TEKSI MILLENIUM (TV2)




TEKSI MILLENIUM
Mula Tayangan: 5 April 2011,
Hari Tayangan: setiap Selasa,
Masa Tayangan: 10.00 malam
Episode: 13 episod
Pelakon: Anne Abdullah, Illya Buang, Atie AF, Tony Eusoff, Angah Raja Lawak, Ebby Yus, Kencana Dewi, Jeganathan, Hamdan, Dato Jalaludin Hassan, Ropie dan Siti Chubby.
Sumber: budiey.com


Sinopsis Teksi Millenium

Babak-babak realiti yang memaparkan kehidupan harian pemandu teksi lelaki dan wanita yang berhadapan dengan pelbagai ragam penumpang setiap hari ‘dihidupkan’ oleh pelakon-pelakon yang membintangi drama rantaian yang diselitkan dengan unsur komedi selain menyelitkan pengajaran dalam setiap episod siarannya ini.

Episod menarik yang ingin dikongsi antaranya kisah Ganesh dan Yunos telah berhadapan dengan situasi yang menyebabkan mereka berubah fikiran mahu memasang meter beresit demi kebaikkan semua. Segalanya berlaku apabila Amir, telah menipu Ganesh dengan tidak membayar tambang teksi.

Situasi yang berlainan berlaku kepada Yunos pada hari yang sama berlaku pada Ganesh. Sejak peristiwa yang melanda kepada Ganesh dan Yunos, pemandu yang lain telah berubah fikiran dan mahu memasang meter yang mempunyai resit demi untuk kemudahan dan mengelakkan daripada dimaki oleh penumpang kerana menganggap tambang yang dikenakan adalah tipu.

Menerusi tajuk tekanan hidup pula memaparkan tentang keluarga Jamal, pemandu teksi yang mengalami kesempitan wang untuk menampung perbelanjaan keluarganya. Pelbagai dugaan yang datang menduga Jamal namun dia tidak goyah dengan ujian yang diberikan oleh Allah kepadanya. Malang datang menimpa keluarga Jamal dimana punca rezeki telah putus kerana Jamal terlibat dengan satu kemalangan yang menyebabkan teksinya rosak teruk. Masalah yang dihadapi oleh Jamal sekeluarga telah mendapat perhatian oleh Persatuan Teksi yang membantu mendapatkan bantuan kewangan membuka satu kedai makan untuk mendapatkan wang sampingan.

Realitinya dipaparkan juga kisah Samad, seorang pemandu teksi berumur lingkungan 40an yang mempunyai tabiat suka berjudi sehingga mengabaikan keluarganya. Wang pendapatan membawa teksinya dihabiskan untuk berjudi sehingga keluarganya terabai dan pada masa sama menyebabkan dia selalu mengenakan tambang yang mahal kepada penumpang-penumpangnya. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Begitu juga kisah risiko berdepan dengan perompak yang terpaksa dihadapi pemandu-pemandu teksi dalam menjalankan rutin kerja seharian mereka.

Mengutamakan sikap jujur yang akhirnya membawa kepada kebaikan juga dikongsi dalam episod kejujuran yang dibawakan watak pemandu teksi bernama Salleh yang diuji sikap jujurnya samada mahu mengambil atau memulangkan semula dompet dan komputer riba yang ditinggalkan penumpang dalam teksinya. Selain itu usah ketinggalan menyaksikan episod perogol bersiri yang membawakan isu penganiayaan terhadap kepada seorang pemandu teksi apabila dituduh terlibat dalam kes perogol bersiri.

Isu semasa lain yang cuba ditonjolkan termasuklah penculikan kanak-kanak, cinta antara pemandu teksi, cabul dan rogol, kisah Ah Long dan dua tajuk menarik, kami prihatin yang membawakan babak di mana pemandu teksi menyelamat orang ramai daripada kes ragut juga episod kepentingan Bahasa Inggeris yang hakikatnya menyumbang kepentingan kerana kerja mereka yang berdepan dengan pelancong asing.