GONE


FILEM: Gone.
ARAHAN: Heitor Dhalia.
PELAKON: Amanda Seyfried, Jennifer Carpenter, Daniel Sunjata dan Wes Bentley.
GENRE: Thriller.
TAYANGAN: 10 Mei 2012.
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari (HARIAN METRO)



SINOPSIS GONE
Bermula lembap dengan suasana kelam yang membosankan, Gone berjaya mendaki gah sebaik watak Jill (Amanda Seyfried) mula beraksi. Lantas mencantas segala tanggapan penonton watak itu akan gagal, baik daripada segi permainan perasaan mahupun perkembangan karakter.

Watak Jill bagai beralih dari satu tempat ke tempat lain, malah cetusan rasa takut tapi berani pada masa sama mengundang rasa cemas. Aktres itu ternyata berjaya membawa watak itu ke satu peringkat yang boleh dibanggakan.


Selama 90 minit durasi, penonton hanya melihat Jill berusaha gigih memadamkan memori lalu di mana dia diculik. Lebih pedih, cerita dia diculik dan berjaya melarikan diri tidak mendapat perhatian kerana kebanyakan bukti menjurus kepada ketidakwarasan yang pernah dilaluinya dulu.


Hanya selepas dua tahun, memori hitam itu sekali lagi kembali apabila kakaknya pula diculik. Percaya lelaki sama yang pernah menculiknya kembali untuk membalas dendam, Jill sedaya upaya menghapuskan lelaki itu dengan cara tersendiri selepas usaha mendapatkan perhatian polis tidak berjaya.

Pengarah juga dengan licik terus menimbulkan rasa suspens berterusan tanpa menonjolkan siapa penculik itu hinggakan setiap watak boleh dianggap suspek utama.

Antara tanggapan awal ialah jenayah itu dilakukan anggota polis, ada beranggapan dilakukan teman lelaki kakaknya hinggalah kepada jiran tetangga dan setiap karakter ditemui Jill.

Perlahan-lahan penonton diberi ruang untuk berteka-teki dan berfikir. Walaupun tampak perlahan, plot masih mengejar secara pantas tanpa melupuskan pelbagai bukti yang berkembang satu demi satu.

Kejayaan produksi mengekalkan elemen itu tanpa pengurusan bajet besar atau lagu latar terlalu berat harus dipuji. Cukup sekadar dialog dan ekspresi wajah serta persoalan dibangkitkan watak utama dan pembantu bagi menghidupkan jalan cerita.

Bagaimanapun, Gone mungkin bukan selera mereka yang mahukan hiburan semata-mata. Hanya peminat genre thriller dan drama dapat merasai kekuatan dimiliki Jill.

Untuk mengerti penderitaan seorang gadis yang terselamat daripada menjadi mangsa culik dan cuba menyelamatkan kakak kesayangan dengan cara sendiri, sekali gus menghapuskan memori silam yang menghantui, penonton harus berfikiran terbuka.