WHAT MEN WANT (NTV7)

WHAT MEN WANT (NTV7)
MULAI: 28 Januari 2012,
HARI: setiap hari Sabtu,
MASA: 10.00 malam,



SINOPSIS WHAT MEN WANT (NTV7)
ikuti kisah enam jejaka yang berlainan perspektif dan personaliti yang bakal berkongsi perjalanan hidup mereka bersama anda. Temui pencarian jawapan mereka kepada persoalan apakah yang sebenarnya lelaki inginkan dalam hidup?

Enam jejaka yang bakal membiarkan Malaysia mencerobohi kisah peribadi mereka adalah Gerrit, Fendi, Narmi, Kit, Ken dan Wolfie yang masing-masing mempunyai latar belakang dan personaliti yang berbeza.

Gerrit adalah jenis lelaki yang tahu bermain dengan permainannya, dan selalu mendakwa bahawa dia sentiasa mendapat apa yang dia inginkan. Dia juga akan mendominasi apa yang diperkatakannya dan menentukan segala-galanya. Penonton mungkin beranggapan bahawa dia seorang lelaki yang suka memainkan perasaan seseorang dan berhati batu. Tetapi sekali lagi What Men Want cuba lari dari jangkaan umum yang rata-rata stereotaip.

Fendi pula seorang yang misteri dan dipenuhi kemewahan. Adakalanya, dia seorang yang hidung tinggi namun dia juga berhati besar. Mengapakah agaknya lelaki sebegini menyertai rancangan seperti ini? Mungkin juga untuk lari dari kehidupannya yang tipikal.

Mungkin juga di antara kita yang berpendapat perasaan romantis adalah antara kualiti yang boleh membahagiakan seseorang. Untuk itu, penyanyi dan penulis lagu, Narmi bakal mewakili golongan sebegini. Sentiasa gembira denga perasaan cinta, Narmi akan sentiasa cuba untuk mengabulkan impian pasangannya. Selain pernah mengalami kekecewaan, mungkin juga persepsi tentang cintanya bakal berubah. Kesetiaannya juga mungkin menunjukkan kualitinya tidak lebih sebagai sekadar teman yang baik.

Kehidupan Kit pula berbeza. Baginya tiada apa yang utama selain ibunya. Anak mak ini bagaikan tidak pernah mengalami masalah dalam hidup. Malah dengan bimbingan keluarga, Kit tetap masih bersama buah hatinya sejak di bangku sekolah lagi. Kit bakal berkongsi kisah hidupnya yang hampir sempurna dengan para penonton.

Pada pandangan pertama, Ken mungkin pula kelihatan seperti samseng yang anda mungkin cuba untuk tidak cari fasal dengannya. Tapi Ken juga mungkin mempunyai hati selembut sutera kerana lelaki juga punya sifat sensitif seperti kaum wanita. Dalam kamus Ken, tiada perasaan bangga diri. Mungkin kerana itu, sifat semulajadinya yang suka memerhati menjadikan dia seorang yang mempunyai pelbagai cerita untuk dikongsikan. Sifatnya yang suka menghabiskan masa bersama teman wanita juga bakal menjauhkan dirinya dengan anggapan lelaki suka berlagak macho.

Lain pula dengan Imran atau nama panggilannya Wolfie yang bagaikan seorang badut dan suka berjenaka. Sentiasa ceria dan kadangkala menjengkelkan, Wolfie juga seorang yang bersifat nakal yang menambahkan lagi elemen lucu tatkala bersama Gerrit, Fendi, Narmi, Kit, dan Ken. Mungkin secara ringkasnya, dia seorang yang tidak mempunyai sebarang tujuan hidup kerana mengalami transisi kehidupan yang menyebabkan sukar buatnya membuat keputusan.