NURIN QISTINA (TV2)

NURIN QISTINA (TV2)
Tarikh TayanganL: 28 Februari 2011,
Hari Tayangan: setiap Isnin hingga Khamis,
Masa Tayangan: 3.30 petang di TV2
Pelakon: Yana Shamsuddin, Erry Putra, Zarynn Min, Amran Ismail, Shahrulzaman, Kismah Johar dan Abu Bakar Juah.
Sumber: budiey.com

NURIN QISTINA
Sinopsis Drama Nurin Qistina (tv2)

Dikenali dengan watak gadis remaja yang ceria sebelum ini, pelakon Yana Shamsuddin menampilkan kelainan dalam watak lakonannya apabila muncul membintangi watak drama bersiri menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk Nurin Qistina dengan menghidupkan watak sebagai seorang wanita mualaf.

Diberikan kepercayaan membawakan watak utama, pelakon yang terdahulu pernah popular dengan single bertajuk Ceria ini membawakan watak wanita mualaf yang berdepan dengan pelbagai dugaan dalam hidupnya setelah memeluk Islam dan memilih Norman sebagai teman hidupnya.

Kisahnya bermula dengan babak kepulangan Sharon Ng dan Norman yang baru menamatkan pengajian daripada luar negara. Keluarga masing-masing terkejut apabila diberitahu Sharon telah memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Norman. Menggunakan nama Nurin Qistina, hubungan itu diterima seadanya oleh Jusoh dan Fatimah, orang tua Norman sebaliknya tidak pada keluarga Ng yang menentang keras hubungan itu. Kesal dengan tindakan anaknya itu, keluarga Ng telah membuangnya sebagai ahli keluarga. Norman membawa isterinya tinggal bersama keluarganya.
NURIN QISTINA
Sementara itu Nurin telah diterima bekerja sebagai eksekutif di sebuah hotel milik kenalan ayahnya. Manakala Norman pula masih menganggur. Situasi itu menimbulkan rasa resah di hati suaminya itu. Namun segalanya tidak lama apabila di luara pengetahuan Norman, Nurin meminta jasa baik Wong, kenalan ayahnya mendapatkan pekerjaan buat Norman yang akhirnya diterima sebagai sebagai jurutera di syarikat milik Wong.

Ita, kekasih lama Norman muncul mahu menagih cinta lamanya. Dia tidak putus asa mahu merebut Norman daripada Nurin. Apatahlagi dia cukup kenal dengan ‘sejarah silam’ Norman yang terkenal dengan sikap buruknya.

Nurin nekad untuk berterus-terang dengan Fatimah untuk menjadi muslim sejati dengan bantuan ibu mertuanya itu. Apatahlagi Norman gagal mendidiknya sebagai muslim dan selama berkahwin dengan Norman, kehidupan mereka bebas tanpa menjalankan amalan dituntut agama Islam.

Norman marah dengan tindakan isterinya itu. Dia lalu mengajak Nurin berpindah ke rumah baru dan ketika itu Nurin tiada pilihan lain dan bersetuju dengan cadangan suaminya itu. Setelah berpindah, belang Norman semakin menjadi. Apatahlagi bila Nurin sentiasa sibuk dengan kerjayanya, dia pula termakan jerat Ita. Norman kembali kepada kehidupan lamanya yang suka berpoya-poya dan menjadi penagih dadah.

Rumahtangga mereka bergolak. Kehadiran Patrick, bekas tunang Nurin semakin memburukkan keadaan sedangkan Nurin begitu sayangkan suaminya itu. Norman menuduh Nurin curang dan segalanya mengundang gundah di hati Nurin. Apatahlagi mengenangkan ayahnya yang telah membuang dirinya daripada keluarga. Mujur ibunya menyokong dalam diam dirinya.

Satu hari Nurin kemalangan dan mendapat rawatan di hospital. Kedua ibu bapa Norman berusaha mendapatkannya yang sedang mabuk berpoya-poya dengan Ita dan kawan-kawannya. Khabar gembira Nurin berbadan dua juga diterima Norman dengan hambar.

Nurin bersyukur dia diselamatkan pasangan adik-beradik, Ustazah Kalsom dan Ustaz Lokman dalam kemalangan itu. Hubungan mereka semakin rapat apabila Nurin cuba mendapatkan teduhan daripada mereka untuk membimbingnya ke jalan kebenaran. Dalam diam Ustaz Lokman menaruh hati terhadap Nurin dan kagum dengan semangatnya sebagai saudara baru yang berdepan dengan pelbagai cabaran.

Norman kemudiannya ditahan di Rumah Pengasih, namun Nurin tetap setia menjenguknya. Kemuncak hubungan mereka apabila Norman yang baru dibebaskan daripada Rumah Pengasih enggan menerima kehadiran anak mereka yang disahkan berpenyakit sindrom down. Nurin kecewa dengan sikap Norman lalu menuntut cerai.

Setelah bercerai barulah Norman dapat merasai keikhlasan dan ketulusan hati Nurin terhadapnya. Dia cuba memujuk Nurin untuk rujuk semula dengannya. Begitu pun adakah hati Nurin terbuka menerimanya semula? Atau dia membuka hati menerima keikhlasan Ustaz Lokman?