DI PINTU BARZAKH (TV1)

DI PINTU BARZAKH (TV1)
TARIKH: 30 Ogos 2011,
MASA: 1.00 pagi di TV1
PELAKON: Anding AF, Sahronizam Noor, Safura Yacob dan Ku Mohd Yusri.
SUMBER: Budiey.com



SINOPSIS DI PINTU BARZAKH (TV1)
plot ceritanya berlegar sekitar kisah pertentangan di antara baik dan jahat seorang pondan yang telah menjalani pembedahan, Lisa (nama asalnya Alias) ketika berada di dalam koma akibat cedera parah setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Cerita bermula apabila Lisa dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang. Dia dan pasangannya Badrol telah membuat keputusan untuk berkahwin di luar negara. Dalam perjalanan tersebut, mereka telah terlibat dalam kemalangan. Badrol cedera ringan tetapi Lisa parah dan koma.

Insiden yang menimpa Lisa telah menggemparkan kedua ibu bapanya, Rahman dan Salmah. Mereka keliru. Apakah Lisa adalah Alias? Satu-satunya anak lelaki mereka yang telah lari meninggalkan rumah lapan tahun lalu setelah satu hari Rahman membelasahnya? Doktor yang merawat Lisa pula mengesahkan Lisa adalah perempuan dan jika benar seperti dakwaan Rahman, maka Alias telah melakukan pembedahan jantina untuk menjadi Lisa.

Ketika Rahman dan Salmah berperang dengan kemelut untuk mempastikan sama ada anak mereka lelaki ataupun perempuan, Lisa yang koma pula berperang dalam diri sendiri. Alias bertegas mengatakan Lisa adalah dirinya – seorang lelaki. Manakala Lisa pula mendakwa jiwa dan perasaannya adalah perempuan. Mereka saling menyalahkan. Malah Alias sendiri sebenarnya tidak setuju apabila Lisa mengambil keputusan untuk ke Jerman untuk melakukan pembedahan jantina. Bagaimanapun atas dorongan seorang teman, Alias kalah dengan keinginan Lisa.

Alias cuba mengajak Lisa ke pangkal jalan. Namun Lisa merasakan kehadirannya sebagai lelaki telah menjadi objek cacian dan hinaan seluruh keluarganya. Alias mengimbas detik-detik Rahman membelasahnya apabila dia mencalit lipstik ke bibirnya. Bukan sahaja dibelasah, malah Rahman turut menghalau Alias kerana dianggap memalukan keluarga. Alias melarikan diri dan ketika keseorangan di Kuala Lumpur, dia berkenalan dengan Hisyam (seorang lelaki lembut).

Dari situ bermulalah kehidupan Alias sebagai Lisa. Semakin hari, identiti Alias semakin hilang dan apabila Lisa berkenalan dengan Elis, seorang pondan yang telah melakukan pembedahan jantina, Lisa mula membuat keputusan nekad untuk menurut jejak Elis. Alias dan Hisyam kesal dengan sikap Lisa tetapi Lisa menempelak Alias dengan mengatakan kehadiran Alias tidak diperlukan oleh keluarga. Alang-alang menjadi anak buangan, Lisa rela melupuskan terus identiti Alias dalam kehidupannya.

Rahman tidak menduga sejauh itu Alias bertindak. Dia bukan sahaja malu dengan apa yang telah dilakukan oleh Alias, namun mula memikirkan bagaimana jika Alias meninggal dunia. Siapakah anaknya itu yang sebenarnya? Alias atau Lisa? Bagaimanakah jenazahnya akan diuruskan? Dengan cara lelaki atau perempuan?

Saksikan kesudahannya malam raya ini hanya di TV1.