THE TOWER (2013)

THE TOWER
MULA TAYANGAN: 10 Jan 2013
GENRE:Thriller
PENGARAH:Kim Ji-hoon (김지훈)
ULASAN: Utusan
PELAKON:Sol Kyung-Gu, Kim Sang-Kyung, Son Ye-Jin



SINOPSIS THE TOWER
BANGUNAN pencakar langit merupakan impian terindah kelompok korporat dalam iklim ekonomi kapitalis masa kini. Bangunan dipandang tanda pembangunan dan kemajuan. Dalam filem ini lambang bangunan berkembar menanjak ke langit Korea bukan dipandang sebagai binaan konkrit dengan infrastruktur kejuruteraan seni bina semata-mata. Tetapi lambang kesombongan manusia!


Sesebuah karya yang baik bukanlah suatu peniruan bulat-bulat terhadap segala peristiwa sejarah dan situasi yang berlaku di dunia ini. Karya yang baik haruslah membawa bersama pemikiran pencetusnya sehingga memberi impak yang maksimum ke jiwa penghayatnya. Filem The Tower telah membuktikan peranannya.

Sebagai filem popular, pergerakan filem ini begitu tangkas dan cepat. Dari satu adegan ke satu adegan semuanya tidak dipersia-siakan. Tower Sky yang dijadikan lokasi menyambut perayaan Krismas itu menjadikan pemilik serta pemegang saham syarikat, ahli politik kongres, orang VVIP, golongan kaya berkumpul dan berpesta.


Golongan yang menghidupkan bangunan ini adalah orang biasa daripada pekerja hotel, tukang masak hingga tukang sapu sampah. Bahkan bangunan itu sendiri dengan kelengkapan mewahnya benda mati yang meraikan keseronokan dan kesombongan manusia. Dan alat pengesan habanya adalah seperti golongan pekerja yang sering dipandang remeh.

Apabila kelemahan telah dikesan dan alat pengesan haba gagal berfungsi lantaran air beku kerana suhu sejuk, tiada tindakan diambil. Apa yang dikejar adalah keseronokan untuk berparti dan bersuka-suka bersama salji buatan yang ditaburkan oleh helikopter di atas bangunan berkembar itu.


Bahaya sememangnya telah ada apabila angin lintang memutarkan alat pengesan kelajuan angin di puncak bangunan. Secekap mana pun manusia dan setinggi mana pun harapan diberikan terhadap kepakaran manusia mengawal mesin dan enjin namun dalam sejarahnya angin ciptaan Allah dapat memusnahkan tamadun manusia yang derhaka.


Inikan pula helikopter yang terbangnya pun dengan memanipulasikan tekanan angin. Mungkin sombong atau keyakinan yang tiada bertempat demi untuk berseronok dan berbangga-bangga, helikopter itu hilang kawalan hingga melanggar bangunan lalu terperosok ke bahagian dapur salah satu bangunan berkembar itu yang menempatkan gas lalu meletup dan terbakar.

Bermula dari situlah api merebak cepat dan selain berpunca daripada alat pengesan haba yang gagal bertindak. Semuanya telah terlambat apabila api merebak dan membakar, meleburkan sistem penyokong bangunan, meretakkan dan memusnahkan lantai dan dinding. Nampaknya api juga yang dapat mengajar kesombongan manusia.

Sebelum itu, telah berlaku keangkuhan salah seorang manusia bertaraf VVIP menghina seorang penyapu sampah. Juga kedegilan pengurus untuk mendengar pandangan orang bawahannya mengakibatkan kemalangan yang sangat dahsyat sekali.

Sejauh manakah tindakan manusia yang angkuh dan sombong apabila api mula memusnahkan bangunan. Apakah lagi nilai nyawa manusia yang tinggal di bangunan itu apabila helikopter sudah tidak dapat mendarat dan menyelamatkan mangsa apabila asap mula menutupi ruang udara? Apakah lagi nilainya nyawa yang menghidupkan batang jasad bertaraf VVIP apabila gondola pembersih cermin tingkap bangunan diayun-ayunkan ke cermin bangunan dan terputus jatuh ke bawah bersama jeritan mangsa yang tidak sempat diselamatkan.

Di manakah pengakhiran sifat sombong pengurus apabila jambatan kaca yang menghubungkan antara dua bangunan kebanggaan itu apabila bangunan mula condong dan memberikan tekanan dengan api dari bawah marak menyala memanggang jambatan kaca? Ke manakah nilai pertimbangan akal rasional menghadapi risiko bahaya mengancam nyawa apabila lif dinaiki ketika api marak berkuasa? Mereka semua terpanggang dan sebahagiannya hancur bersama lif terhempas di lantai bangunan melainkan segelintir yang terselamat.



Yang terselamat adalah pengharapan dan kekudusan kepada Tuhan. Nampaknya satu kelompok yang sengaja diciptakan dalam watak humor sangat menyanjung Tuhan apabila berdoa sebelum berparti dan terus berdoa dan berdoa ketika terkurung dalam satu bahagian bangunan.

Mereka berendam dalam air. Hampir terselamat apabila menuruni bangunan itu dengan lif. Cuma si pendoa yang setia kepada Tuhannya mati. Jikalaulah tiada doa dan pengharapan kepada Tuhan berkemungkinan sekalian manusia yang berada dalam bangunan kebanggaan lagi berkembar berjambatan kaca mati terbakar.

Jika tiadalah anggota bomba yang dirampas masa cutinya bertungkus-lumus memadamkan api sehingga mengorbankan ketua mereka selepas alat kawalan jauh bahan peletup untuk meletupkan tangki air pastilah bangunan itu akan luluh menimpa kembarnya dan pastilah pemilik bangunan akan melopong. Begitu tingginya nilai sebuah bangunan tinggi dan mewah hingga mengatasi nilai nyawa manusia

Filem ini memberikan tumbukan yang padu ketika semua negara berlumba-lumba mahu menghasilkan bangunan kapital tertinggi sehingga mengambil tanah-tanah milik pribumi. Filem ini wajarlah menjadi iktibar dan pengajaran kepada golongan korporat sebelum segala pelaburan musnah dan menjadi kuburan manusia yang tidak terlibat. Sementelahan pula filem ini hasil pengalaman pengarahnya Kim Ji-hoon melihat bangunan di Seoul terbakar. Beliau membayangkan bagaimana berasa terperangkap di dalam lautan api, tenggelam dalam asap serta bergelumang dengan pengharapan dan tindakan-tindakan terdesak seperti menggunakan tembok besi untuk mengadang api walaupun menjadikan manusia sebagai bahan bakarnya demi menyelamatkan sebuah kesombongan segelintir manusia.