GLEE THE 3D CONCERT MOVIE



FILEM: Glee The 3D Concert Movie
ARAHAN: Kevin Tancharoen
PELAKON: Cory Monteith, Dianna Agron and Lea Michele
GENRE: Dokumentari muzikal
TAYANGAN: 18 Ogos 2011
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari (HARIAN METRO)


SINOPSIS GLEE THE 3D CONCERT MOVIE
FILEM ini lakaran dokumentari jelajah The Glee Live In Concert Musim Panas 2011 yang menampilkan Dianna Agron (Quinn), Chris Colfer (Kurt), Darren Criss (Blaine), Kevin McHale (Artie), Lea Michele (Rachel), Cory Monteith (Finn), Heather Morris (Brittany), Amber Riley (Mercedes), Naya Rivera (Santana), Mark Salling (Puck), Jenna Ushkowitz (Tina), Harry Shum, Jr. (Mike), Chord Overstreet (Sam), Ashley Fink (Lauren) dan ahli The Warblers.

Seperti biasa, tetamu istimewa pula Gwyneth Paltrow yang pernah tampil dalam beberapa episod Glee pada kaca televisyen sebelum ini.

Sama ada penonton mengikuti siri Glee atau masih baru hendak merasai fenomena budaya pop yang bermula sebagai siri TV muzikal, pasti kaki bergerak serta mulut cuba ‘humming’ mengikut rentak dalam filem 3D konsert bertenaga ini.

Ia ibarat keraian kepada kepelbagaian bakat yang ada, terutama tatkala melihat pada pelakonnya yang pelbagai saiz dan rupa. Menyanyi lagu yang mana liriknya bercerita mengenai perasaan dan aspek kehidupan masing-masing.


Hinggakan hampir terlupa penulis sedang menonton filem. Apabila membabitkan filem, pasti beberapa faktor harus diambil kira. Namun, dalam soal ini, tidak ada cerita yang ingin disampaikan, tidak ada perkembangan karakter dan tidak ada plot khusus.


Bagaimanapun, Glee The 3D Concert Movie pastinya karya muzikal yang menjadi filem wajib tonton peminat Glee. Penulis percaya tujuan rakaman konsert bertenaga Glee ke filem dalam bentuk 3D sebenarnya untuk memberi peluang kepada peminat siri itu seluruh dunia merasai pengalaman sebenar jelajah konsert Glee lalu.

Peminat dan penonton pasti teruja dengan senarai lagu kegemaran yang disampaikan di TV sebelum ini seperti Jessie’s Girl, Raise Your Glass dan Loser Like Me.

Malah, konsert 3D ini turut menyelitkan sesi temuramah pendek peminat Glee sebenar yang berkongsi pengalaman menarik dan perubahan dialami selepas menonton siri berkenaan pada TV.

Bunyinya menarik, malah bagi sesetengah orang mungkin agak klise pada alasan diberi dan ada juga alasan yang membanggakan. Namun, penulis percaya ia adalah cetusan rasa ikhlas dan jujur daripada mereka.

Namun, paling menyentuh hati penulis ialah bagaimana penghidap Asperger mendapat inspirasi daripada Glee untuk berdepan dunia luar serta kisah seorang wanita kerdil yang mendapat semangat untuk terus hidup.

Konsert penuh bertenaga ini dirakam dalam syot dan suntingan yang ‘fast-pace’, padat dan lengkap.

Pendek kata, persembahan mereka seolah-olah lesen sah untuk semua penonton, tidak kira usia dan rupa, untuk kembali berasa remaja.

Pun begitu, tidak mustahil penonton yang tidak pernah kenal Glee sebelum ini akan teruja dan jatuh cinta dengan kisah drama yang penuh 1001 satu rasa diadun dalam bentuk muzikal dan tari.