SONGKOK HITAM


SONGKOK HITAM
TARIKH: 1 September 2012,
MASA: 3.05 petang
SLOT: Panggung 1 Khas Merdeka,
PELAKON: Razali Hussain, Zarina Zainuddin, Namron dan Pak Lah Cecupak



SINOPSIS SONGKOK HITAM

mengisahkan Alang, seorang guru silat yang disegani cuba sedaya upaya menghalau bekas rakan segurunya, Sani dari kampung halaman mereka. Ini kerana Sani merupakan satu-satunya individu yang mampu menggugat cita-cita Alang untuk menjadi Ketua Kampung.

Naratif Songkok Hitam bermula apabila kedudukan Alang sebagai orang terhormat di kampung mula tergugat dengan kepulangan semula Sani. 20 tahun lepas, Sani merupakan penuntut ilmu persilatan yang paling berbakat dan berhati mulia, kehebatan Sani membayangi rakan segurunya, Alang. Alang sentiasa tidak berpuas hati kerana Sani sering mendapat perhatian Tok Guru mereka. Dia jemu menjadi orang kedua dibelakang Sani.

Konflik bermula apabila Tok Guru memilih Alang sebagai pewaris keris pusakanya. Keris yang sangat didambakan Sani. Kecewa dengan keputusan Tok Guru, Sani membawa diri meninggalkan kampung. Alang mula bongkak, tiada siapa yang mampu mencabarnya selepas ketiadaan Sani, tambahan pula, keputusan Tok Guru menghadiahkan keris pusaka kepadanya adalah satu bukti, dia lebih baik daripada Sani.

Sani pulang ke kampung untuk menghabiskan saki baki hidup dan rindunya di kampung. Kepulangan Sani tepat pada masa dilema penduduk kampung untuk memilih calon ketua yang baru. Alang mula tidak senang duduk, perhatian kini bukan lagi padanya. Lebih menyakitkan hati apabila isterinya, Fatimah, turut teruja dengan kepulangan abang seguru mereka. Perasaan pedih dalam hatinya 20 tahun lepas bertunas kembali.

Dia menjadikan isu-isu lama untuk mengajak Sani bertempur dengannya. Hanya dengan cara itulah, dia dapat menghalau Sani daripada kampung. Alang akhirnya mempunyai alasan kukuh untuk bertempur dengan Sani, dia menuduh Sani cuba mempengaruhi Fatimah untuk merampas keris pusaka Tok Guru mereka. Seakan menemui jalan buntu, Sani menyahut cabaran Alang.

Tiba masanya Sani dan Alang berada di dalam satu gelanggang. Alang berpuas hati dendam dan kesumatnya untuk beradu tenaga bersama Sani yang sudah berada di depan mata. Akhirnya peluang berada di depan mata untuk melunaskan dendam yang sudah 20 tahun bersarang di hati.

Pertempuran bermula namun kesudahannya Sani tewas di tangan Alang. Alang sangat berpuas hati kerana dapat melunaskan dendamnya. Namun di sebalik kemenangan itu, dia kehilangan jati diri sebagai anak murid Tok Guru. Pada masa sama, isterinya Fatimah menghilangkan diri dan meninggalkan satu puisi lama arwah ayahnya.

Melalui puisi itu, Alang sedar dan insaf, dia jauh menyimpang dari segala tunjuk ajar Tok Gurunya. Masalah yang diperturunkan kepada mereka bertiga melalui pemilikan keris dan cinta hanya mampu diselesaikan oleh mereka sendiri, bukannya melalui keputusan Tok Guru 20 tahun yang sudah. Alang menunduk akur, dia telah tewas kepada Sani dalam mengenal erti sebenar ilmu yang telah diperturunkan kepada mereka berdua.