OH MY GANU (ASTRO)

OH MY GANU (ASTRO)
MULAI: 27 November 2013,
MASA: 9 malam
SALURAN: Astro TVIQ (Saluran 610) dan Astro Maya HD (Saluran 135).



SINOPSIS OH MY GANU (ASTRO)
Para peminat siri ini pastinya tidak sabar menunggu kelainan di dalam telefilem Oh My Ganu! yang merupakan kesinambungan daripada episod kemuncak Oh My English! musim kedua. Sempena cuti sekolah, telefilem bercorak komedi pendidikan ini akan turut menampilkan Zizan Raja Lawak dan Izzue Islam dalam watak baru.

Telefilem Oh My Ganu menyambung kisah episod kemuncak iaitu episod 20 Oh My English musim kedua, yang berakhir dengan babak tergantung yang mana Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) harus memilih sama ada berjumpa Sara Jane (Gabriella Robinson) yang akan berangkat ke United Kingdom, ataupun Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) yang mengambil keputusan untuk pulang ke Terengganu. Pada hujung rancangan, penonton diberi peluang untuk membantu Mr. Middleton memilih antara Sara Jane di UK atau Cikgu Ayu di Terengganu melalui undian dalam talian atau menerusi media sosial. Sebanyak 50,000 undian penonton telah diterima dan hasilnya 89% daripada undian menyebelahi Cikgu Ayu. Keputusan inilah yang telah membentuk jalan cerita telefilem ‘Oh My Ganu’.


Melalui telefilem ‘Oh My Ganu’ yang berlatar-belakangkan sebuah kampung di pantai timur, penonton juga dapat menyaksikan adegan mencuit hati apabila pelajar 3 Merah dan guru kesayangan mereka Mr. Middleton pergi mencari Cikgu Ayu di kampung halaman beliau. Namun begitu, dalam gelagat lucu pastinya terselit drama dan cabaran apabila Mr. Middleton terpaksa berhadapan dengan Zizang (Zizan Razak), seorang jutawan di kampung tersebut yang turut menaruh hati terhadap Cikgu Ayu, dan juga Aiman (Izzue Islam) yang sangat rapat dengan Cikgu Ayu.

Siapakah yang akan berjaya memenangi hati Cikgu Ayu dan apakah kesudahan buat para pelajar kelas 3 Merah? Semuanya akan terjawab di dalam telefilem Oh My Ganu! nanti.