QASIDAH RINDU FATIHAH (TVi)

Qasidah Rindu Fatihah
SALURAN: TVi (Astro 180)
TARIKH: 12 November
PELAKON: Fauziah Nawi, Watie Sadali, Ika Nabella, Talha Harith, Nasir Bilal Khan, Arash Mohamad dan Fauzi Nawawi
MASA: 12 tengah hari.



SINOPSIS QASIDAH RINDU FATIHAH (TVi)

Teleflem ini mengisahkan Masinah, seorang ibu yang berpegang teguh pada agama. Masinah terkenal di Kampung Lalang sebagai seorang yang hebat mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran, berzanji, qasidah dan sebagainya. Anaknya, Fatihah juga mewarisi bakat ibunya dan setiap malam, mereka dua beranak akan mengajar kanak-kanak mengaji.

Masa berlalu Masinah mula menyedari jiwa muda Fatihah mula memberontak. Fatihah yang memiliki suara lunak sering dipengaruhi oleh teman-temannya untuk menyertai pertandingan nyanyian sehingga Fatihah termakan kata-kata pujian mereka dan mula menyanyi di rumah kenduri kahwin.

Satu hari rahsianya terbongkar dan Masinah mengamuk bila mengetahui Fatihah menyanyi dalam majlis kenduri kahwin sehingga Masinah mengambil keputusan untuk mengahwinkan Fatihah. Pertengkaran besar berlaku menyebabkan Fatihah terus meninggalkan Masinah dan mengejar cita-citanya di Kuala Lumpur.



20 tahun kemudian, Fatihah telah memiliki sebuah keluarga dan perniagaannya sendiri. Dia telah berumahtangga dengan Amir, seorang ahli perniagaan dan memiliki anak bernama Fitri yang juga memiliki bakat nyanyian sepertinya. Sementara itu, Najmuddin pemuda yang ingin dijodohkan ibunya dengan Fatihah dulu juga kini telah memiliki keluarga sendiri dan seorang anak bernama Amar.

Tanpa disedari Fitri berkawan rapat dengan Amar hingga menimbulkan perasaan cinta antara keduanya. Amar membawa Fitri pulang ke kampungnya dan memperkenalkannya dengan Masinah yang sudah dianggap bagai neneknya sendiri kerana setelah Fatihah menghilangkan diri, hanya Najmuddin yang mengambil berat soal dirinya.

Sementara itu Masinah masih setia menanti kepulangan Fatihah dan berharap anaknya itu dapat pulang menemuinya sebelum dia menutup mata. Namun masih adakah kesempatan untuk mereka bertemu semula?