SUTERA CINTA (TV1)


SUTERA CINTA (TV1)
EPISOD: 13 episod
SLOT: Bidadari
HARI: setiap Isnin hingga Khamis,
MASA: 11.05 pagi
MULAI: 17 November 2011
SUMBER: Budiey

SINOPSIS SUTERA CINTA (TV1)

Episod pengenalannya membawakan penonton menghayati babak di mana Zaki dimarahi oleh Dato Bahari kerana sering berfoya-foya. Zaki diberi kata dua oleh Dato Bahari, jika sikapnya tidak berubah, dia tidak akan mewarisi perniagaan ayahnya. Sebaliknya Dato Bahari bercadang untuk menyerahkan perniagaan itu kepada yayasan atau kebajikan.

Dato Zakuan sebagai teman menganjurkan Zaki bekerja di syarikatnya. Mungkin di bawah pengawasan orang lain, Zaki boleh berubah. Zaki menentang idea itu, dia tidak mahu bekerja di bawah orang lain. Namun setelah melihat Qistina, anak Dato Zakuan, dia berubah fikiran.


Semenjak itu Zaki berubah sikap, rajin dan berdisiplin. Ini membuatkan Dato Zakuan jatuh hati padanya. Dia ingin berbesan dengan Dato Bahari. Mereka seperti saudara angkat. Dato Zakuan banyak terhutang budi dengan Dato Bahari. Bisnes yang dimilikinya adalah atas bantuan Dato Bahari.

Sebenarnya Zaki tidak ikhlas berubah. Dia hanya mahukan Qistina dan juga harta ayah serta bakal mertuanya. Namun Qistina tidak tahu. Zaki pandai memikat dan mereka akhirnya bercinta, walau pun Zaki banyak berahsia. Setelah pelbagai dugaan bercinta, mereka akhirnya mencapai kata sepakat.

Saat hampir mereka ditunangkan, telahan rakan Qistina, Natasha tentang sifat sebenar Zaki terserlah. Dia tertangkap sedang berfoya foya dengan gadis lain. Kali ini Zaki tidak dapat lari lagi. Zaki bersumpah untuk berubah dan meminta peluang kedua di depan Dato Bahari dan Dato Zakuan. Semuanya terserah pada Qistina. Qistina memerlukan waktu untuk membuat keputusan.

Qistina membawa diri bersama Natasha dan Sem bercuti di sebuah Resort Felda. Dia ingin melapangkan fikiran dan bertenang. Ketika di sana, Qistina hampir lemas ketika mandi di sungai. Dia diselamatkan oleh Kumar yang bertugas sebagai pemandu pelancong ketika mereka merentas hutan. Qistina dibawa ke rumah Kumar untuk mendapatkan rawatan kerana ibunya, Manisha pandai mengurut orang.

Di situ Qistina banyak belajar tentang kehidupan orang India dengan lebih dekat dia merasa selesa dan meminta izin untuk tinggal lebih lama di rumah Manisha. Kumar tiada halangan kerana dia boleh tinggal di asrama pekerja resort. Qistina selesa tinggal dengan Manisha kerana sifat keterbukaannya.

Dalam masa yang sama, jiran Manisha terpaksa menerima anak saudara mereka yang menjadi yatim piatu kerana kehilangan ayah dan ibunya dalam kemalangan jalan raya. Adam, pendiam dan enggan respon dengan ibu dan bapa saudaranya. Lijah dan Nazman terpaksa merotan Adam untuk mengajarnya. Namun semakin Adam diajar dengan cara itu, dia semakin liar. Lijah dan Nazman akhirnya mencadangkan Adam dihantar ke rumah anak anak yatim sahaja.

Namun Qistina yang melihat situasi itu, mencadangkan agar Lijah dan Nazman menggunakan pendekatan psikologi kerana menganggap Adam anak istimewa. Dengan susah payah akhirnya mereka bersetuju mendidik Adam secara psikologi.

Kumar dan Qistina semakin rapat, Qistina menggalakkan Kumar untuk melanjutkan pelajarannya, namun Kumar bimbang ibunya. Kemesraan Kumar dan Qistina rupa rupanya dibenci oleh Lechu meminati Kumar sedangkan Kumar hanya menganggapnya sebagai kawan.

Setelah Qistina pulang ke Kuala Lumpur, dia masih tidak memberikan jawapan tentang masa depan hubungannya dengan Zaki. Dia kini mencintai Kumar, begitu juga Kumar. Namun faktor bangsa dan agama membuatkan mereka lebih berhati hati.

Namun bagaimanakah kesudahannya? Saksikan drama yang turut dibintangi Farabie Mohd, Shaharudin Thamby, Wan Nor Azlin, Zulkifli Zain dan Kenchana Dewi ini hanya di TV1.