MAYDAY 3DNA


FILEM: Mayday 3DNA
ARAHAN: Wen Yen Kung, Rong-ji Chang dan Pin-Chuan Kao
PELAKON: Ritchie Ren, Suet Lam dan Rene Liu
GENRE: Dokumentari muzikal
TAYANGAN: 15 September 2011
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

SINOPSIS MAYDAY 3DNA
JIKA anda mengharapkan Mayday 3DNA sebagai filem biasa, anda silap kerana ia ternyata hanya paparan visual sebuah konsert yang disampaikan dalam bentuk filem. Mayday 3DNA juga boleh didefinisikan sebagai sebuah filem konsep, mengandungi tiga cerita yang direka dan berlaku sekitar Shanghai ketika siri konsert jelajah Mayday 3DNA Asia tahun lalu.

Sejak muncul filem muzikal konsert seperti Justin Bieber dan Glee, tampaknya penerbit Asia juga cuba melaksanakan resipi sama. Sama ada berjaya atau tidak, ia bergantung kepada sambutan dan tarikan bintang itu sendiri.

Dalam hal ini, tiga cerita yang direka serta paparan visual konsert dibina berdasarkan tiga lagu popular kumpulan muzik itu yakni Menyintai (Loving), Kelembutan (Tenderness) dan Ketabahan (Perseverance). Daripada lagu itu, tiga kisah cuba diangkat.

Kisah pertama mengambil tempat ketika konsert mereka di Hong Kong, mengisahkan seorang gadis kecil yang cuba memujuk bapanya (Lam Suet), pemilik kedai mi untuk membenarkannya pergi menonton konsert Mayday DNA di Shanghai.


Lam Suet ternyata mampu menggeletek hati penonton dengan keletahnya sebelum plot diteruskan dengan persembahan 3DNA menyampaikan lagu pertama.


Set cerita seterusnya diteruskan dengan kisah cinta yang lebih melankolik.
Mengambil tempat di Taipei ketika konsert mereka di sana, ia mengisahkan pemandu teksi, Ritchie (Ritchie Ren) terikat dengan roh Rene (Rene Liu) yang marah.

Demi ihsan, Ritchie membenarkan roh Rene meresap ke dalam dirinya untuk melepaskan kemarahan pada teman lelakinya. Secara jujur, Rene berjaya melontarkan cetusan rasa yang dikehendaki skrip, lantas segmen ini menyuntik elemen drama yang di luar jangkaan.

Cerita pendek terakhir berlaku di Shanghai, kisah bermula dengan seorang budak penghantar yang menabung setiap hari untuk membeli tiket konsert Mayday bernilai RM900.