G.I JOE - RETALIATION

G.I JOE - RETALIATION
MULA TAYANGAN: 28 Mar 2013
GENRE:Action / Adventure
PENGARAH:Jon M. Chu
PELAKON:D. J. Cotrona, Byung-hun Lee, Adrianne Palicki, Ray Park, Jonathan Pryce, RZA, Ray Stevenson, Channing Tatum, with Bruce Willis and Dwayne Johnson
ULASAN: Ohbulan



SINOPSIS G.I JOE - RETALIATION

Sebelum ini, anggota GI Joe telah terbabit dalam konflik menyelamatkan dunia dari pengganas Cobra yang menggunakan senjata nanotech yang berbahaya. Kali ini pula, kumpulan askar elit yang telah dilatih ini terpaksa mengharungi kejadian yang tidak pernah mereka sangka akan berlaku. Seluruh pasukan GI Joe diserang hendap disebuah gurun dan menyebabkan ketua mereka iaitu Duke (Channing Tatum) dan semua anggota yang lain mati dibunuh.

Serangan ini telah diarahkan oleh Zartan (Jonathan Pryce) yang telah menculik dan kemudian menyamar sebagai presiden Amerika. Akibat dari kejadian ini, hanya beberapa anggota GI Joe sahaja yang terselamat iaitu Roadblock (Dwayne Johnson), Lady Jaye (Adrianne Palicki), Flint (D.J. Cotrona), dan juga Snake Eyes (Ray Park).

Hanya tinggal mereka berempat yang merupakan anggota asal GI Joe, Roadblock kemudian dilantik sebagai ketua baru dan merancang untuk menuntut bela atas kematian ahli pasukannya. Dibantu oleh General Joseph Colton (Bruce Willis), seorang pegawai atasan yang telah bersara, mereka dibekalkan dengan pelbagai senjata dan juga maklumat sulit.

Dalam pada itu, Storm Shadow (Byung-Hun Lee) yang sebelum ini berjaya melarikan diri telah dihantar oleh Zartan untuk pergi membebaskan Commander Cobra yang telah dikurung di sebuah penjara sulit. Dengan bantuan seorang lagi penjahat iaitu Firefly (Ray Stevenson), Commander Cobra berjaya meloloskan diri walaupun telah ditahan dengan ketat.

Klimaks cerita ini ialah apabila Zartan telah meminta semua pemimpin negara yang mempunyai senjata nuklear, menghadiri sidang kemuncak kuasa nuklear yang diadakan di Amerika Syarikat.


Zartan yang telah menyamar sebagai presiden Amerika ini kemudian telah mengugut kesemua pemimpin negara yang hadir dan mengaktifkan senjata nuklear Amerika dihadapan mereka dan terus mengarahkan senjata itu ditujukan ke negara pemimpin yang hadir. Tindakan ini mengejutkan mereka semua dan tanpa berfikir panjang, kesemua pemimpin negara tersebut turut mengaktifkan senjata nuklear mereka dan mengarahkan ke Amerika pula.

Dalam waktu genting itu, kesemua mereka bertelagah dan secara tiba-tiba Zartan telah menyahaktif peluru berpandu yang dihantar dan ia terus meletup di atmosfera. Sekali lagi, tindakan mengejutkan ini telah menyebabkan pemimpin negara lain keliru dan terpinga-pinga. Akhirnya, mereka terpaksa mengikut langkah yang sama.

Tujuan Zartan melancarkan senjata nuklear ini ialah supaya semua negara yang mempunyai senjata nuklear menggunakan senjata mereka pada waktu yang sama. Ia demi memberi laluan pada Commander Cobra untuk berkuasa tanpa ancaman dengan senjata berteknologi tinggi ciptaan mereka yang dinamakan Zeus.


Anggota GI Joe yang terselamat mengetahui rancangan Cobra untuk menguasai dunia. Mereka kemudian merancang strategi lebih awal dan dibantu oleh Jeneral Colton, Roadblock bersama yang lain telah menyerang hendap sidang kemuncak nuklear tersebut.

Namun ketika mereka sampai, senjata Zeus sudah diaktifkan ke beberapa lokasi dan kesannya, ia mampu membunuh semua populasi manusia di bumi. Dalam ketegangan ini, pertempuran dan perebutan berlaku diantara GI Joe dan Cobra. Sebuah beg bimbit yang mempunyai akses kepada senjata Zeus menjadi penentu hidup dan mati penduduk dunia.


Namun, yang menjadi persoalannya ialah, sempatkah GI Joe menyahaktif senjata Zeus tersebut? Mampukah mereka menyelamatkan dunia atau akan ada lagi kah sambungan kepada franchis filem GI Joe lagi selepas ini?