Return To Africa 2010 (FIFA 2010)
By PEREKA CERITA at Monday, June 07, 2010
ISU SEMASA
salam.. korang yang peminat bola mesti tak sabar nak tengok fifa 2010. mesti dah tengok jadual perlawanan kan. kebanyakan game main awal, so takde la ramai yang jadi burung hantu nanti hehehe.... tapi dalam bab fifa 2010 ni ada 1 kes yang aku tension iaitu kes lesen judi fifa 2010 yang diluluskan oleh kerajaan??? mengapakah perlu menghalalkan perkara buruk??? harap kes ni cepat selesai... arini aku nak share program tv berkenaan bola semperna fifa 2010.
WEB RASMI RETURN TO AFRICA 2010
http://www.returntoafrica.com.my/
Demam Piala Dunia Media Prima (Utusan Malaysia)
MESKI tidak memperoleh hak penyiaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan selama sebulan bermula 11 Jun ini, rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB) tidak 'patah kaki' dalam bersama memeriahkan kaca televisyen dengan pelbagai program menarik.
Bertemakan Return To Africa 2010, TV3, TV9, ntv7 dan 8TV, masing-masing telah pun menyenaraikan kepelbagaian 'bahan' untuk menghangatkan suasana Piala Dunia termasuk kuiz yang bakal menerbangkan pemenang ke Afrika Selatan.
Program bercorak dokumentari, drama, filem, bual bicara serta program kanak-kanak, semuanya dihidangkan MPB dalam membawakan semangat Piala Dunia di kaca televisyen tempatan.
Stesen TV3, sebagai stesen utama, bakal memulakan 'demam' Piala Dunia seawal 1 Mei nanti dengan sebuah rancangan berjudul The Immortals.
The Immortals akan memaparkan wajah-wajah pemain bola sepak handalan dunia yang telah berjaya mencipta sejarah serta menawan hati jutaan peminat bola.
Bual bicara seperti Sorak Borak yang akan bermula 3 Mei pula tampil secara langsung dengan pelbagai topik berkaitan perlawanan bola yang dilontarkan oleh selebriti serta peminat bola sepak.
Dalam mengembalikan nostalgia mengenai Piala Dunia, TV3 tidak lupa membawakan FIFA The Finals yang memaparkan 11 perlawanan akhir paling menarik sepanjang 1966 hingga 2006.
Kanak-kanak juga tidak diketepikan dengan dua program menarik iaitu DreamKix serta Kung Foot selain dua program di luar studio bercorak permainan seperti Kembara Bola serta Kids Soccer Fiesta.
Berlainan di TV9 pula, stesen dengan tagline Dekat Di Hati ini juga tidak lupa memfokus kepada Piala Dunia dengan program seperti Jersi 9, Kad Kuning Kad Merah, K9 : Pencarian Pengulas Sukan Bola Chopp, i-Glam : Football Fashion Segment, Kick Off, Nabil & Co. dan Chopp!! Bola.
Animasi kesukaan ramai, Upin & Ipin juga tidak ketinggalan meraikan Piala Dunia 2010 dengan impian mereka untuk bergelar bintang bola sepak satu hari nanti.
Begitu juga dengan ntv7 dan 8TV. Dua siaran terbabit, masing-masing punyai susunan program antaranya Bola Mania, Galactik Footbal dan The Arena di ntv7 manakala 8TV dengan barisan program iaitu The Rise & Rise Of Beckham, No Limit (sebuah drama Korea), Cristiano Ronaldo - The Portuguese Prodigy serta Zinedine Zidane - 'Zizou' The Great.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, biarpun MPB tidak memperoleh hak penyiaran perlawanan, MPB tetap menyediakan segala program dalam menyemarakkan lagi semangat Piala Dunia.
Menurutnya, Piala Dunia bukan sekadar perlawanan semata-mata tetapi lebih daripada segala-galanya.
''Berdasarkan pengalaman, penonton sebenarnya mahu menjiwai Piala Dunia selain menonton perlawanan.
''Mereka juga mahukan program-program yang berkaitan dengan Piala Dunia, sejarahnya serta program lain.
''Justeru, kami telah menyenaraikan pelbagai program terbaik khusus untuk penonton sepanjang berlangsungnya perlawanan Piala Dunia,'' katanya ketika ditemui semasa pelancaran Return To Africa 2010 di ibu negara, baru-baru ini.
Diaju persoalan tentang kebimbangan MPB terhadap rating dan pengiklan sepanjang Piala Dunia, Farid menjelaskan, perkara tersebut tidak perlu dibimbangkan.
Ini kerana, ujarnya, atas dasar pengalaman Piala Dunia yang lalu, rating MPB tetap berada di tangga terbaik dan pengiklan juga yakin dengan rangkaian televisyen MPB.
''Jika tidak ada permintaan, sudah tentu kami tidak berani mengetengahkan program khas sempena Piala Dunia ini.
''Pengiklan tetap yakin dengan MPB walaupun kami bukanlah penyiar rasmi,'' tegasnya penuh yakin.
Katanya, nisbah penyiaran program sempena Piala Dunia di rangkaian televisyen MPB adalah seimbang antara kandungan program luar dan tempatan.
Ditanya mengenai mengapa MPB tidak bersaing dalam mendapatkan hak penyiaran perlawanan Piala Dunia, Farid memberitahu bahawa ia bergantung kepada bajet dan permintaan pengiklan.
Sementara itu, Farid berkata, sepanjang berlangsungnya Piala Dunia, MPB akan turut membantu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam mempromosikan siaran perlawanan di stesen milik kerajaan itu.
'Bola Mania' Semarakkan Piala Dunia 2010 (mStar)
MUSIM demam bola sempena Piala Dunia datang lagi! Bagi menyemarakkan semangat kesukanan, ntv7 menganjurkan program gameshow Bola Mania mulai 3 Jun ini, setiap Khamis, pukul 9 malam.
Program pertama kali yang dianjurkan oleh stesen televisyen itu menampilkan penyampai radio Hot FM AG, Muhammad Azmir Selamat selaku hos di samping penyertaan daripada ramai selebriti yang lain.
Antaranya adalah Aliff Satar, Ezlynn, Farish Aziz, Ana Raffali, Zahid, Iqbal Mazlan, Fiq, Nine Coco, Zoey, Fizo Omar dan Ejal ‘Grey Sky Morning’.
Program 20 episod yang akan berlangsung selama 30 minit itu dirakamkan di set yang lengkap dengan gelanggang futsal dan tiang gol malah setiap episod menyaksikan dua kumpulan berentap untuk merebut kejuaraan.
Setiap kumpulan dianggotai dua peserta yang terpilih menerusi pusingan awal pada April lalu termasuk penyertaan seorang selebriti.
12 pasukan akan berentap bermula pusingan mingguan, suku akhir, separuh akhir dan seterusnya juara Bola Mania akan dimahkotakan pada malam akhir Piala Dunia nanti.
Program ini dibahagikan kepada tiga segmen iaitu ‘Masa Pertama’, ‘Strategi’ dan ‘Serang’. Dalam pusingan ‘Masa pertama’, peserta diajukan soalan-soalan berkisar dunia bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Sementara segmen ‘Strategi’ menampilkan para peserta untuk menjawab soalan sepantas mungkin berdasarkan gambar yang ditunjukkan.
‘Serang’ merupakan pusingan akhir yang melibatkan kemahiran para peserta bermain bola sepak sambil seorang peserta daripada setiap kumpulan bermain dengan mata dibaluti kain.
“Ntv7 sangat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada demam bola yang melanda peminat bola sepak seluruh dunia ini.
“Bola Mania bakal mencetuskan emosi dan kegilaan peminat bola sepak di Malaysia sambil menyegarkan semula pengetahuan mereka dalam acara sukan ini di samping berhibur dengan aksi-aksi peserta,” kata Pengurus Penjenamaan Kandungan Urban ntv7, Emilya Ab Rahim mengenai program yang dilancarkan di Sri Pentas, Bandar Utama semalam.
Pemenang dalam Bola Mania akan menerima pelbagai hadiah seperti SYM-Engine daripada Life motorcycles, gelang magnetik E-Dymium, baucer daripada Uni-world Travel & Tours, jam tangan Roscani, topi keledar Solidgold, barangan Nanomite, telefon bimbit E-Touch, pakaian dan aksesori Lancast, barangan Adidas Body Care trofi serta wang tunai.
Bola Mania di ntv7 sempena Piala Dunia (bharian)
Dibahagikan kepada tiga segmen, setiap episod menguji pengetahuan peserta dalam sukan bola sepak serta kepakaran mereka di gelanggang futsal. Pusingan pertama digelar Masa Pertama di mana peserta akan diajukan soalan berkisar dunia bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Peserta hanya diberi tujuh saat untuk menjawab setiap soalan dan jika gagal, kumpulan lawan akan diberi peluang untuk menjawab soalan itu. ‘Kad kuning’ akan dilayangkan kepada peserta yang tidak dapat menjawab tiga soalan dengan betul dan mereka akan mendapat ‘kad merah’ sekiranya memberikan jawapan yang salah untuk kali keempat.
Segmen Strategi pada pusingan kedua mencabar peserta untuk menjawab soalan sepantas mungkin berdasarkan gambar yang ditunjukkan. Kumpulan yang paling banyak menjawab soalan dengan betul akan memenangi pusingan ini.
Serang adalah pusingan akhir yang membabitkan kemahiran peserta bermain bola sepak sambil seorang peserta daripada setiap kumpulan bermain dengan mata dibaluti kain. Pemain yang matanya ditutup menjaga gawang gol, sementara seorang lagi menyepak bola kepada pemain ketiga yang harus menanduk atau menendang bola menggunakan buku lali.
Pada akhir pusingan, kumpulan yang berjaya mengumpul markah tertinggi akan diisytiharkan sebagai pemenang. Pemenang dalam Bola Mania akan menerima pelbagai hadiah seperti SYM-Engine daripada Life Motorcycles, gelang magnetik E-Dymium, baucar Uni-world Travel & Tours, jam tangan Roscani, topi keledar Solidgold, barangan Nanomite, telefon bimbit E-Touch, pakaian dan aksesori Lancast, barangan Adidas Body Care, trofi serta wang tunai.