CINTA ADAM DAN HAWA (TV1)



CINTA ADAM DAN HAWA (TV1)
JUMLAH EPISOD: 26 episod
SLOT: Bidadari
MULAI: 30 April 2013,
HARI: setiap Isnin hingga Khamis,
MASA: 11.05 pagi
PELAKON: Sasha Saidin, Engku Ismail, Hamidah Wahab, Norman Hakim, Shahrolnizam, Wan Nor Azlin, Yus Waisar, Zarina Zainuddin, Acong dan Azza





SINOPSIS CINTA ADAM DAN HAWA (TV1)
berkongsi kisah menarik watak Adam Hanzalah, pemuda yang memiliki penampilan yang moden dan ranggi tetapi berpengetahuan dalam agama telah muncul dalam sebuah keluarga yang hanya mementingkan urusan dunia. Kehadirannya dalam keluarga itu bertujuan untuk menyelesaikan konflik keluarga tersebut mengenai tanah pusaka yang mahu dikomersilkan sebagai pusat peranginan.

Kisahnya bermula dengan kemunculan Adam Hanzalah yang tanpa disengajakan bertemu dengan teman lamanya, Tengku Rayyan yang juga anak pemilik syarikat dikenali sebagai Tengku Taz. Sejak itu hubungan baik terjalin antara Adam Hanzalah dengan keluarga itu terutama dengan Taz.

Sejak awal Adam Hanzalah menyedari terhadap kepincangan dalam keluarga itu yang hanya mementingkan urusan dunia. Kehidupan mereka sentiasa bergolak apatahlagi isteri Taz, Wan Hasimah gemar mengongkong urusan keluarga dan perniagaan suaminya manakala dua anaknya Tengku Rayyan dan Tengku Zeera hanya mahu menghabiskan harta keluarga. Cuma anak bongsunya tempat Taz bermanja namun Tengku Ammar telah dihantar ke kampung tinggal bersama nindanya, Tengku Rugayyah kerana ibunya sendiri enggan mengaku Ammar sebagai anak kerana kecacatannya.

Masa berlalu Adam Hanzalah telah dicabar oleh Taz dan Tengku Rayyan menyahut cabaran membantu mereka sama-sama mengusahakan projek resort 5 bintang. Sebenarnya dua beranak itu mahu ‘menggunakan’ Adam Hanzalah untuk meyakinkan Tengku Rugayyah mahu meneruskan projek terbengkalai yang pernah diusahakan Rugayyah bersama arwah suaminya. Dengan ciri-ciri pemuda berkarisma dan miliki ilmu agama yang dilihat menebal dalam dirinya, Adam Hanzalah adalah individu sesuai meyakinkan wanita separa usia itu.


Hakikatnya Tengku Rugayyah bimbang sekiranya projek itu di teruskan, pulau tersebut akan tercemar kerana kehadiran pelancong asing dan penduduk sedikit sebanyak akan mendapat kejutan budaya, ciri-ciri agama yang diamalkan akan berkurangan dan pelancong luar pasti akan mengotorkan pandangan mata dengan penampilan yang menjolok mata.

Kehadiran Adam Hanzalah akhirnya berjaya meyakinkan semua orang untuk menjayakan projek itu dengan cara yang tidak mengetepikan landasan agama dan budaya. Namun pada masa sama, Adam Hanzalah perlu berdepan dengan sikap buruk Wan Hasimah yang sentiasa hadir dengan idea-idea jahat menggagalkan niat baiknya ‘memperbetulkan’ keluarga Tengku Taz kembali ke jalan yang benar.


Begitu juga Adam Hanzalah tersepit dengan perasaan cinta terhadap Tengku Zeera yang ikhlas berubah sikap dan penampilannya kerana agama dan juga Sumayyah, seorang mualaf yang merupakan bekas isterinya yang muncul kembali tanpa diduga.

Mujur ketika berdepan dengan segala dugaan tersebut, dia dibantu Siti Humairah, anak angkat Tengku Rugayyah yang juga teman ketika sama-sama melanjutkan pengajian dalam bidang agama satu ketika dahulu. Mereka nyata miliki nasib yang sama apabila Siti Humairah juga berdepan cabaran sama ada menerima kembali cinta Tengku Taz atau pun menyambut kasih dihulurkan oleh Ustaz Huzaifah.

Untuk menyaksikan apakah kesudahan jalan cerita menarik ini, saksikan Cinta Adam dan Hawa hanya di TV1.