AL-HIDAYAH (TV3)


AL-HIDAYAH (TV3)
Hari Tayangan: setiap hari Jumaat
Masa: 1.00 tengahari
Sumber : budiey.com

ULASAN AL HIDAYAH (TV3)
Program Al-Hidayah yang bersiaran selama 30minit masih menampilkan Nazrah Noor Rahmat sebagai pengacara dalam memainkan peranannya untuk berkongsi ilmu berkaitan ajaran Islam yang lebih menyentuh jiwa dan tertumpu kepada iman, taqwa dan kerohanian. Meskipun iman, taqwa dan kerohanian sering disebut, namun ianya tidak pernah diajar secara teori dan praktikal secara khusus. Al-Hidayah musim baru ini lebih khusus, sufi dan fokus menjadikan kupasan topik lebih mendalam sambil menyentuh hati.

Episod pertama pada 4 Mac 2010 menyiarkan isu ‘Hikmah Mussibah’ akan merungkai persoalan individu yang dilanda musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan berdasarkan ayat Al-Quran. Menampilkan ulama tersohor iaitu Dato Abu Hassan Al-Hafiz untuk merungkai takrif musibah, apa perlunya musibah, jenis-jenis musibah dan bagaimana menghadapi musibah.

Antara kelainan ketara musim baru ini juga akan memperlihatkan huraian topik yang dibantu dengan klip grafik dan paparan visual menarik dengan diselang-seli dengan lagu-lagu kerohanian dan nasyid. Dalam segmen kedua, ianya akan memperkenalkan tokoh keagamaan dalam memulakan kajian dan perbincangan. Selepas itu, respoden yang telah mengalami situasi sebenar akan ditampilkan untuk mendapatkan kesimpulan pada penghujung rancangan.

Antara isu lain yang mendapat perhatian ialah ‘Berkati Usia’ yang berdasarkan Surah al-A’raf ayat3 akan memperdengarkan ulasan daripada Ustaz Mohad Nizam Abdul Kadir bagaimana mengisi usia mengikut Islam kerana perkara utama dan pertama bagi umat Islam adalah untuk berlumba-lumba mengisi usia dan memenuhinya dengan amal ibadat dalam usaha mengumpulkan sebanyak mana pahala sepanjang usia yang diberi.

Seterusnya, episod 3 yang membawa isu ‘Melebur Takabbur’ berdasarkan Riwayat Abu Daud bersama Ustaz Roslan Mohamed. Takabbur sering menyerang individu yang mempunyai potensi yang terdiri daripada aspek kekayaan, keturunan, kerjaya, penganugerahan dan sebagainya. Ustaz Roslan Mohamed akan merungkai definisi Takabbur, tanda-tanda dan peringkat Takabbur yang terbahagi kepada hati, perbuatan dan ucapan.