WATER FOR ELEPHANTS



FILEM: Water For Elephants
ARAHAN: Francis Lawrence
PELAKON: Robert Pattinson, Hal Holbrook, Reese Witherspoon, Christoph Waltz, Paul Schneider dan Mark Povinelli
GENRE: Drama
TAYANGAN: 5 Mei 2011
ULASAN: Shakilawati Abd Rahman (HARIAN METRO)



SINOPSIS WATER FOR ELEPHANTS
FILEM berlatarbelakangkan era 1930-an yang diangkat daripada novel terlaris 2007 tulisan Sara Gruen, memaparkan perjalanan dramatik hidup Jacob Jankowski yang pernah berkhidmat sebagai veterinar sarkas Benzini Brothers dan Ringling Bros.

Bermula dengan Jacob (Hal Hobrook) yang berusia 90-an mengimbas kembali kenangan silamnya bersama kumpulan sarkas Benzini Brotthers pada era 1930-an yang mana ketika itu politiknya cukup kotor hinggakan pengusahanya sanggup melakukan apa saja demi menangani tekanan kemelesetan ekonomi dan setaraf dengan pesaingnya, Ringling Bros.


Tidak seperti sarkas zaman moden di mana segala-galanya terjaga dan sistematik, sarkas pada zaman itu dipalit penderitaan dan kesakitan. Mengembara sebagai keluarga besar, hidup mereka banyak dihabiskan di atas kereta api dan tiada belas ihsan terhadap haiwan. Demi menampung perbelanjaan, ada pekerja dihumban keluar dari kereta api dan haiwan yang menjadi tatapan penonton dipaksa bekerja sehingga mati.

Selepas kehilangan ibu bapa dalam kemalangan tragis dan hilang tempat tinggal, pelajar tahun akhir veterinar Universiti Cornell yang dilakonkan Robert Pattinson itu mengambil keputusan drastik berhenti belajar. Takdir menemukannya dengan keluarga besar sarkas Benzini Brothers dan dia diambil bekerja menjaga haiwan.


Di situlah dia jatuh cinta dengan bintang utama sarkas berkenaan, Marlena (Reese Witherspoon) yang juga isteri kepada pemilik bisnes berkenaan, August (Christoph Waltz) dan bertanggungjawab melatih Rosie, gajah yang menjadi tarikan terbaru Benzini Brothers.

Di sebalik senyuman dan keprihatinan terhadap pekerja dan haiwan di bawah jagaannya, dia sebenarnya manusia yang mementingkan diri, kejam dan tidak bertimbang rasa. Sikap baran dan pendendamnya mampu mengundang rasa meluat penonton.