MADU DI TASIK HEMPEDU (TV2)



MADU DI TASIK HEMPEDU (TV2)
TARIKH: 12 Ogos 2011,
MASA: 1.30 petang
SUMBER: Budiey.com
PELAKON: Dato’ Jalaluddin Hassan, Nazim Othman, Anne Abdullah, Fadilah Mansor, Erin Malek, Nur Aqilah Malek.Fasha Sandha bersama Pierre Andre.


SINOPSIS MADU DI TASIK HEMPEDU (TV2)
Kisahnya bermula dengan dilema yang terpaksa dilalui oleh Wani yang terpaksa berkahwin dengan lelaki berusia bernama Arman, seorang ahli perniagaan setelah Arman kematian isterinya, Shirah. Bagaimanapun dalam waktu yang sama, Wani dicintai oleh anak sulung Shirah, Rustam.

Mengenangkan umurnya tidak panjang akibat menderitai penyakit barah hati, Shirah mewasiatkan agar Wani berkahwin dengan Arman setelah kematiannya demi menjaga anak bongsunya, Fifi. Shirah mengenali Wani sejak 18 tahun lalu yang mana ketika itu Wani baru saja dimasukkan ke rumah anak-anak yatim setelah kematian kedua orang tuanya. Manakala Shirah pula yang telah berkahwin dengan Arman, sentiasa berkunjung ke rumah anak yatim sekiranya ada masa terluang. Ini kerana Shirah turut dibesarkan di rumah anak yatim berkenaan.

Permintaan Shirah agak berat untuk ditunaikan oleh Wani. Bagaimanapun bila mengenangkan Shirah banyak membantu dan memberi kasih sayang kepadanya, akhirnya Wani akur. Malangnya perkahwinan Wani dengan Arman tidak disenangi oleh Rustam kerana dalam waktu yang sama, Rustam yang baru balik dari luar negara setelah tamat pengajian, telah jatuh cinta pada Wani. Bagaimanapun perasaan cinta Rustam hanya tersimpan dalam hati, manakala Wani pula tidak mengetahui yang Rustam menyintainya.

Setelah Arman berkahwin dengan Wani, Rustam mengambil keputusan keluar dari rumah untuk tinggal berasingan. Dalam waktu yang sama, perasaan cintanya pada Wani tetap bergelora. Arman kecewa dengan sikap Rustam yang keluar dari rumah. Arif, adik kepada Rustam pula lebih suka Rustam tinggal berasingan dan memberitahu Arman tentang perasaan Rustam terhadap Wani. Arman kecewa. Dalam keadaan tertekan, ketika memandu, Arman nyaris kemalangan dan dia yang menghidapi penyakit jantung, akhirnya mati mengejut.

Kematian Arman memberi ruang kepada Rustam untuk memiliki Wani biarpun berkali-kali Wani menegaskan perasaan cinta Rustam terhadapnya adalah salah di sisi agama dan mereka haram berkahwin. Namun nafsu menguasai Rustam. Dia nekad untuk memperkosa Wani sebagai jalan untuk dia mendapatkan Wani. Malangnya dalam pergelutan, Rustam jatuh dari tangga dan koma.