SILENT HOUSE

FILEM: Silent House
ARAHAN: Chris Kentis dan Laura Lau
PELAKON: Elizabeth Olsen, Adam Trese dan Eric Sheffer Stevens
GENRE: Drama thriller
TAYANGAN: 12 Julai 2012
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari (HARIAN METRO)


SINOPSIS

JIKA bukan kerana pembikin filem mengorbankan kandungan cerita yang sepatutnya berlangsung dengan penuh gaya, Silent House mampu menjadi filem seram yang bijak dan mengujakan. Tidak mustahil menjadi filem klasik seram. Semua elemen seram wujud; lokasi menggerunkan, aktres yang bagus dan jalan cerita yang tidak dijangka.

Malangnya, keputusan pengarah sama Open Water iaitu Kentis dan Lau membikin semula filem bajet rendah terbitan Uruguay tahun 2010, termasuk gimik iaitu merakam keseluruhan plot pada satu ‘take’ mematahkan momen keterujaan.

Filem yang mempunyai impian tinggi pada segi teknikal menonjolkan kepentingan membina karakter dan elemen jalan cerita walaupun ada kepelbagaian kerja kamera.

Dalam plot, penulis secara visual tidak didedahkan asal usul karakter utama, terutama dari mana dia datang dan apa yang dicari. Penulis juga tidak dapat pastikan sama ada untuk faham apa yang berlaku kepada watak atau prihatin kepadanya.


Menekankan gaya daripada isi cerita, Kentis mengorbankan elemen drama dan penceritaan efektif. Jika diimbas gaya penceritaan filem klasik seram sentuhan Hitchcock, contohnya Rope (1984) yang mengeksperimentasi gaya sama, ia tampak gagal.


Suntingan juga membezakan antara filem dan teater, ia proses penting yang membenarkan pembikin filem membentuk jalan cerita dengan kreatif.

Dalam filem ini, penulis melihat penceritaan terpaksa melalui jalan yang sangat panjang. Semuanya seolah-olah mengambil masa lama untuk terjadi.

Perbualan membosankan dan perlahan boleh dipercepatkan jika disunting sempurna, perjalanan mencari mayat sepatutnya berlaku beberapa saat mengambil masa beberapa minit kerana karakter diplotkan dari bilik ke bilik atas alasan berhati-hati supaya jurukamera tidak tertinggal ke belakang.

Pun begitu, Silent House gagal menyamai kejayaan Open Water garapan pengarah sama. Open Water mungkin tampak seperti rakaman biasa menggunakan ‘camcoder’ tapi ia berhasil.

Ia berjaya kerana kita kenal siapa karakter dan kita ingin tahu sama ada mereka selamat dan bagaimana mereka akan selamat.

Namun dalam Silent House, penonton tidak tahu siapa gadis itu, dari mana dia datang dan apa yang dia mahukan! Mengapa jadi begini, mungkin berpunca daripada pengarah yang terlalu sibuk mengarah kerja kamera yang kononnya ‘complicated’.

Banyak ruang untuk kerja kamera melakukan teknik ‘waktu sebenar’ atau filem satu ‘shot’, tapi untuk cerita ini dan lakon layar, ia langsung tidak kena gaya.

Penulis tidak dapat komen secara mendalam permainan seram yang cuba ditonjolkan watak Sarah (Elizabeth Olsen) walaupun aktres itu memberi persembahan terbaik.
Antara puncanya ialah latar belakang Sarah tidak diceritakan untuk penulis tahu dan kenal.

Jujurnya, Silent House tetap mempunyai citarasa seram tersendiri buat peminat filem seram klasik yang mencari momen selepas beberapa keluaran filem seram terdahulu.

Jangan terkejut jika anda keluar panggung dalam keadaan pelik dan soalan tidak berjawab berlegar-legar di kepala