SIRAH CINTA

Sirah Cinta
Tarikh: 11 April 2011,
Hari: setiap Ahad dan Isnin,
Masa: 10.00 malam
Episode: 24 episod
Pelakon: Ezany Nizariff, Nasir Bilal Khan, Aida Khalida, Norman Hakim, Liza Abdullah dan Zaris,
Sumber: Berita Harian



SINOPSIS DRAMA SIRAH CINTA MENGGANTIKAN TRILOGI CINTA

mengetengahkan konflik berlaku dalam diri watak Fikri, lakonan berkesan Ezany.
Fikri dipelihara oleh orang gaji keluarganya. Segala-galanya berlaku kerana mereka mahu menyelamatkannya daripada tragedi yang meragut seluruh keluarganya. Situasi itu membuatkan Fikri dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan di sebuah pulau.

Sirah Cinta berkongsi detik kehidupan dilalui Fikri bermula dengan babak di mana peristiwa hitam berlaku pada 1989. Fikri yang ketika itu baru dua minggu dilahirkan Dahlia, hasil perkongsian hidup dengan Zainal, asyik meragam dan menangis.

Puas Dahlia memujuk dan cuba menyusukan Fikri, namun sia-sia. Zulkifli turut risau, tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Akhirnya Fikri berjaya dipujuk oleh Kalsom. Kerana bersimpati dengan Dahlia yang masih dalam pantang, Kalsom mengambil Fikri tidur bersamanya.

Setelah keadaan reda, empat perompak memecah masuk ke rumah Zainal. Tindakan mereka disedari oleh Zainal dan perompak berkenaan bertindak nekad membunuhnya. Dahlia dan dua lagi anak mereka yang berada di tingkat atas turut menjadi mangsa. Kalsom yang sedang menidurkan Fikri mendengar jeritan anak-anak tuan rumahnya, bertindak melarikan Fikri melalui pintu dapur apabila mengetahui apa yang berlaku, lalu bersembunyi di tepi pagar.
Dalam waktu yang sama, seorang lelaki keluar dari kereta yang baru berhenti. Dari dalam rumah, seorang perompak keluar. Lelaki yang baru sampai tadi (Bakhtiar), mengarahkan rumah itu dibakar. Kalsom cemas dan takut dengan apa yang berlaku.

Rumah Zainal habis terbakar. Setelah kematian Zainal, segala urusan pentadbiran syarikatnya diuruskan oleh Bakhtiar. Manakala Fikri membesar di pulau bersama Kalsom dalam keadaan serba kekurangan. Kepada penduduk pulau, Kalsom memberitahu Fikri ialah anak angkatnya yang diserahkan oleh satu keluarga yang hidup dalam kesempitan.

Selain kesukaran hidup dilaluinya di sana, Fikri berdepan dengan pergolakan cinta antara dirinya dengan dua gadis. Dia menyintai Nurain, tetapi pada masa yang sama dirinya begitu diminati Qistina yang sanggup berkorban apa saja untuk meraih cinta daripadanya.

Banyak lagi babak menarik bakal dikongsi bersama penonton apabila anda meluangkan masa menyaksikan Sirah Cinta, setiap Ahad dan Isnin, jam 10 malam di TV1.