DRIVE ANGRY

DRIVE ANGRY

FILEM: Drive Angry
ARAHAN: Patrick Lussier
PELAKON: Nicolas Cage, Amber Heard, William Fichtner, Billy Burke dan Christa Campbell
GENRE: Action/Thriller
TAYANGAN: 25 Februari 2011
ULASAN: Shakilawati Abd Rahman (HARIAN METRO)

SINOPSIS DRIVE ANGRY

NICOLAS Cage kembali dengan satu lagi watak stereotaip, beraksi sebagai lelaki yang lari dari neraka untuk membalas dendam kematian anak perempuannya. Elemen neraka, api, kemarahan, dendam dan misteri sebati dengan dirinya, tidak hairan mengapa filem sebegini bagaikan menjadi makanannya.

Melakonkan watak John Milton, suami bengis tetapi bapa penyayang, dia diberi peluang terakhir untuk membalas dendam terhadap menantunya, Jonah King, yang mengetuai satu kumpulan ajaran sesat.

Dia juga perlu menghalang pengamal ajaran sesat itu daripada mengorbankan cucunya pada malam bulan penuh dalam tempoh tiga hari.
DRIVE ANGRY
Kemarahan yang membuak-buak menjadikan dia hilang belas ehsan. Dengan bantuan pelayan restoran bernama Piper (Amber Heard) ramai kecundang di tangannya dalam keadaan mengerikan. Keadaan semakin panas apabila dia diburu syaitan, The Accountant (William Fichtner) yang bertanggungjawab membawa Milton pulang ke neraka.


Biarpun banyak aksi mencemaskan, sarat dengan pembunuhan kejam, tembak-menembak dan deruman laju kereta, filem ini biasa-biasa saja. Jalan ceritanya klise dan dapat diduga seawal tayangan.

Pengarah cuba menjual elemen seks tetapi ia gagal membantu usaha menjadikan filem ini karya menarik. Filem ini tidak sesuai ditonton remaja kerana banyak adegan panas dan berahi.
DRIVE ANGRY
Bagaimanapun, babak aksi dalam Drive Angry wajar dipuji kerana ia menjadi. Tidak hairan andai ada penonton terkejut melihat keganasan dalam filem ini, terutama ketika Milton memburu tiga mangsanya di awal tayangan dan babak tembak-menembak di motel ketika Milton bermesra dengan pelayan.
DRIVE ANGRY
Aksi tangkas Milton dan Piper ketika menentang lawan menjadi penyelamat kepada filem ini, begitu juga kehadiran The Accountant. Aksi bersahaja, senyuman sinis dan kata-kata wakil neraka itu secara tidak langsung mampu meredakan perasaan bosan.

Bagi yang sukakan filem aksi, Drive Angry mungkin sesuai dengan jiwa mereka.