AH BENG THE MOVIE - THREE WISHES



FILEM: Ah Beng the Movie: Three Wishes
ARAHAN: Silver
PELAKON: Jack Lim, Royce Tan, Bernard Hiew, Chen Keat Yoke, Gan Mei Yan dan Gan Jiang Han
Genre: Komedi
TAYANGAN: 19 Januari 2012
ULASAN: Hellinie Sina (Harian metro)



SINOPSIS AH BENG THE MOVIE - THREE WISHES
FILEM Ah Beng The Movie: Three Wishes yang dihasilkan sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi, bukan hanya menyuntik elemen persahabatan dan kekeluargaan tetapi juga isu semasa di persekitaran kita seperti merokok, menderma organ, buli dan kepelbagaian kaum di Malaysia.

Menyelitkan unsur magik seperti hanya diberikan peluang untuk membuat tiga hajat, ia menggabungkan elemen itu dengan memaparkan sambutan Tahun Baru Cina sekitar 1975. , sekali gus memberikan gambaran bagaimana masyakarat Cina menyambut perayaan itu.

Pada awal cerita, penonton mungkin sesekali akan ketawa dengan gelagat mencuit hati pelakon dan menganggap ia akan berterusan seperti itu.

Namun, tidak dijangkakan pada pertengahan cerita, ia mengusik emosi penonton apabila seorang rakan mereka, Salted Fish Lian (Chen Keat Yoke) disahkan menghidap penyakit leukemia dan memerlukan RM100,000 untuk kos perubatan.


Bersama-sama ayah Ah Beng yang mengembara ke masa depan kerana hajat pertamanya untuk melihat kehidupan Ah Beng ketika dewasa. Ah Beng, Rain dan Bobby menyertai satu pertandingan untuk memenangi RM100,000. Keikhlasan dan pengorbanan mereka dalam persahabatan mampu meruntuhkan tembok airmata.


Namun, masih ada beberapa kecacatan yang seharusnya tidak terjadi. Ketika babak menunjukkan empat lelaki merancang sesuatu dipaparkan pada skrin layar, sukar mengaitkan hubungan mereka dengan Ah Beng.

Begitu juga babak penting akhir apabila Ah Beng memangku mayat bapanya yang mati ditembak, dia membuat hajat ketiga memohon bapanya hidup lama dan perubahan dari masa depan ke masa lalu dan sekali lagi memaparkan masa depan itu sedikit menimbulkan kekeliruan.

Babak rompakan dan kejar mengejar dengan aksi ‘drift’ juga perlu dipanjangkan sedikit bagi menimbulkan kesan dramatik. Jika aksi ‘drift’ itu dibuang juga tidak mencacatkan plot cerita kerana babak itu tidak memberikan apa-apa kelebihan.

Rasanya lebih afdal jika babak kekeluargaan diselitkan supaya anak muda pada zaman ini lebih menghargai masa dengan keluarga, terutama pada hari perayaan.

Bagaimanapun, penulis memuji lakonan Wan Wai Fun dan Gan Jiang Han melakonkan watak ibu bapa Ah Beng. Wai Fun dengan bersahaja membawakan watak kurang siuman manakala Jiang Han membawakan watak seorang bapa kerana kasih sayang itu terpancar pada wajahnya, terutama ketika mengusap kepala Ah Beng.