JIWANG KARAT (TV1)

JIWANG KARAT (TV1)
PELAKON: Jaszle Dan Christina Suzanne
EPISOD: 13 Episod
SLOT: Cindai
HARI: setiap Isnin hingga Khamis,
MASA: 2.05 petang



SINOPSIS JIWANG KARAT (TV1)
mengisahkan Shazlin anak tunggal Dato Amran dan Datin Kalsomyang bersikap keanak-anakkan dan lebih suka membuang masa serta membuat keputusan sendiri. Situasi ini amat merisaukan Dato Amran apatahlagi Shazlin yang degil enggan bekerja di syarikat Dato Amran sedangkan Dato Amran mengharapkan Shazlin untuk mengambil alih perniagaannya itu setelah Shazlin tamat belajar di luar negara.


Shazlin masih bersikap acuh tak acuh apabila papanya, Dato Amran mengugut untuk menyekat perbelanjaannya jika dia tidak ke pejabat. Shazlin tetap keluar dengan kawan baiknya Kamalia untuk berseronok dan membeli belah. Akibat marah dan kecewa, Dato Amran menyekat perbelanjaannya. Hal itu menyebabkan Shazlin tersekat di sebuah restoran kerana dia tidak mempunyai wang tunai untuk membayar makanannya apabila kredit kadnya di sekat.


Bermula dari situ, Shazlin telah berkenalan dengan Nor Aiman, jejaka kampung yang kebetulan sedang duduk makan di situ. Meskipun perkenalan mereka bermula agak dingin namun, Nor Aiman sudi membayar makanannya malah sanggup membayar wang denda kerana Shazlin meletakkan keretanya di petak OKU. Ketika itu, Kamalia iaitu sahabat baik Shazlin tidak mempedulikannya kerana sibuk berkenalan dengan Azril, senior di kolejnya yang sudah lama diminatinya.

Perkenalan sehari Shazlin dengan Nor Aiman cukup memberi kesan dalam hidup Shazlin. Sikap matang Nor Aiman dan nasihat Nor Aiman kepadanya membuatkan dia berubah dan mahu membantu papanya di syarikat. Dia baru sedar yang itu adalah tanggungjawabnya dan dia tak mahu hidup tanpa arah.

Shazlin ingin berjumpa Nor Aiman sekali lagi, tetapi Shazlin telah menghilangkan kad nama pemberian Nor Aiman dan menyebabkan Shazlin terputus hubungan dengan Nor Aiman malah hutang Nor Aiman juga tidak dapat dibayar Shazlin. Shazlin agak kecewa.

5 tahun telah berlalu, Shazlin benar-benar berubah. Dia kini menjadi anak yang cukup dibanggai Dato Amran dan Datin Kalsom. Shazlin mampu untuk mengendalikan syarikat dan tidak lagi dipandang rendah oleh pekerja syarikatnya. Shazlin menjadi ikon usahawanita muda yang berjaya.

Dalam pada itu, Datin Kalsom dan Dato Amran berikhtiar mencari jodoh untuk Shazlin. Shazlin naik rimas dengan pilihan dan desakan ibubapanya sehingga dia terpaksa menipu kononnya dia sudah mempunyai teman lelaki. Tanpa disedari Shazlin, penipuannya itu mendesak dia mencari teman lelaki dan takdir tuhan dia telah terjumpa kembali kad nama Nor Aiman yang sekian lama dicarinya.


Shazlin menghubungi Aiman menggunakan maklumat di kad. Ketika itu, Aiman (Nor Aiman) yang dicari tidak lagi bekerja di syarikat itu namun apabila dihubungi Shazlin, Aiman (Mohammad Aiman) yang bekerja di situ menjawab panggilan dan mengaku yang dia adalah Aiman yang dicarinya. Mereka berjanji untuk berjumpa kerana Shazlin mahu membayar hutang lapuknya 5 tahun dahulu. Shazlin teruja.

Shazlin cuba mengingat kembali wajah Aiman yang dikenalinya 5 tahun dahulu. Apabila dia berjumpa Muhammad Aiman ternyata Aiman yang datang berjumpanya lebih kacak dan bergaya. Shazlin jatuh hati pandang pertama. Namun, setelah lama dia berkenalan dengan Mohammad Aiman hatinya langsung tak terpikat dan mula rasa Muhammad Aiman langsung tidak serupa dengan Nor Aiman yang dikenalinya dari segi sikap. Namun, disebabkan sikap terburunya Muhammad Aiman telah diperkenalkan kepada Dato Amran dan Datin Kalsom sebagai teman lelakinya. Dari situ Muhammad Aiman yang tamakkan harta Shazlin mula memasang strategi jahat untuk mempergunakan Shazlin demi mendapat harta dan projek.

Shazlin masih lagi mahu mencari Aiman yang sebenar kononnya masih tidak tenang selagi tidak membayar hutang Aiman. Dengan bantuan sahabat baiknya Kamalia yang sudah pun berkahwin dengan Azril, dia telah berjaya menjejaki Aiman sebenar di Pulau Pinang.

Pelbagai insiden lucu berlaku apabila Kamalia yang mengaku bujang dan menyamar sebagai Shazlin atas permintaan Shazlin menjadi perkara besar apabila Azril naik angin dan mencari Kamalia. Dalam pada itu, Shazlin tak sangka Aiman yang selekeh dan tidak pandai bergaya 5 tahun dahulu kini cukup berbeza. Shazlin dalam diam menaruh hati pada Nor Aiman.

Shazlin cuba berterus terang kepada Nor Aiman akan perasaannya tetapi terhalang kerana Muhammad Aiman. Muhammad Aiman enggan melepaskan Shazlin malah dia dalam diam telah melakukan pelbgai penganayaian kepada Nor Aiman sehingga syarikat percetakannya muflis. Dalam pada itu, Muhammad Aiman telah menambat hati Dato Amran dan Datin Kalsom sehingga Shazlin dipaksa untuk berkahwin. Nor Aiman yang mengetahui Shazlin sudah bertunang amat kecewa dan memilih untuk kembali ke kampung meskipun pada awalnya dia baru hendak memulakan perniagaan baru di KL.

Kamalia dan Azril bertindak menyelamatkan keadaan dengan menceritakan perkara sebenar kepada Dato Amran dan Datin Kalsom dengan mengumpulkan segala bukti kejahatan Muhammad Aiman selama ini. Dari situ, Dato Amran tahu yang Muhammad aiman dalam diam cuba mengawal asetnya.

Shazlin gembira Dato Amran dan Datin Kalsom tidak lagi memaksanya berkahwin dan setuju dengan pilihan hatinya Nor Aiman. Dia segera mencari Nor Aiman di kampung.

Apabila tiba di rumah Nor Aiman, Shazlin terkejut melihat rumah Aiman sedang mengadakan kenduri kahwin. Tambah mengejutkan apabila melihat Aiman sedang bersanding.

Shazlin menangis dan mahu segera pulang ke KL. Namun langkahnya disekat Aiman. Shazlin terkejut melihat Aiman yang berbaju melayu bukan berbaju pengantin seperti yang dilihatnya. Rupanya, bukan Aiman yang bersanding tetapi adik kembarnya. Shazlin lega. Nor Aiman juga gembira melihat kedatangan Shazlin kerana dia sudah tahu segala apa yang berlaku. Kali itu, dia tak akan melepaskan Shazlin lagi.