KU IDAMKAN MIMPI (TV2)

KU IDAMKAN MIMPI (TV2)
PELAKON: Eja, Shahrolnizam, Ku Fridah dan Razali Hussain
SLOT: Citra
TARIKH: 26 Mac 2013,
MASA: 10.00 malam



SINOPSIS KU IDAMKAN MIMPI (TV2)
Kongsikan kisah Ramzi yang kehilangan isteri dan anak keempatnya dalam kemalangan jalan raya. Ramzi merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan yang dahulu terkenal yang kini menjadi seorang jurulatih bola sepak skuad remaja bawah 20 tahun. Tetapi sayang, bakatnya itu tidak dapat diwarisi kepada anak-anaknya yang mempunyai pendapat dan citarasa yang berlainan.

Anak sulungnya, Aiman lebih meminati sukan papan luncur manakala Adam pula lebih minati muzik. Satu-satunya harapan Ramzi adalah Haikal, anak bongsunya namun dia telah diserang penyakit Autisme yang telah mengubah kehidupannya.


Haikal menjadi teman setia Ramzi di setiap sesi latihan hujung minggu dan musim perlawanan bola. Haikal menjadi anak kesayangan bukan kerana keistimewaannya tetapi hatinya yang luhur dan suci. Ramzi seakan melihat ketulusan anaknya dalam banyak perkara dan anak ini bagaikan mengerti kesunyian hatinya membesarkan anak-anak tanpa isteri dan impian untuk melihat salah seorang dari anak-anaknya yang mengikuti jejak langkahnya dan legasinya dahulu.

Haikal menjadi anak murid kesayangan Cikgu Suraya yang dalam diam sudah lama jatuh hati kepada Ramzi yang pernah popular satu ketika dahulu. Cuma Ramzi sahaja yang tidak berminat kerana bimbang mereka tidak dapat menerima Haikal seadanya. Ramzi masih ingat lagi, janjinya terhadap arwah Maria untuk emalatih Haikal mencipta nama dalam bidang bola sepak. Namun kini, sangkaannya jauh terpesong kerana Haikal bagaikan terperangkap di dalam dirinya sendiri.

Seperti kelaziman setiap hujung minggu, Haikal akan diseret ke padang bagi mengikuti dan menyaksikan latihan pasukan bola sepak bimbingan ayahnya. Hari demi hari, hampir seumur hidupnya dia melihat dan menyaksikan perlawanan bola sepak, yang akhirnya menimbulkan minat dalam dirinya walaupun dia autistik. Haikal sering menyaksikan sesi latihan dengan penuh minat dan tumpuan. Setiap kali ayahnya mengajar mereka, dia pasti akan berada dekat dengan kumpulan itu. Seolah-olah dia sedang memerhatikan setiap gerak geri dan skill pemain, serta menyerap kemahiran itu ke dalam dirinya.

Pada satu sesi latihan Haikal tiba-tiba sahaja berlari ke tengah padang dan menuju ke tiang gol. Dia menolak ke tepi penjaga gol dan terus menampan bola yang disepak oleh pemain. Bola itu melekat di tangannya dan dipeluk bola itu sekuat hati sehingga Ramzi perlu ke padang untuk menarik Haikal ke tepi. Gaya dan lagaknya mirip seperti penjaga gol yang sedang menjaga gawang pertahanan. Ramzi tidak menganggap ini serius kerana kecacatan anaknya mungkin akan menjadi penghalang dan dia juga tidak mahu berharap pada harapan yang tidak pasti.

Bermula detik itu, bagaikan ada seru yang menyeru semangat Haikal untuk menceburkan diri dalam bola sepak suatu ketika nanti. Walaupun begitu ada juga bisikan yang merendahkan moralnya atas kekurangan dirinya. Haikal terkesima.

Namun segalanya berubah apabila, pada satu perlawanan Amal, seorang doktor pakar Diagnosis Autistik berjumpa dengan Ramzi setelah dia melihat Haikal yang mempunyai potensi untuk bermain bola sepak. Mungkin itulah bakat terpendam Haikal yang Ramzi terlepas pandang selama ini. Doktor itu memberitahu yang Haikal sebenarnya boleh dilatih kerana itu adalah minatnya tetapi dia hanya boleh melakukan satu atau dua perkara sahaja iaitu menangkap dan membaling semula bola.

Ini bagaikan harapan yang dibajai bagi Ramzi. Sedikit demi sedikit, dia melatih Haikal. Bahkan Ramzi turut mencipta modul untuk latihan bola sepak bersama Doktor bagi melatih golongan ini. Pemerhatian Ramzi kemudiannya diiktiraf sebagai sumbangan kepada arena bola sepak dan golongan OKU amnya. Kesampaiankah cita-cita Ramzi untuk melihat anaknya itu berjaya dalam bidang bola sepak? Atau pun impiannya hanya angan-angan semata.