ALAMAK BAKAR (TV1)

ALAMAK BAKAR (TV1)
MULAI: 1 Mei 2013 (Rabu),
MASA: 2.30 petang
PELAKON: Arin Raja Lawak, Ilya Buang, Julie Woon, Fadhil Dhani, Fauziah Nawi, Accapan, Azman Hassan dan Taiyuddin Bakar,



SINOPSIS ALAMAK BAKAR (TV1)
Bakar, antara pemuda yang gagal mencapai cita-cita. Namun, hidup harus diteruskan dan Bakar menjadikan impian Mak Ijah, ibunya yang buta sebagai pencetus semangat meneruskan hidupnya. Mak Ijah mahukan Bakar menjadi seorang polis seperti arwah suaminya. Tanpa pengetahuannya, Bakar kerap kali gagal dalam temu duga anggota polis.

Untuk tidak mengecilkan hati Mak Ijah, Bakar memberitahu temu duganya lulus dengan jayanya dan dia akan dipanggil bertugas. Wajah riang Mak Ijah menimbulkan rasa bersalah yang tidak terhingga dalam hati Bakar. Bakar meminta pendapat Pak Usin, mentornya. Pak Usin menyarankan Bakar untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan, sekurang-kurangnya skop tugas dan baju seragamnya menyamai polis.

Kehidupan malang Bakar dikusamkan lagi dengan pekerjaannya yang sangat membosankan. Bakar hilang arah dan hilang punca, justeru, dia mula endah tak endah dengan pekerjaannya. Bakar terlibat perselisihan dengan Geng Jambu di mana, dia dibelasah teruk. Keesokan harinya, Bakar dipecat. Bakar kecewa dengan nasibnya. Namun, apabila menatap semula wajah ibunya, Bakar bertekad untuk bekerja dengan lebih rajin, tambahan pula, Mak Ijah yang sedang sakit memerlukan peruntukan kewangan yang lebih.

Majikan Bakar memberinya peluang terakhir tetapi kali ini Bakar terpaksa menjaga sebuah pangsapuri lama yang menyeramkan bersama seorang Nepal, Rajendra. Selepas mengalami beberapa kes menakutkan, Bakar terserempak dengan Hannah, seorang polis wanita undercover yang sedang menyiasat kes pengedaran dadah berpusat di pangsapuri lama tersebut.

Bakar dan Hannah akhirnya dapat merungkai rangkaian jenayah terancang Geng Jambu yang diketuai oleh Rajendra. Kes itu berjaya ditangani dengan penuh keperwiraan oleh Bakar.

Bakar akhirnya mengaku kepada Mak Ijah, kegagalannya di dalam SPM telah menyukarkannya untuk menjadi polis. Umurnya juga semakin lanjut untuk diterima sebagai Polis Bantuan.

Namun Bakar tidak pernah mengenal putus asa. Dia kemudiannya meminta bantuan Hannah untuk memberi sokongan kepadanya menjadi seorang polis. Atas sokongan Hannah, dapatkah Bakar diterima menjadi seorang Polis Bantuan yang menjaga kawasannya daripada sebarang jenayah?

Saksikan drama khas tayangan Hari Pekerja ini hanya di TV1.