UJANG BARAN (TV2)

UJANG BARAN
JUMLAH EPISOD: 13 episod
MULAI: 4 April,
HARI: setiap Khamis,
MASA: 9.00 malam
PELAKON: Norman Hakim dan Sari Yanti di samping Mie Raja Lawak, Man Raja Lawak, Aznah Hamid, Mubarak Majid dan Man Belon.



SINOPSIS UJANG BARAN (TV2)
Ujang sentiasa dihantui kisah lampau hidupnya ketika masih kecil. Ujang sering dipukul oleh arwah ayahnya yang sememangnya terkenal dengan sifat garang. Ini menjadikan Ujang juga menjadi seorang yang suka memberontak dan mudah naik angin. Sehinggalah Ujang digelar Ujang Baran di kampungnya. Aksi komedi ini bermula dengan babak di mana Ujang Baran mengamuk kat Karim Posmen dengan parang sehingga Karim Posmen terpaksa memanjat pokok dari siang hingga ke malam. Ujang Baran mengamuk sebab Karim Posmen mempersendakan dan memperkecilkan dirinya semasa menghantar surat di rumahnya. Karim Posmen buat cerita tetapi mengikut versi dia sendiri kepada penduduk–penduduk kampung di warung. Pak Usin, tauke warung kampung menegur sikap Karim Posemn yang suka buat cerita.

Mak Jah, ibu kepada Ujang Baran menasihatkan anaknya supaya mengubah perangai barannya. Pada masa yang sama Karim Posmen cuba memikat Milah, anak Pak Usin tetapi tak dilayan oleh Milah. Karim Posmen mancari jalan untuk mengenakan Ujang Baran yang telah memalukannya. Ujang Baran mengamuk pulak dengan Milah sebab Ujang Baran tersilap menghantar pesanan. Dia menyimbah air teh halia yang dihantar oleh Milah ke badan Milah.
Milah melenting bila disimbah dengan air teh halia oleh Ujang Baran. Dia dan Ujang Baran bergaduh di warung tetapi sempat dileraikan oleh Pak Usin dan Ketua Kampung. Karim Posmen dan Zul Pengkar,(budak suruhan Karim Posmen) seronok tengok apa yang sedang berlaku. Mak Jah pening kepala memikirkan cara yang terbaik untuk mengubat masalah baran anaknya. Karim Posmen yang dengkikan Ujang Baran sanggup mencari bomoh untuk mengenakan Ujang Baran. Karim Posmen berpura – pura jadi baik dengan Mak Jah sebab nak pujuk Mak Jah supaya bersetuju dengan cadangannya membawa Tok Dukun ke rumah untuk mengubat masalah baran anaknya. Mak Jah yang termakan dengan hasutan Karim Posmen akhirnya bersetuju dengan cadangan Karim Posmen.


Tok Dukun yang dibawa oleh Karim Posmen cabut lari tak cukup tanah bila Ujang Baran mengamuk sebab Tok Dukun tu simbah air kat mukanya. Karim Posmen ditempelak oleh Tok Ketua di warung pada keesokan harinya. Tok Ketua singgah di rumah Mak Jah dan menegur perbuatan Mak Jah yang menggunakan bomoh kerana ia merupakan satu tindakan yang syirik. Karim Posmen pergi semula ke pondok Tok Dukun sebab nak mintak Tok Dukun pulangkan balik duit yang telah diberikan sebab rancangan mereka tak menjadi tetapi Tok Dukun tak ada di pondoknya.

Pak Usin rasa bersalah kerana tak membantu Mak Jah mengawal Ujang Baran sebab Pak Usin dahulu adalah kawan baik kepada arwah suami Mak Jah. Karim Posmen sedar dirinya dah kena tipu dengan Tok Dukun yang sebenarnya ialah orang kampung sebelah yang menunggu durian di pondoknya di tengah tengah hutan dan bukanlah bomoh hebat seperti yang disangka oleh Karim Posmen. Marah sebab ditipu, Karim Posmen mencuri durian yang dijual oleh Tok Dukun di gerainya.

Pak Usin singgah di rumah Mak Jah untuk menyatakan hasratnya membantu Mak Jah dan Ujang Baran. Mak Jah berpakat dengan Pak Usin untuk mengubat masalah baran Ujang. Dia berpura – pura pengsan. Ujang Baran panik. Pada masa yang sama ada kekeliruan berlaku di mana Karim Posmen dan Zul Pengkar tersalah sangka yang Mak Jah ada membela hantu raya di rumahnya. Mereka mengendap – ngendap di rumah Mak Jah untuk mengintai . Tok Ketua yang kebetulan lalu di hadapan rumah Mak Jah ternampak dua orang lembaga yang sedang mengendap di rumah Mak Jah.

Apakah yang berlaku seterusnya? Berjayakah usaha Mak Jah untuk mengubah sikap baran Ujang? Bagaimana pula kesudahan hubungan Ujang Baran dengan Milah bila munculnya pihak ketiga, Cikgu Latip?