BEASTLY




FILEM: Beastly
ARAHAN: Daniel Barnz
PELAKON: Alex Pettyfer, Vanessa Hudgens dan Mary-Kate Olsen
GENRE: Romantik
TAYANGAN: 5 Mac 2011
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari (HARIAN METRO)

SINOPSIS FILEM BEASTLY

JIKA pernah membaca atau menonton kisah dongeng Barat iaitu Beauty & The Beast, pasti filem ini akan mengembalikan nostalgia itu tapi dalam versi lebih ‘remaja’ dan moden.

Kisah seorang bangsawan yang disumpah menjadi buruk dan berbulu lebat kerana sifatnya yang jahat bertukar baik dan kacak selepas jatuh cinta dengan si gadis jelita.

Cuma kisah kali ini, ia mengambil tempat remaja lelaki bernama Kyle yang disumpah gadis pelik, Kendra kerana sering menjadi mangsa buli Kyle.

Untuk kembali kacak, Kyle diberi tempoh setahun untuk jatuh cinta dengan gadis jelita yang boleh menerima keburukannya. Jika tidak, dia akan terus kekal buruk sampai bila-bila.


Biarpun mengambil plot sama kisah legenda itu, filem yang juga adaptasi daripada buku berjudul Beastly ini kurang menyerlah daripada segi lakon layar serta pemilihan pelakon, terutama Vanessa Hudgens.

Lakonan Hudgens dilihat terlalu ‘comel’ untuk dikategorikan sebagai gadis jelita yang matang. Manakala cetusan rasa Alex Pettyfer sebagai jejaka berlagak yang disumpah buruk pula serba canggung.

Kemunculan Mary-Kate Olsen yang antagonis sebagai Kendra yang serba pelik dan penuh misteri pula bagai sebuah pertunjukan fesyen bertema Gothik.

Terjemahan istilah buruk melalui tatu yang menghiasi seluruh tubuh Kyle mungkin kurang sesuai sebab jika dilihat dengan teliti ia agak klise di dalam dunia yang serba moden, apatah lagi apabila pelik itu adalah elemen gaya tersendiri.

Bagaimanapun, penulis kagum dengan sentuhan sinematografi dan elemen estetika yang cuba diketengahkan pengarah seni.

Beberapa babak yang menonjolkan perubahan ‘mood’ dan senario cinta yang bermain di dalam diri Kyle dan Lindy berjaya membuai imaginasi penonton.

Malah beberapa elemen berkaitan kemanusiaan seperti kasih sayang, rela berkorban demi keluarga digarap dengan jujur. Sekali gus menjadikan filem ini sesuai ditonton seisi keluarga dan remaja yang perlu ruang untuk memperbaiki diri.

Beastly mengisahkan Kyle, remaja yang hidup serba mewah dan dikurniakan wajah kacak. Sayangnya, dia sering berlagak dan membuli mereka yang kurang menarik di matanya.

Antara mangsa bulinya ialah Kendra yang berpenampilan pelik dan unik di sekolah. Untuk memberi pengajaran kepada Kyle, Kendra menyihir Kyle berupa buruk, lantas terpaksa menjauhkan diri daripada bertemu semua orang.

Dalam usahanya untuk pulih, Kyle bertemu Lindy yang akhirnya turut mengubah sikap buruk Kyle menjadi lebih baik dan jujur kepada semua orang.