ANAK BERTUAH (TV2)

ANAK BERTUAH (TV2)
MULAI: 3 Januari
HARI: setiap Khamis,
MASA: 9.00 malam
EPISOD: 13 episod
PELAKON: Wan Nor Azlin , Hairul Azreen, Zarina Zainoordin, Maimon Abd Talib, Wan Nor Azlin, Arman Graseka, Kamarolzaman Muhammad Kamal.




SINOPSIS ANAK BERTUAH (TV2)
drama ini mengisahkan pergolakkan hidup wanita bernama Embun yang terpaksa berdepan dengan sikap tiga anaknya yang masing-masing cukup berbeza. Malah pada masa sama dia menerima dugaan yang begitu mencabar dengan sikap ibu mertuanya, Tok Wan kerana perkahwinannya dengan Majid, anak tunggal lelaki Tok Wan tidak mendapat restu wanita itu.

Kehidupannya sebagai isteri kepada Majid serba serbi dihimpit kesusahan meskipun ibu mertuanya hidup senang lenang. Ini kerana Tok Wan tidak pernah membantu walau sedikitpun soal kewangan meskipun tahu Majid sekeluarga hidup susah kerana Majid hanya mengusahakan kebun orang. Apatahlagi Majid seringkali diserang asma dan tidak bekerja.

Lokman, Saadiah dan Yunus pula masing-masing miliki sikap yang berbeza. Yunus gemar berpeleseran hingga mengakibatkan kegagalannya dalam peperiksaan SPM manakala Saadiah pula sibuk mahu bekerja di Kuala Lumpur. Anak perempuannya itu tidak pernah membantu walaupun sedar keluarganya dihimpit kesusahan untuk menyara adik-adiknya. Lokman pula seringkali menjadi ‘mangsa’ neneknya, Tok Wan yang suka membanding-bandingkannya dengan cucunya yang seorang lagi, Dani. Malah Tok Wan sengaja mencari sebab agar Lokman terasa hati dengan tindakannya.




Satu hari Majid jatuh sakit dan diikuti oleh Embun. Sebagai anak Lokman sanggup bertindak mencuri ayam-ayam peliharaan Tok Wan walaupun sedar tindakannya itu salah. Tapi demi menyelamatkan ibu dan ayahnya dia sanggup berkorban meskipun tahu risiko yang menanti. Perkara itu turut tidak disenangi oleh Nana, kekasihnya yang begitu menyayangi Lokman. Namun Lokman nekad dan sejak itu tingkahnya semakin liar dan dia juga gagal dalam SPM.

Yunus yang dulunya liar mula berubah bila dia bekerja sebagai broker tanah dan mula mendapat komisen hasil jualan tanah di sekitar kampung itu. Malah dia turut menjadi broker saham dan mengajak orang kampung melabur di syarikatnya termasuk Tok Wan nya juga. Berbeza dengan Saadiah yang kedekut, Yunus pula pemurah dan rajin membantu menyenangkan keluarganya. Barulah Majid dan Embun rasa kebahagiaan diberikan seorang anak yang dulunya cukup membebankan.

Namun kebahagiaan mereka tidak lama kerana syarikat tempat Yunus bekerja ditutup secara tiba-tiba. Yunus yang ketakutan melarikan diri ke Kuala Lumpur bersama rakan kongsinya, Bob. Sejak itu dia menjadi buruan orang kampung terutama Tok Wan yang berjaya menambahkan kemarahan orang kampung terhadap Yunus meskipun tahu segalanya bukan disengajakan oleh cucunya itu.

Atas nasihat Saadiah, Yunus pulang ke kampung untuk menjernihkan keadaan. Sebaliknya dia teruk dipukul orang kampung yang diketuai oleh Tok Wan. Tok Wan yang tidak berhati perut tergamak membiarkan cucunya sendiri dipukul setengah mati dan kemudiannya dilanggar kereta mengakibatkan Yunus hilang ingatannya dan fikirannya tidak waras lagi.

Kemuncak rasa kecewa Majid dan Embun bila Lokman yang menduduki semula SPM berjaya mendapat keputusan cemerlang dan ditawarkan melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Ireland. Tok Wan enggan membantu dari segi kewangan sebaliknya kejayaan itu begitu dibanggakan orang kampung yang kemudiannya menghulurkan wang mereka untuk Lokman meneruskan cita-citanya ke luar negara.

Ketika Lokman di luar negara, Majid pula jatuh sakit dan meninggal dunia. Namun berita sedih itu dirahsiakan daripada pengetahuannya. Tok Wan pula terus-terusan mengugut bahawa dia akan membocorkan rahsia kematian Majid kepada Lokman.

Satu hati Tok Wan jatuh sakit teruk. Begitu pun tiada siapa yang mempedulikannya termasuk anak dan cucu kesayangannya, Dani. Mujur ada Embun yang berhati perut mahu menghulurkan bantuan kepadanya.