THE FIGHTER

FILEM: The Fighter
ARAHAN: David O Russell
PELAKON: Mark Wahlberg, Christian Bale, Amy Adams dan Melissa Leo
GENRE: Drama
TAYANGAN: 3 Mac 2011
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari (harian metro)
THE FIGHTER
DICALON di anugerah Oscar minggu lalu boleh dikatakan sebagai peralihan Mark Wahlberg kepada sisi lebih fokus. Apatah lagi The Fighter yang juga filem terbitannya ini turut mengangkat Wahlberg sebagai peninju legenda ‘Irish’ Micky Ward.

Penekanan pada elemen drama dan kekeluargaan menjadi resipi utama yang menggerak plot The Fighter. Bagaimanapun, filem genre biografi yang diangkat daripada kisah benar peninju muda yang cuba mencipta nama ini kurang menyerlah.
THE FIGHTER

Bukan kurang daripada segi lakonan tapi pemilihan kisah realiti yang kurang impak, terutama apabila kisah peninju bernama Micky Ward dipilih ke layar lebar.

Nama Micky tidak segah Muhammad Ali, Mike Tyson, Sugar Ray Leonard, Manny Pacquiao, Prince Nassem atau Oscar de la Hoya yang jauh lebih mencipta sejarah mereka sendiri.


Sekalipun Wahlberg menjadi teraju utama, lakonan Christian Bale dan Melissa Leo sebagai abang dan ibu lebih menjadi lantas menenggelamkan karakter Micky. Tidak hairan kedua-dua aktor dan aktres itu berjaya memenangi hati juri Oscar 2011.

THE FIGHTER
Bagi penulis, ia mungkin berpunca daripada cetusan rasa yang dilontarkan Wahlberg agak klise dan tampak terkawal, lantas menjadikannya tidak ubah seperti lakonannya sebelum ini. Manakala kehadiran Amy Adams sebagai kekasih Micky juga seolah-olah tenggelam dan kurang berkesan.

The Fighter mengisahkan perjalanan kerjaya peninju muda yang ingin memegang juara dunia kategori ‘welterweight’. Dalam usahanya itu, dia mendapat tunjuk ajar daripada abang tirinya, Dicky (Bale) bekas peninju profesional yang pernah menumpaskan Sugar Ray Leonard sekitar 1980-an.


Pun begitu, Micky seolah-olah terpenjara dalam kekangan keluarga yang terlalu mengongkong setiap pilihan yang ingin dilakukan. Malah setiap perlawanan yang disertai sering diatur ibunya, Alice (Melissa).

Lantas menjadikan perkembangan kerjaya Micky berhasil. Pada masa sama, abangnya pula berdepan masalah dadah dan jenayah sehingga sering mengabaikan keluarganya.


Filem ini bergerak pada skala perlahan namun meninggalkan kesan mendalam.