IMAM MUDA NAK KAHWIN LAGI (TV2)

IMAM MUDA NAK KAHWIN LAGI (TV2)
TARIKH: 14 Julai ini,
MASA: 10.00 malam di TV2,
PELAKON: Razali Hussain, Memey Suhaiza, Munir, Abu Bakar Juah, Watie Sadali dan Joey



SINOPSIS IMAM MUDA NAK KAHWIN LAGI (TV2)
bermula dengan watak Hassan adalah seorang imam sambilan di kawasan kampungnya. Dia juga seorang pengusaha kebun cili fertigasi yang berjaya. Hasil dari kebunnya saja sudah menyamai pendapatan seorang pegawai tinggi di syarikat multi nasional. Malah elaun sebagai imam yang diberi kerajaan telah Hassan dermakan tiap bulan kepada masjid dimana beliau bertugas.

Kehidupan isterinya iaitu Maya amat beruntung sekali. Segala kemewahan dapat diberi suaminya. Mereka mempunyai seorang anak perempuan yang berusia 3 tahun. Maya adalah seorang isteri yang mithali di kawasan tersebut. Beliau sering menjadi tempat rujukan para ibu jika mempunyai apa-apa masalah yang membabitkan soal hukum. Maya juga amat aktif dalam kegiatan dakwah dikalangan kaum wanita bagi daerahnya.

Hassan selain dikenali seorang imam muda dan berjaya didalam bidang bisnes pertanian, juga dikenali sebagai seorang lelaki yang lembut hati kerana beliau cukup tidak sanggup melihat hamba Allah yang hidup dalam kesempitan ekonomi. Para pemuda kampung juga amat menghormati Hasaan kerana Hassan amat mudah untuk mereka temui dan mudah berkomunikasi dengannya.

Tanpa di duga satu berita telah tersebar di kampung tersebut iaitu Hassan akan berkahwin lagi. Keadaan ini membuat para penduduk menjadi resah. Ada yang tidak percaya dengan khabar angin itu. Ada pula mempercayai kerana Imam Hassan orangnya kacak dan banyak duit. Namun ada yang hilang rasa hormat kepada Hassan kerana bagi mereka Hassan seharusnya bersyukur telah mempunyai isteri secantik Maya. Malah Maya juga bukan wanita sebarangan, beliau mempunyai ijazah dalam ilmu Usulludin.

Pada awalnya Maya tidak menghiraukan berita tersebut kerana Maya cukup mengenali suaminya itu. Namun selepas beberapa ketika Maya dapati suaminya sering pergi bertemu seseorang di bandar. Tiap kali Maya tanya siapa, Hassan cuma mengatakan sahabat lama. Maya mulai memikirkan yang bukan-bukan dan beliau akhirnya terpancing juga dengan cerita karut orang tentang suaminya.

Haji Malik adalah imam tua di kampung itu, beliau juga kelihatan agak sibuk sejak akhir-akhir ini. Pada satu hari seseorang telah terdengar perbualan Haji Malik ditelefon. Haji Malik mengatakan dia sedang sibuk mengurus pernikahan Hassan dengan seorang janda. Gara-gara perkataan itu maka tersebarlah cerita tersebut. Orang mula berfikir Hassan rupanya selama ini tidak beza dengan orang lain di kampung tersebut.

Penduduk kampung mula tertanya-tanya siapa antara 3 janda muda di kampung itu yang menjadi kekasih gelap Hassan. Malah ada yang mengatakan yang bukan-bukan, mereka merasakan Hassan seharusnya tidak lagi menjadi imam muda kampung itu. Alasan mereka pasti Hassan sering bertemu dengan janda muda tersebut di bandar. Janda muda yang paling mereka syaki adalah Syikin yang terkenal seksi itu. Ada beberapa orang pernah ternampak Syikin berseloroh dengan Hassan.

Hassan mulai merasa rahsianya telah bocor bila isterinya mula merajuk dan adakala marah. Mana mungkin Maya sanggup di madukan lebih-lebih lagi dengan Syikin yang terkenal sebagai janda bergetah kampung tersebut. Beberapa kali Hassan cuba menjelaskan tapi Maya sering menghentikan Hassan separuh jalan.

Beberapa pemuda kampung yang selama ini rapat dengan Hassan telah bertindak untuk mencari jalan keluar iaitu menghalang Hassan dari berkahwin lagi. Mereka tidak mahu Hassan ditolak penduduk kampung lain sebagai imam kampung itu. Akhirnya mereka bersemuka dengan Hassan selepas kuliah subuh. Hassan mengaku dia mahu bernikah dengan seorang janda kerana mahu mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Hassan mahu menikahi janda yang dibuang oleh keluarga mereka.

Ada di kalangan pemuda tersebut dengan berani berdiri dan mengatakan beliau sanggup bernikah dengan janda yang dikatakan Hassan. Sebenarnya pemuda-pemuda tersebut berfikir janda yang dimaksudkan itu adalah Syikin. Alangkah terkejutnya mereka bila janda yang dumaksudkan Hassan adalah Siti iaitu janda yang berusia 45 tahun dan telah lumpuh. Beliau hidup dalam kedaifan dan kerana rumahnya yang agak jauh dari orang lain maka tiada siapa yang ambil berat keatas dirinya.