RINDU ITU MILIK DIA (TVi)

RINDU ITU MILIK DIA (TVi)
HARI: setiap Isnin hingga Rabu,
MASA: 6.00 petang
PELAKON: Memey Suhaiza dan Talha Harith, Tony Eusoff, Adam Shah, Syazwan Zulkifli, Ku Fridah dan Roslan Salleh,
EPISOD: 13 episod



SINOPSIS RINDU ITU MILIK DIA (TVi)
mengisahkan pasangan suami isteri, Jamil dan Rohilah tinggal di kampung bersama seorang anak lelaki bernama Ezham. Mereka tinggal berjiran dan berhubungan baik dengan keluarga Wong dan isterinya Marina Lee Mereka saling mengambil berat antara satu sama lain memandangkan keluarga Wong tidak mempunyai saudara mara lain tinggal di Malaysia.

Kejayaan mengusir Chong seorang kaki buli kampung membuatkan samseng itu berdendam dan nekad membalas dendam dengan mereka. Hinggalah satu hari berlaku tragedi di mana Chong berjaya membelasah dan menculik Wong yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari kebunnya. Sejak itu mereka tidak lagi menemui kelibat Wong di mana-mana.

Marina kehilangan arah apatahlagi dia sedang sarat mengandung anak sulongnya dengan Wong. Mujur ada Rohilah dan Jamil yang selalu memberikan semangat kepadanya. Kemuncaknya Marina dihalau daripada rumahnya dan dia menumpang di rumah pasangan suami isteri itu.


Marina kemudiannya selamat melahirkan anak perempuan diberi nama Lily. Sejak itu dia berkeras mahu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan menampung kehidupannya dengan Lily. Rohilah dan Jamil akhirnya terpaksa akur dengan permintaan Marina apatahlagi Marina mahu meninggalkan Lily kepada mereka sementara mendapat pekerjaan yang sesuai.

Kehidupan Rohilah dan Jamil terus dirundung malang bila Chong terus-terusan mengganggu mereka hingga jatuh miskin. Mahu atau tidak mereka juga terpaksa berhijrah setelah Jamil ditawarkan kerja pengawal keselamatan oleh sepupunya di ibu kota.

Marina pula sentiasa bertukar kerja akibat dibuli majikannya. Tetapi mujur dia menemui insan yang baik, Amutha membantunya mendapatkan pekerjaan yang sesuai. Dia kemudiannya memutuskan untuk kembali mencari Ruhilah dan mengambil semula Lily. Namun hasratnya tidak kesampaian bila mengetahui mereka sudah berpindah.

20 tahun berlalu, Lily kini semakin meningkat dewasa dan menjadi kesayangan ibu bapa serta abang angkatnya, Ezham. Begitu pun dia masih berusaha menjejak ibu kandungnya yang sebenar. Rohilah dan Jamil meningkat tua namun Jamil tetap mahu bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana tidak mahu bergantung kepada anaknya meskipun dilarang oleh Ezham.

Ezham bekerja sebagai Pengurus Operasi di rangkaian kafe francais MayLi yang terkenal di Malaysia dan mempunyai cawangan di New Zealand. Manakala Lily pula diterima menjadi model dan bersahabat baik dengan Anita. Dalam diam Anita sebenarnya mempunyai kepentingan lain berkawan dengan Lily. Dia cemburukan Lily yang lebih diterima dalam agensi model mereka dan mahu mendekati Ezham. Begitu pun Lily tidak sedar akan semua muslihat Anita itu.

Pelbagai cara dilakukan oleh Anita untuk mencapai impiannya termasuk sering kali memburukkan nama Lily kepada paparazi dan wartawan yang gemar mendapatkan gosip murahan. Jamil dan Rohilah tidak putus-putus memberikan inspirasi kepada Lily untuk meneruskan perjuangan dan menepis gosip buruk berkenaan.

Sementara itu Lily diminati oleh Jason, seorang pengurus besar yang kemudiannya bersubahat dengan Anita mahu merebut cinta gadis itu. Anita menggunakan kesempatan yang ada mahu mendapatkan cinta Ezham. Rancangan mereka berjaya bila Lily dan Ezham bergaduh besar dan pemuda itu membawa diri ke luar negara.

Berjayakah Lily menjejak semula ibu kandungnya? Bagaimana pula kesudahan cinta antara Ezham dan Lily yang sebenarnya menyimpan perasaan antara satu sama lain? Ikuti kesudahannya dalam Rindu Ini Milik Dia hanya di TVi (Saluran 180 Astro).