RAFAEL (TV2)




Rafael
slot: Pilihan Jumaat
Tarikh: 15 Julai 2011,
Masa:1.30 petang
Hari: jumaat
sumber: budiey.com

SINOPSIS RAFAEL (TV2)
Rafael anak kepada pasangan Tamrin dan Faridah yang telah pun meninggal dunia. Kematian Faridah yang diakibatkan oleh penyakit barah hati kronik yang dialaminya bukannya diratapi Tamrin sebaliknya membuka peluang seluas-luasnya kepada Tamrin untuk menyunting kekasih gelapnya, Emily sebagai isteri.

Sepuluh tahun telah berlalu, kini Rafael dan Rashidi sudah dewasa. Namun perwatakan dua adik beradik ini amat berbeza. Rafael seorang penuntut kolej swasa yang playboy, sering berfoya-foya di disko, pemarah dan sering gagal dalam peperiksaan. Bagi Rafael hidupnya lebih tenang apabila berhibur dengan kawan-kawan kerana jika berada di rumah dia akan bertengkar dengan Emily, ibu tirinya yang amat dibencinya. Malah Rafael juga kerap melawan kata-kata bapanya. Rafael mempunyai teman wanita bernama Diana dan mereka bergaul tanpa batas. Rafael mempunyai ramai kawan kerana dia mempunyai wang yang banyak dan itulah cara dia mendapatkan kawan.

Berbeza dengan Rafael, adiknya Rashidi merupakan seorang anak yang baik dan pelajar cemerlang yang bakal menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan di sebuah universiti terkenal di London. Walaupun tinggal hampir 6 tahun di luar negara, dia tidak pernah lupa tanggungjawabnya kepada Tuhan. Di luar negara Rashidi telah berkenalan dengan Azilah, seorang gadis ayu yang solehan.

Setelah tamat pengajian Rashidi pulang ke tanahair. Kepulangannya menggembirakan bapa dan abangnya. Rafael fikir tentu Rashidi kini menjadi liar dan sekepala dengannya kerana lama tinggal di luar negara namun sangkaan Rafael meleset. Rashidi kerap menasihati Rafael supaya meninggalkan perbuatan tidak baik. Rafael tidak mahu mendengar nasihat tersebut dan menganggap Rashidi berfikiran macam orang kampung walaupun lama duduk di negara maju.

Suatu hari berlaku pertengkaran antara Rafael dengan bapanya di luar rumah. Pertengkaran berlaku gara-gara Rafael bertekak dengan ibu tirinya. Kerana terlalu marah Datuk Tamrin menumbuk Rafael hingga berdarah di hidung. Kebetulan polis sedang membuat rondaan lalu menahan Datuk Tamrin atas kesalahan menyerang. Rafael berpuas hati kerana bapanya telah ditahan polis.

Di balai polis Datuk Tamrin tidak boleh dijamin kerana dia terlibat dengan kes lain. Tamrin terpaksa ditahan oleh pihak polis kerana kesalahan menyeleweng wang syarikat berjumlah RM20 juta. Polis memang sudah lama hendak menahan Datuk Tamrin. Penyelewengan Datuk Tamrin itu dilaporkan oleh rakan kongsinya iaitu Datuk Hisham yang telah tertipu. Emily dan Rashidi terkejut.

Emily kemudiannya melarikan harta Tamrin demi mengejar bahagia bersama Johan yang hakikatnya berpura-pura menyukainya sedangkan Johan tamakkan harta dimiliki Emily. Ketika itu juga baru terbongkar rahsia Rashidi mengidap penyakit barah kronik peringkat akhir seperti arwah ibunya juga.

Ketika itulah baru wujud kesedaran di hati Rafael untuk kembali semula ke jalan yang benar. Namun siapakah yang dapat membimbing dirinya ke jalan kebenaran? Selain Iqram Dinzly, drama menarik ini turut dibintangi oleh Sofian Bujang, Adrea Abdullah, Amanda Misbun, XY Zakari, Dato’ Jalaludin Hassan dan Yasmin Khanif.