT BUREAU
Sayangnya, hubungan mereka hanya di situ kerana reputasi Norris sebagai wakil rakyat tidak boleh dicemarkan dengan skandal atau agenda peribadi lain.

Tidak semena-mena, Norris terperangkap dalam pergerakan kumpulan jahat itu yang ingin menentukan takdir buatnya. Bayangkan, Norris diculik dan disumbat di sebuah bilik yang mana tiada siapa yang nampak. Hanya dirinya yang lihat dan tahu perkara itu.
THE ADJUSTMENT BUREAU
Mereka tidak membenarkan Norris bertemu semula dengan Elise. Bimbang ugutan kumpulan itu yang ingin memusnahkan ingatannya jika ingkar, Norris akur.


Tiga tahun kemudian, dia bertemu semula dengan Elise tanpa diduga. Kali ini, kerana terlalu rindu dan perasaan cintanya yang masih membara, Norris tekad melanggar peraturan kumpulan itu.