• This is Slide 1 Title

    This is slide 1 description. Go to Edit HTML and replace these sentences with your own words. This is a Blogger template by Lasantha - PremiumBloggerTemplates.com...

  • This is Slide 2 Title

    This is slide 2 description. Go to Edit HTML and replace these sentences with your own words. This is a Blogger template by Lasantha - PremiumBloggerTemplates.com...

  • This is Slide 3 Title

    This is slide 3 description. Go to Edit HTML and replace these sentences with your own words. This is a Blogger template by Lasantha - PremiumBloggerTemplates.com...

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 53




MAKSUD KEMERDEKAAN

Kemerdekaan ialah pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan.

Istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai "wilayah" yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera. Perkataan ini kekadang juga digunakan dalam erti kata yang lebih lemah untuk membezakan dengan hegemoni yang merupakan kawalan sebuah negara secara tak langsung oleh sebuah negara yang lebih kuat.

Kemerdekaan boleh merupakan taraf permulaan bagi sebuah negara muncul (sering kali untuk mengisi kekosongan politik), tetapi sering merupakan pembebasan daripada kuasa yang mendominasi kawasan itu. Dari segi negatif, kemerdekaan juga boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak dikuasai oleh kuasa yang lain melalui penjajahan, dasar peluasan kuasa atau imperialisme.

Kemerdekaan boleh diperoleh melalui penyahjajahan, pemisahan atau pembahagian. Walaupun ketiga-tiga ini sering berbetulan dengan kemerdekaan, ketiga-ketiga ini harus tidak dikelirukan dengan pemberontakan yang biasanya merujuk kepada penggulingan pihak berkuasa secara ganas. Ini kekadang hanya bertujuan untuk pengagihan semula kuasa — dengan atau tanpa unsur pembebasan seperti dalam kes pendemokrasian — di dalam sebuah negara dan oleh itu, bentuk negara itu tidak berubah. Umpamanya, Revolusi Oktober Rusia tidak bertujuan untuk memperoleh kemerdekaan negara; sebaliknya Perang Revolusi Amerika Syarikat bertujuan sedemikian.

Autonomi merujuk kepada sejenis kemerdekaan yang diberikan oleh pihak berkuasa yang pada dirinya masih mengekalkan kuasa muktamad terhadap wilayah itu (sila lihat penurunan kuasa). Negeri naungan merujuk kepada kawasan autonomi yang bergantung kepada kerajaan yang lebih besar untuk perlindungannya sebagai kawasan autonomi.

Sebuah negara yang ingin menuntut kemerdekaan daripada pihak berkuasa akan mengumumkan pengisytiharan kemerdekaan, umpamanya Pengisytiharan Arbroath oleh Scotland yang merupakan contoh negara terawal yang masih wujud serta Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat pada tahun 1776 yang paling masyhur.

Terdapat banyak sebab mengapa sebuah negara atau wilayah hendak menuntut kemerdekaan. Kekecewaan terhadap pihak berkuasa merupakan alasan yang sering dikemukakan oleh gerakan-gerakan pengikut faham pemisahan, tetapi kesusahan ekonomi biasanya adalah yang mencetuskan tindakan gerakan-gerakan ini. Cara untuk menuntut kemerdekaan berbeza-beza dari tunjuk perasaan yang aman ke perang saudara yang ganas.

Tarikh kemerdekaan (atau kekadangnya permulaan pemberontakan) biasanya dirayakan sebagai hari kelepasan negara yang dikenali sebagai hari kemerdekaan.


LAGU NEGARAKU


Pada tahun tahun 1956 semua negeri di Tanah Melayu mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Walau bagaimanapun, belum ada sebuah lagu kebangsaan yang merangkumi bagi seluruh negara. Y.T.M. Tunku Abdul Rahman yang menjadi Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada ketika itu telah membuat ketetapan agar sebuah lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka. Beliau mencadangkan agar diadakan satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan. Hasilnya sebanyak 514 buah lagu telah diterima dari seluruh dunia. Namun demikian tidak ada sebuah lagu dari 514 lagu yang dikemukakan yang dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.

Jawatankuasa ini kemudian berpendapat satu cara lagi untuk memperolehi lagu kebangsaan yang baik ialah dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama untuk menciptanya. Dengan itu jawatankuasa ini membuat keputusan mempelawa beberapa penggubah lagu yang masyhur bertaraf antarabangsa untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini. Mereka yang dijemput khas untuk menggubah lagu kebangsaan ini adalah terdiri daripada Benjamin Britten, Sir William Walton yang menggubah lagu perbarisan untuk permahkotaan Ratu Elizabeth II, penggubah opera Amerika Gian Carlo Menotti dan Zubir Said. Namun, hasil gubahan mereka juga ditolak.

Akhirnya Jawatankuasa ini membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri yang sedia ada bagi mengenalpasti sama ada di antara lagu-lagu kebesaran negeri ini ada yang sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan negara. Setelah mendengar kesemua lagu negeri, Lagu Kebesaran Negeri Perak adalah sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan negara.

Lagu ini telah popular di Mahe, Kepulauan Seychelles di mana bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan. Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk orang ramai di pulau berkenaan. Adalah dipercayai melodi ini telah digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada tahun 1857.

Lagu ini kemudiannya telah diperkenalkan oleh Bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura. Dalam tempoh yang singkat lagu ini telah menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan. Walaupun lagu ini menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak namun ia dimainkan juga di majlis-majlis sebagai lagu hiburan. Pada masa itu lagu ini terus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak sehingga dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia dengan nama Negaraku. Selepas itu irama ini tidak lagi dijadikan sebagai lagu hiburan kerana dilarang.

LIRIK LAGU NEGARAKU

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita
selamat bertakhta



MAKSUD LAMBANG MALAYSIA (JATA NEGARA)

Lambang Malaysia, atau Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu menandakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).

Bahagian sebelah kiri perisai itu (pokok Pinang) menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka menandakan Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal.
Jata Negara Malaysia yang asal.

Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunga Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang ditunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia. Slogan, "Bersekutu Bertambah Mutu" ditulis dengan tulisan Rumi di sebelah kiri dan tulisan Jawi di sebelah kanan.

Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.


MAKSUD BENDERA MALAYSIA (JALUR GEMILANG)

Bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama bagi Persekutuan (Malaysia).

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.



ASAL USUL BENDERA MALAYSIA

Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.



ASAL USUL NAMA JALUR GEMILANG

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.


LIRIK LAGU JALUR GEMILANG
Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa Merdeka
Semangat jaya kami warganya

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat

Jalur Gemilang dibawah naunganmu
Jalur Gemilang kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia

Jalur Gemilang megah kami terasa
Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan
Merah, putih, biru, kuning
Jalur semangat kami semua
(2x) Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah
Jalur Gemilang!

Ciptaan dan Senikata: Pak Ngah & Siso Kopratasa



RUKUN NEGARA

Mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:

Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan

BUNGA RAYA - BUNGA KEBANGSAAN NEGARA MALAYSIA

Bunga Raya merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang sering di tanam sebagai pokok hiasan. Tumbuhan berbunga mula muncul pada zaman Cretaceous. Pokok berbunga pertama adalah angiosperm.

Hibiscus rosa-sinensis adalah bunga kebangsaan Malaysia, dikenali sebagai Bunga Raya.

Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan.

Pada akhir pada tahun 1958 Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Bunga yang dicadangkan adalah Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung.

Selepas perbincangan, pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu.

Hibiscus Cina (Hibiscus rosa-sinensis L.; Keluarga Malvaceae) adalah pokok renek asal di barat Asia, juga dikenali sebagai mawar China dan bunga Kasut. Ia ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.

Pelbagai cultivars, varieties, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda. Bunga ini digunakan bagi mengilat kasut disebahagian India.


HARIMAU LAMBANG MALAYSIA

Harimau merupakan lambang yang penting di negara-negara seperti Malaysia dan India. Pada lambang negara Malaysia (Jata Negara), dua ekor harimau yang berdiri di kedua-dua belah perisai melambangkan kekuatan dan keberanian. Lambang harimau juga digunakan pada logo syarikat Malaysia seperti Maybank dan PROTON.

Harimau telah dikatakan binatang kebangsaan Malaysia sedangkan ia merupakan salah satu binatang yang terawal muncul di tanah Melayu. Harimau juga melambangkan keberanian dan kekuatan.

Harimau diancam kepupusan bukan sahaja akibat pertembungan dengan manusia yang menganggap jenis kucing buas ini sebagai ancaman keselamatan kepada nyawa manusia dan binatang ternakan, malah diburu untuk memperoleh kulit belangnya untuk tujuan perhiasan, serta anggota badannya untuk dijadikan hidangan eksotik dan perubatan tradisi Asia. Kemusnahan habitat juga banyak menyumbang kepada penurunan bilangan harimau di dunia.

Sekarang dianggarkan cuma tinggal 3,000 ekor harimau daripada pelbagai sub-spesies di dunia. Usaha-usaha sedang dijalankan untuk memulihara populasi harimau. Pada tahun 2005, peristiwa Nicky, seekor anak harimau yang diselamatkan daripada menjadi bahan masakan, dan sekarang ditempatkan di Zoo Melaka, telah menyayat hati ramai rakyat Malaysia dan pencinta alam.