TETAP MAGHRIB (TV2)

TETAP MAGHRIB (TV2)
MULAI: 21 Julai ,
HARI: setiap Sabtu,
MASA: 9.00 malam
PELAKON: Eira Syazira (Hanim), Razali Hussain (Bilal Luqman Hakim), Farah Nadia Zulkifli (Haziqah), Rafidah Ibrahim (Nisa), Hairi Safwan Aznan (Che’) dan Khatijah Tan (Faridah)



SINOPSIS TETAP MAGHRIB (TV2)
Kisahnya berlaku dalam bulan Ramadan bila mana suara lunak Luqman mengalunkan azan menandakan tibanya waktu berbuka amat dinantikan seluruh masyarakat setempat termasuklah Hanim. Alunan azannya telah berjaya melembutkan hati keras Hanim yang mulai sedar tentang dosa dilakukannya selama ini menjadi pelacur hingga melahirkan zuriat diberi nama Haziqah.

Penghijrahan Hanim dan Haziqah ke tempat baru dan menjadi jiran kepada Luqman merubah segalanya. Kepribadian jiran-jiran barunya yang begitu menitik-beratkan soal agama sedikit sebanyak menyuntik keinsafan di hati Hanim. Tambahan pula dia mendapat sokongan anaknya ingin ibunya berubah.

Namun hakikatnya Hanim terdesak melakukan kerja tidak bermoral itu atas alasan mahu mengumpul wang untuk pembedahan penyakit jantung Haziqah. Begitu juga perbelanjaan seharian mereka dua beranak.

Atas nasihat jirannya, Faridah yang juga ibu Luqman, Hanim memasang niat berubah. Faridah juga pada masa yang sama berperang dengan perasaan sendiri dengan sikap Luqman yang hanya nampak alim sekadar di luaran sahaja. Sisi lain Luqman seorang anak yang enggan mendengar kata dan ingkar terhadap ibunya.

Kemunculan Nisa, isteri Luqman seorang guru yang baru dapat berpindah mengajar di daerah itu merubah segalanya. Hanim ingin sekali mendekati Nisa dan belajar agama dengannya. Luqman sebaliknya melarang Nisa berbaik-baik dengan Hanim kerana beranggapan diri Hanim kotor dan menjijikkan. Faridah kecewa dengan situasi itu dan hatinya terluka dengan sikap buruk sangka Luqman terhadap Hanim. Apatahlagi ketika mereka menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Satu hari Luqman tiba-tiba tidak boleh bergerak dan suaranya serak mengakibatkan batuk yang teruk. Nisa sedih melihat keadaan suaminya dan cuba memujuk supaya Faridah memaafkan anaknya namun dia enggan.

Hanim pula simpati dengan Luqman dan dia sedang belajar untuk berubah dan nekad meninggalkan dunia pelacuran. Hanim pada masa sama berdoa supaya Luqman sembuh seperti sediakala dan boleh mengalunkan azan semula. Masihkah ada kesempatan buat Luqman menebus kesilapannya? Kongsikan kesudahannya dalam drama bersiri Tetap Maghrib hanya di TV2.