LOVE AND OTHER DRUGS (18SX)



FILEM: Love & Other Drugs
ARAHAN: Edward Zwick
PELAKON: Jake Gyllenhaal, Anne Hathaway dan Judy Geer
GENRE: Drama romantis
TAYANGAN: 14 April 2011
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari (Harian Metro)


SINOPSIS LOVE AND OTHER DRUGS (18SX)

WALAUPUN hampir separuh daripada plot filem romantis ini memaparkan aksi ranjang yang kurang sesuai untuk tontonan umum, Love & Other Drugs berkisar kepada pengorbanan dan kesetiaan demi insan dicintai.

Bagi penulis, usah dilihat pada babak yang menggiurkan tapi lihat kepada intipati yang harus ada di dalam setiap pasangan bercinta dan berkahwin.

Seawal pengenalan Jamie, penonton ditunjukkan sifat sebenar lelaki itu yang mempunyai tarikan sensual. Dia lelaki yang bijak berkata-kata dan pujukannya mampu mencairkan setiap wanita tetapi sikapnya yang kurang bertanggungjawab menjadi cemuhan bapanya.

Begitupun, Jamie mula berubah tatkala dia bertemu Maggie dan sifat tanggungjawab yang lama diketepikan selama ini mula terbina.

Bagi Maggie pula, kesetiaan dan cinta hanya akan merencatkan hubungan yang cuba dibinanya. Bukan kerana tidak percaya pada cinta, tapi masalah kesihatan dihadapi menghalangnya memilih menjalin hubungan serius.

Oleh itu, Maggie memilih untuk larikan diri daripada cinta Jamie walaupun jauh di sudut hatinya terpahat rasa cinta selama mereka menjalin hubungan sensual.

Mengisahkan Jamie, jurujual elektronik yang dibuang kerja kerana menjalin hubungan seks dengan seorang pekerja di kedai tempat dia bekerja. Kemudian dia diperkenalkan adiknya untuk bekerja dengan sebuah syarikat farmaseutikal yang menjual ubat-ubatan.

Dalam usaha membina kerjaya di syarikat itu, dia bertemu Maggie dan mereka mula berhubung dan menjalinkan hubungan seks tanpa ikatan.

Lama-kelamaan hubungan itu bertukar serius dan Maggie mula bimbang kerana penyakit Parkinson dihidapinya pasti akan menyusahkan pasangannya. Pun begitu, Jamie tetap mahu meneruskan hubungan demi rasa cinta dan sayang yang mula terbit dalam dirinya.

Filem ini sangat menarik terutama buat tontonan pasangan bercinta dan suami isteri yang mungkin terlupa maksud cinta dan kesetiaan terhadap pasangan walau apapun berlaku.