PROGRAM TV RAYA (TV3)


SALAM SYAWAL TV3

VARIASI:
Sampaikan Merdeka Raya –
Menjelang Raya, 29 Ogos, 11.00malam

Program istimewa berbentuk hiburan berinteraktif menjelang Hari Raya dan Hari Merdeka ini memaparkan ucapan dan pesanan musim perayaan diselangi dengan persembahan nyanyian daripada artis-artis popular tanahair. Penonton boleh mendedikasikan lagu-lagu raya kegemaran dan ucapan raya menerusi kad raya dan mesej pesanan ringkas (SMS) kepada orang tersayang menerusi program ini yang bersiaran di Pusat Membeli Belah 1 Utama (Sayap Baru), Petaling Jaya.
Artis-artis jemputan: Shiha, Black, Jaclyn Victor, Awie Rafael, Mila, Desiree, Aizat, Alyah, Nubhan…
Pengacara: Wahid, Nabil, Usop Wilcha, AG HOT FM, Sharifah Shakina

VARIASI: Fuhhh! Merdeka Raya –
Raya Kedua (Rabu), 31 Ogos , 11.00malam

Bersempena dengan sambutan dua perayaan yang cukup istimewa iaitu Hari Kemerdekaan ke 54 yang jatuh pada Hari Raya Kedua, program hiburan sensasi, FUHHH! meraikannya dengan konsep jamuan makan BBQ. FUHHH! MERDEKA RAYA yang dihoskan oleh Awal Ashaari menampilkan Datuk Aziz Satar, Pak Kuswadinata, Fizz Fairuz, Saiful Apek, Johan As’ari, Miera Liyana, Eidil Putra dan adik Mia Sara Nasuha berkongsi nostalgia mereka sewaktu menyambut Hari Kemerdekaan dan persiapan untuk Hari Raya menerusi segmen ‘Fesyen Raya’, ‘Info Raya’, ‘Aktiviti Artis-artis semasa Raya’ dan ‘Selongkar Raya’. Turut dipaparkan kisah balu-balu artis seperti balu Allahyarham Ustaz Asri dan Allahyarham Azahari yang kini tabah menjalani hidup tanpa suami tersayang di sisi mereka.

VARIASI: Siapa Terhebat? –
Raya Ketiga, 1 September (Khamis), 7.00malam

Sebuah program gameshow variasi yang penuh dengan aksi fizikal dan gelagat lucu selebriti-selebriti tanahair untuk menentukan siapa yang lebih hebat? Antara segmen yang dipaparkan ialah ‘Ambik Kau”, ‘Em… Sedapnya’, ‘Extreme Make Over’ dan ‘Kuih Raya’. Saksikan persaingan sengit antara pasukan A yang terdiri daripada Eira Syazira, Izara Aishah, Faradhiya dengan pasukan B yang dianggotai oleh Almy Nadia, Izreen Azminda dan Farah Asyikin. Dihoskan oleh Harun Salim Bachik.

VARIASI: Melodi Raya Episod 1 –
Raya Keenam, 4 September. 12.30tengahari

Sentiasa hangat dengan isu-isu sensasi, program hiburan paling popular, MELODI meraikan artis-artis lama dan baru serta para penggiat seni di industri hiburan dengan dua episod khas dalam MELODI RAYA 2011. Tampil dengan konsep ‘3 Dimensi’ yang dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, komedi dan temubual sensasi, saksikan persembahan hebat daripada Hattan, Kumpulan Senario, Yassin, Kumpulan Sepah, Alyah, Datuk M. Nasir, Hafiz, Kumpulan Nasyid Mirwarna, Fauziah Latif, Black dan Awie Rafael. Dihoskan oleh Zizan dan Dira Abu Zahar.

VARIASI: Melodi Raya Episod 2 –
Raya Ke-13, 11 September (Ahad), 12.30tengahari

Memaparkan sesi temu bual sensasi yang dikendalikan oleh Wahid Senario dan Dira Abu Zahar bersama 2 pengacara jemputan yang bukan calang-calang orangnya iaitu Raja Azura dan Sharifah Shahira. Ikuti luahan hati Natasha Hudson dan Maria Farida dalam segmen ‘Artis Ibu Tunggal”. Segmen S.A.M.A.N (Selesai Apa Masalah Artis Negara) pula memberi peluang kepada Kumpulan Meet Uncle Hussain bersama bekas vokalis mereka, Azlan The Typewriter, Iqram Dinzly dan Arja Lee serta Syamsul Yusof dan Farid Kamil untuk mengubah persepsi penonton terhadap masalah atau gosip yang telah mencalar imej mereka sebagai anak seni. Apakah mereka akan mencurahkan isi hati tanpa berselindung? Pastikan anda menonton Melodi Raya episod 2 untuk mengetahui kesimpulannya.

VARIASI: Jangan Tidur Lagi Raya
Raya Keenam, 4 September, 11.00malam

Menampilkan artis-artis popular seperti Fasha Sanda, Aizat dan seniman veteran Datuk A. Rahman Hassan untuk berkongsi pengalaman dalam topik “3 Generasi Raya”. Jangan Tidur Lagi Raya bakal menyaksikan celoteh pengacara cilik, adik Najwa dan Aidil di samping Adlin Aman Ramli dan Cat Farish. Segmen Skuad JTL memaparkan lawatan artis-artis jemputan melawat ke pesakit kecil yang menghidap sakit jantung, budak cacat sejak lahir dan rumah orang-orang tua. Selain itu, para penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan magik oleh ahli silap mata, Shahril dan persembahan istimewa Aizat berduet bersama Datuk A. Rahman Hassan.

VARIASI: Mentor Raya
Raya ke-13, 11 September (Ahad), 9.00malam

Saksikan persembahan istimewa dan telatah mencuit hati oleh barisan protege dan sifu dari Mentor 5 iaitu Salma & Erra Fazira, Shiha & Datuk Sharifah Aini, Iqa, Aiman, Ayish & Noh Hujan serta Ratnah & Afdlin Shauki yang tampil menggegarkan pentas yang dihias indah dan penuh bercahaya rekaan khas sempena Mentor Raya. Istimewa kali ini, sifu kesayangan ramai Mas Idayu turut tampil berkongsi kemeriahan, di samping ikon Mentor yang cukup popular, Black yang hadir sebagai pelengkap majlis yang santai dan padat denga elemen hiburan. Dihoskan oleh Ally Iskandar.

VARIASI: Kamilah Juara
Raya Kedua, 31 Ogos, 7.00malam

Menghimpunkan nama-nama yang pernah bersinar di pentas Anugerah Juara Lagu seperti Ramlah Ram, Jacyln Victor, Ezlynn, Black, Zahid, Aizat, Ana Raffali, Rahmat Mega dan Farahwahida. Mereka akan dibahagikan kepada 3 kumpulan yang masing-masing diketuai oleh Ally Iskandar, Cheryl Samad dan Faizal Ismail untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang ditetapkan. Tugasan pertama yang perlu disempurnakan oleh tiga pasukan masing-masing termasuk memotong daging, memproses ayam dan memproses kerepek ubi. Selepas itu, mereka perlu menyediakan hidangan seperti nasi beriyani, ayam masak merah dan dalca daging untuk Rumah Jagaan & Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Puchong.

MUZIKAL: Sedetik Muzik
Raya Kelima, 3 September, 5.00petang

Dihoskan oleh Fara Fauzana, konsert ini menggandingkan 5 orang artis dari 2 generasi lama dan baru yang bakal mengegarkan pentas seperti Shyla Amzah, Azlan (The Typewriter), Datuk M. Nasir, Datuk Khadijah Ibrahim dan Black. Antara lagu-lagu yang didendangkan ialah Halaman Asmara (Shyla Amzah & Azlan The Typewriter), Raikan Cinta (Datuk M. Nasir), Doa Buat Kekasih (Datuk Khadijah Ibrahim & Azlan The Typewriter), medley Indah Di Hari Raya / Hari Mulia (Shyla Amzah), medley Srikandi Cintaku / Mentera Semerah Padi/ Lagu Jiwa Lagu Cinta (Datuk M. Nasir & Black), medley Ada Jiwa / Kelibat Si Penyair (Azlan The Typewriter), Ku Gembira Di Samping Mu (Datuk Khadijah Ibrahim), Leia (Black) dan medley lagu raya Lebaran / Aidilfitri oleh semua artis.

MUZIKAL: 3 Gegaran
Raya Keenam, 4 September, 5.00petang

Menampilkan tiga kumpulan rock lagenda seperti May, Lefthanded dan XPDC dalam sebuah konsert yang akan membawa para penonton mengimbau kembali zaman kegemilangan rock kapak dengan lagu-lagu hits, klip dan footage yang penuh nostalgia ! Antara lagu-lagu yang dibawakan oleh Mus (May), Nash (Lefthanded) dan Mael (XPDC) selaku vokalis ialah “Selandang Merdeka’, ‘Debunga Wangi’, ‘Hakikat Perjuangan’, medley “Dari Kacamata” / “Pelayaran”, “Cintamu Mekar Di Hati”, “Sinar”, medley “Ku Di Halaman Rindu”, “Tiada Lagi Kidungmu”, medley “Semangat Yang Hilang”, “Apa Nak Dikata” dan “Talam Dua Muka” dan “Hidup Bersama”.

MAJALAH: Istimewa Majalah Tiga ‘Banzai Raya’
27 Ogos, 9.00malam

Menyingkap kembali kenangan generasi lama tentang suasana Tanah Melayu menyambut Hari Raya semasa zaman penjajahan Jepun. Bagaimanakah cara pengisytiharan Hari Raya pada ketika itu apabila hanya radio yang menjadi medium komunikasi utama pada zaman tersebut? Saksikan episod khas sempena Hari Merdeka dan Hari Raya Aidilfitri di Majalah 3.

MAJALAH: Istimewa Jejak Rasul
Menjelang Raya, 29 Ogos, 11.00pagi

Episod khas selama 60minit ini memaparkan persiapan masyarakat Muslim di Moscow dan Crimea dalam menyambut Hari Raya. Berlatarbelakangkan lanskap dan seni bina di bandar Moscow dan Crimea, Jejak Rasul episod khas merungkai budaya, sejarah dan adat resam masyarakat Muslim dan menghayati keindahan sinar bulan Syawal di bumi bekas jajahan komunis.

MAJALAH: Istimewa Malaysia Hari Ini
Raya Pertama & Kedua, 30 & 31 Ogos, 6.30pagi

Ayuh, ikuti edisi istimewa Malaysia Hari Ini Raya bersama pengacara Ally Iskandar, Abby Fana dan Mohd Zuklifli (MZul) sambil bermesra dengan artis-artis jemputan ternama tanahair. Kemeriahan Aidilfitri diraikan bersama penonton melalui segmen ‘Sembang Pagi Raya’, ‘Lelong Malam Raya’, ‘Bertugas Di Hari Raya’ dan ‘Salam Perantauan’. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan duit raya dengan menyertai kuiz filem dan drama raya di TV3.

MAJALAH: Inilah Rayaku
Raya Pertama, 30 Ogos, 1.00tengahari

Bagaimanakah keadaan apabila si kecil yang menentukan baju dan kasut baru, perhiasan rumah dan kuih raya ketika membeli belah untuk persiapan Hari Raya? Apabila kanak-kanak diberikan peluang untuk berimaginasi sambutan hari raya yang diinginkan tanpa sebarang pengaruh ibu bapa, apakah yang akan mereka berbelanja berdasarkan peruntukan wang yang diberikan. Ayuh! Mari saksikan kesungguhan mereka untuk merealisasikan impian Hari Raya menerusi program ini.

MAJALAH: Takbir Kembali
Raya Ketiga, 1 September, 1.00tengahari

Program 30 minit mengenai kehidupan bekas penagih dadah tegar lebih 20 tahun yang kini telah bebas dari dadah. Selama 20 tahun, individu tersebut tidak berpeluang menghayati Hari Raya dan Takbir Raya tidak membawa sebarang erti kepadanya. Teguran bekas guru sekolah telah menyedarkannya dan dia telah berubah pada usia 45 tahun. Kini, beliau menjadi seorang yang dihormati kerana menjaga anak-anak pelacur dan penagih dadah di Chow Kit dan menolong mereka yang memerlukan panduan untuk kembali ke pangkal jalan.

MAJALAH: Raya Bapa Merdeka
Raya Kedua, 31 Ogos, 1.00tengahari.

Mengimbas kembali detik bersejarah dalam perjalanan hidup Bapa Kemerdekaan, Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman bermula 1 April 1957 iaitu permulaan puasa sehingga tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957. Bagaimana sambutan dan persiapan beliau di Hari Raya ketika negara bersiap sedia untuk merdeka pada 31 Ogos 1957? Rakaman dijalankan di sekitar Rumah Merdeka, Makam Diraja Langgar Kedah Darul Aman, Masjid Jamek Alam Shah, Memorial Tunku Abdul Rahman dan Arkib Negara Malaysia.

MAJALAH: Di Bawah Rimbunan Madrasah
Raya Keempat, 2 September, 1.00tengahari

Mengikuti kisah hidup dan perjuangan seorang mualaf solehah, Hajah Aesya Scott Abdullah yang berasal dari England. Beliau telah memeluk Islam pada usia 13 tahun dan suka menghafal hadith sejak kecil. Bersama suaminya Hajah Aesya telah membina sebuah madrasah di Kuala Kubu Bahru yang pernah dikunjungi oleh ulama, sasterawan dari luar negara seperti Mufti Myanmar, Penulis Iran dan Penyair Indonesia.

MAJALAH: Al Hidayah Raya
Raya Keempat, 2 September, 1.30tengahari

Menampilkan cara hidup masyarakat Islam khususnya wanita sebagai ‘role model’ kepada masyarakat lain. Al Hidayah Aidilfitri menampilkan kehidupan seorang wanita yang berasal dari Abu Dhabi, Marwa Libya di mana keutamaan mereka menjalankan tuntutan ibadah di samping menjalani kehidupan moden dengan cara hidup Islam sejati.

MAJALAH: Al Kuliyyah Aidilfitri
Raya Keempat, 2 September, 5.00petang

Bersama dua panelis, YBhg. Ustaz Haji Mohd Shukri Haji Ali, Pegawai Agama Istana Terengganu dan Ybhg Ustaz Kamaruddin Omar, Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu untuk membincangkan topik ‘Remeh Temeh Aidilfitri’ mengenai perkara remeh yang berlaku dalam sambutan Aidilfitri seperti pulang kampung dengan tergesa-gesa, melupakan ibadah kerana terlalu gembira menyambut Syawal dan lain-lain.

MAJALAH: Nona Raya
Raya Keenam, 4 September, 2.00petang

Edisi istimewa sempena sambutan Syawal, saksikan gandingan bekas perantara Nona, Datin Seri Normala Samsudin bersama Vanidah Imran meraikan sambutan Aidilfitri di kediaman ibu Normala Samsudin yang terletak di Segamat. Antara tetamu istimewa yang diraikan dalam Nona Raya ialah primadona filem Melayu Datuk Maria Menado, Datin Rosnani Jamil, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan bersama kelahiran keluarga baru iaitu cucu sulungnya, keluarga besar Sofea Ibrahim dan Datuk Khadijah Ibrahim. Paling istimewa, Nona turut berpeluang menyelami luahan rasa Normala Samsudin yang tersentuh jiwa apabila mengimbau kenangan menjelang Aidilfitri.

DRAMEDY: Dari Kedah Ke KL
Raya Pertama, 30 Ogos 2011, 10.00pagi

4 hari sebelum Hari Raya, Zamri mengikuti bosnya untuk bermesyuarat di Kedah. Malangnya, Zamri terpaksa berikhtiar untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana tiket bas telah habis dijual dan tiada teksi yang mahu mengambilnya. Zamri telah berkenalan dengan Khai yang telah membantunya mendapatkan balik dompet yang diseluk. Zamri mempelawa Khai untuk pulang ke Kuala Lumpur bersama-sama. Sejak itu, ada sahaja masalah yang timbul atas keputusan yang diambil oleh Khai seperti teksi rosak dan dimasukkan lokap kerana tersewa kereta curi. Zamri mempersalahkan Khai dan mula menganggapnya sebagai beban kerana dia semakin terdesak untuk pulang ke Kuala Lumpur supaya dapat beraya bersama keluarganya. Tanpa pengetahuan Zamri, sebenarnya Khai ialah seorang pesakit skizofrenia (schizophrenic) yang hidup sebatang kara di dunia ini.
Pelakon: Jep Sepah, Achong, Tiz Zaqyah, Kazar, adik Mia Sara Nasuha.

DRAMEDY: Senario Raya Hero Cilik
Raya Keempat, 2 September, 11.00malam

Haikal ialah seorang budak lelaki berusia 8 tahun yang banyak bercakap dan nakal. Oleh itu, ibu bapanya menghantar Haikal pulang ke kampung bersama datuknya apabila tibu cuti sekolah menjelang raya. Haikal sengaja menimbulkan pelbagai masalah dengan harapan akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur. Namun datuknya ialah orang yang sangat penyabar. Tiada siapa yang sudi berkawan dengan Haikal kecuali Ujang yang sebaya dengannya. Orang kampung tidak sedar yang Karim dan Karam ialah pencuri yang sering mencuri harta benda orang-orang kampung kerana mereka pandai menyembunyikan kejahatan dengan berpura-pura baik. Apabila Pak Jamil yang kaya dan kedekut memberitahu Karim dan Karam bahawa dia akan ke rumah saudaranya, mereka berdua telah mulakan rancangan jahat. Secara kebetulan, perbualan mereka didengari oleh Haikal dan Ujang. Bermulalah misi Haikal dan Ujang untuk menyelamatkan rumah Pak Jamil daripada rompakan Karim dan Karam. Berjayakah dua cilik itu melaksanakan misi mereka?
Pelakon: adik Izuan Fitri, Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet, Wahid, Sharifah Shahira, Ijoy.

DRAMEDY: Kopi Susu Kopi O
Raya Kelima, 3 September, 11.00malam

Mengisahkan tentang 2 pemilik restoran, Janda dan Duda yang sering bersaing untuk mendapatkan pelanggan. Restoran Janda sering dikunjungi oleh ramai pelanggan lelaki manakala restoran Duda pula ramai pelanggan wanita. Mereka gemar mengemas kini status akaun “Twitter” pada masa lapang. Janda tidak sedar bahawa salah seorang kenalan di Twitter yang disukainya ialah anak kepada Duda. Suatu hari, restoran Janda disabotaj dan Duda dipersalahkan. Duda berazam membantu Janda untuk mencari siapakah dalang di sebalik sabotaj tersebut untuk membersihkan namanya. Akhirnya, Janda menyedari cinta daripada Duda dan mereka telah berbaik-baik sejak hari itu. Maka, lahirlah Café Jandud atas cinta mereka.
Pelakon: Ebby Yus, Ziela Bakarin, Misha Omar, Azad Jasmin, Zed Zaidi, Sobri Anuar & Irma Hasmie.

SKRIN RAYA: Duyung
Minggu Raya Pertama, 2.00petang

Duyung merupakan filem komedi fantasi romantik menceritakan tentang Jimmy yang merupakan pencinta alam sekitar. Dia tinggal di perkampungan nelayan menghabiskan masa seharian mengutip sampah untuk memelihara kebersihan perkampungan tersebut. Dia percaya kisah lagenda dahulu kala yang diceritakan oleh ibunya, bahawa jika persekitaran bersih, duyung akan muncul. Adakah kepercayaan tersebut benar? Dapatkah dia bertemu dengan duyung seperti yang diimpikannya itu?
Pelakon: Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani, Awie, Yassin Yahya.

SKRIN RAYA:Jin Notti
Minggu Raya Pertama, 3.00petang

Notti merupakan seorang gadis jin berusia 17 tahun yang sangat baik, lembut dan jujur. Dikenakan hukuman yang sangat berat dan dikurung dalam penjara selama beratus tahun, Notti kemudiannya dihantar turun ke dunia oleh Majlis Penghakiman Jin. Di dunia, Notti dikehendaki melakukan kejahatan dan harus melepasi skala kejahatan bagi membolehkannya bebas daripada hukuman. Sepanjang berada di dunia, Notti telah memasuki tiga tubuh manusia iaitu Ruby (gadis punk), Y’vonne (Perempuan berbangsa Cina) dan Sharifah (peguam). Bagaimana pun, ketika menjalani hukuman, Notti mula jatuh cinta pada seorang lelaki bernama Aziz.
Pelakon: Mawi, Fara Fauzana, Cat Farish, Corie, Bob Lokman, Adibah Noor, Acappan, Hafidzuddin Fazli, Sazzy Falak, Sheila Mambo, Betty Banafe

SKRIN RAYA:Senario Ep 1
Minggu Raya Pertama, 2.00petang

Filem ini mengisahkan pengembaraan 3 sahabat untuk mencapai cita-cita menjadi bintang. Mazlan, Azlee dan Wahid datang dari kampung dan negeri yang berbeza. Tujuan mereka hanya satu iaitu menghadiri uji bakat di Kuala Lumpur dan menjadi pelawak terkenal tanah air. Malangnya, pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa mereka hadapi untuk mencapai impian tersebut. Paling mengharukan apabila tibanya mereka di Kuala Lumpur, mereka telah ditangkap pihak polis kerana wajah mereka saling tak tumpah dengan wajah kumpulan perompak bersiri yang menjadi buruan pihak polis. Mereka amat bimbang kerana uji bakat semakin hampir sedangkan mereka masih lagi di lokap. Persiapan persembahan masih lagi belum dilakukan. Apabila mereka dibebaskan, bermacam-macam lagi halangan menanti seperti tidak membenarkan mereka menghadiri uji bakat tersebut. Namun berkat kesabaran dan ketabahan mereka mengejar cita-cita, mereka berjaya sampai ke tempat uji bakat.
Pelakon: Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet, Wahid, Fauziah Nawi, Piee, Zaibo, Osman Kering, Zul Huzaimi, Julia Hana, Zaidi Omar, Ropi Cecupak, Shamsul Ghau Ghau.

SKRIN RAYA: Syurga Cinta
Minggu Raya Pertama, 2.00petang

Irham, berusia lewat 20-an anak kepada Tan Sri Zakaria dan Pn. Sri Mahani telah membesar di luar negara sejak berumur 12 tahun lagi. Dia telah bersekolah dan bekerja di sana untuk beberapa tahun dan pulang ke Malaysia kerana perlu mengambil alih syarikat milik keluarganya. Disebabkan terlalu lama di luar negara, cara dan gaya hidupnya tidak ubah seperti orang barat. Sekembalinya ke Malaysia, Irham telah bertemu dengan rakan-rakan lamanya ketika belajar di luar negara iaitu Zainal dan Alex yang sangat mengenali hati budi Irham. Irham sememangnya seorang lelaki yang handal memikat gadis yang diinginkannya. Alex dan Zainal sering kalah jika bertaruh. Bagi memastikan Irham kalah, mereka mencabar Irham memikat gadis bertudung kerana mereka tahu Irham tidak menyukai gadis sebegini. Gadis tersebut ialah Syuhadah, seorang gadis moden namun masih mempertahankan nilai-nilai sebagai seorang Muslimah sejati. Irham melakukan pelbagai cara untuk memikat Syuhadah yang secara kebetulan merupakan guru agama di sekolah adik angkatnya iaitu Ikmal. Berjayakah Irham mencuri hati Syuhadah dan menangani perasaan kasih yang sudah mula timbul? Apa pula reaksi Syuhadah setelah mengetahui yang Irham hanya berpura-pura mencintainya?
Pelakon: Awal Ashaari, Heliza Helmi, Adik Hadziq, Vincent Kok, Razif Zin.

SKRIN RAYA: Kecoh Betul
Minggu Raya Pertama, 2.00petang

Sebuah kisah kehidupan anak-anak muda hari ini. Mengisahkan tiga orang pemuda yang berkawan baik. Aiman, Belon dan Joe bekerja sebagai dispatch delivery order di sebuah restoran makanan segera di ibu kota. Mereka berdepan dengan cabaran hidup di kotaraya. Kehidupan mereka dikelilingi dengan keseronokan. Cabaran hidup mereka apabila keseronokan tidak dapat dinikmati kerana kekangan kewangan. Semuanya kerana wang. Mereka sanggup melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir panjang kerana wang. Tiga sahabat ini obses dengan motor. Kehidupan mereka juga tidak lari dari motor. Ketiga-tiga mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti sosial seperti merempit dan bersukaria. Sehinggalah pada suatu hari mereka tidak dapat memenuhi tuntutan sosial mereka kerana masalah kewangan. Mereka terjebak dalam kancah Ah Long apabila mereka meminjam duit dari mereka. Mereka terpedaya dengan iklan mendapat duit dengan cepat telah terperangkap dalam perangkap Ah Long.
Pelakon: Saiful Apek, Nabil, Diana Danielle, Yatt, Datuk Aziz Sattar, Nasrizal Ngasri, Fauziah Nawi.

FILEM RAYA: Susuk
Minggu Raya Pertama, 5.00petang

Soraya ialah seorang pelatih jururawat yang mula resah dengan kehidupannya yang rutin. Dia ingin mengejar cita-citanya untuk menjadi bintang. Usahanya menghadapi jalan buntu, hingga dia diperkenalkan kepada amalan susuk yang mungkin dapat meningkatkan serinya. Dia harus membuat keputusan samada terus begini atau melintasi garisan ke alam lain… Sementara itu Suzana ialah seorang diva yang penuh misteri. Dia telah lama mengamalkan ilmu hitam akibat penggunaan susuk keramat yang amat merbahaya. Setiap kali Suzana melanggar pantang, korban manusia diperlukan. Kita ikuti hidup cemas kedua-dua wanita ini hingga tersingkap rahsia sebenar amalan terlarang itu.
Pelakon: Ida Nerina, Diana Rafar, Noorkhiriah, Tengku Marina Tengku Ariffin, Adlin Aman Ramlie, Aleeza Kassim, Hairie Othman, Sofia Jane, Liza Othman.

FILEM RAYA: Jangan Pandang Belakang Congkak
Minggu Raya Pertama, 5.00petang

Di sebuah kampung tinggal seorang tua bernama Pak Sudir, seorang yang sangat kaya dan dikatakan memelihara saka. Melihat pada raut wajahnya, tiada siapa menyangka usianya telah mencecah hampir 125 tahun. Pak Sudir tinggal dengan seorang pembantu iaitu Mustika. Di saat kematian Pak Sudir, pelbagai kejadian aneh telah berlaku menggemparkan penduduk kampung. Dikatakan Pak Sudir telah lama meninggal dan yang terlantar sakit itu ialah sakanya.
Pelakon: Sam Shaheizy, Cat Farish, Mazlan Pet Pet, Lisa Surihani, Azlee Jaafar, Piee, Den Wahab, Belalang, Dina, Zarina, Mas Muharni.

FILEM RAYA: Momok The Movie
Minggu Raya Pertama, 5.00petang

Adlin yang bekerja di Kuala Terengganu, pulang ke kampungnya untuk bercuti. Seperti biasa, setiap kali pulang ke kampung, Adlin akan bertandang ke Warung Pak Ajis untuk menikmati Mee Calong dan bersembang kosong. Kepulangannya kali ini untuk bertemu ibunya Mak Ton, adiknya Isham dan Esah setelah berada enam bulan di Kuala Terengganu telah membawa satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya. Selesai solat berjemaah di surau, Adlin dan Kadir ke warung Pak Ajis. Pelbagai insiden dan petanda yang seolah-olah menunjukkan sesuatu yang tidak baik akan berlaku!
Pelakon: Abon, Aziz Satar, Faizal Ramli, Nabil.

FILEM RAYA: Brainscan 21
Minggu Raya Pertama, 6.00petang

Kisah bermula apabila Dr.Suzana di bawah seliaan Prof. Dr. Taib Siron berjaya mencipta sebuah mesin BS21 yang boleh membaca fikiran manusia. Walaupun BS21 amat penting dalam bidang perisikian ketenteraan namun, ia amat berbahaya jika terjatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab. Hal itu benar-benar terjadi apabila Cat dan orang kanannya Kupan telah mencuri BS21 dari makmal Dr. Suzana. Satu-satunya saksi yang melihat kejadian tersebut adalah Hashim, pengawal keselamatan makmal tersebut. Bermulalah pelbagai aksi dan perkara melucukan kerana BS21 sebenarnya boleh merealisasikan apa yang dihajati oleh pemakainya.
Pelakon: Nik Adruce, Erin Malek, Eric Fuzi, Faten, Sharifah Shahirah, Cat Farish, Bob (KU2) @ Kuman, M. Rajoli, Zul Yahya.

FILEM RAYA:Ladyboss
Minggu Raya Pertama, 6.00petang

Sheila, anak kepada seorang usahawan terkenal Datuk Yusry merupakan seorang yang bersikap ego tanpa mengira masa dan tempat. Sheila menguruskan perniagaan bapanya dengan cekap tetapi sering membelakangkan nilai kemanusiaan dan terlalu tegas dalam menjalankan kerjanya. Kewibawaannya tercabar dengan kehadiran seorang pemuda bernama Saiful kerana lelaki itu peramah, kelakar, jujur serta bersikap sederhana. Sepanjang bekerja di syarikat itu, Saiful sering menimbulkan kemarahan Sheila. Saiful terpikat pada gadis bernama Salmi. Datuk Yusry yang cukup menyayangi Sheila bagaimana pun tidak dapat menahan sabarnya apabila melihat anak gadisnya itu bersikap biadap terhadap seorang pengawal keselamatan.
Pelakon: Ning Baizura, Saiful Apek, Erra Fazira, Yusry Abd Halim.

FILEM RAYA: Congkak
Minggu Raya Pertama, 6.00petang

Kisahnya bermula apabila Kazman serta isterinya Sufiah mengambil keputusan bercuti bersama dua anaknya, Lisa dan Ely di sebuah banglo di tepi tasik. Kazman sudah berjanji dengan seorang kawannya untuk membeli banglo tersebut sebagai persinggahan semasa bercuti. Pelbagai peristiwa pelik berlaku sepanjang perjalan mereka termasuk kehilangan telefon bimbitnya. Setibanya mereka di banglo tersebut, peristiwa yang semakin pelik turut terjadi. Sufiah cuba meyakinkan Kazman untuk keluar dari rumah tersebut tetapi tidak diendahkan. Kazman tetap berkeras untuk membeli rumah tersebut kerana sudah berjanji dengan kawannya.
Pelakon: Nanu, Riezman Khuzaimi, M.Rajoli, Erin Malek, Erynne Erynna, Ruminah Sidek.

FILEM RAYA: Adnan Sempit
Minggu Raya Pertama, 9.00malam

Mengisahkan Adnan, seorang mat rempit yang berusia lingkungan 27 tahun. Adnan atau lebih dikenali sebagai Nan Sempit di kalangan rakan-rakannya adalah seorang anak yatim piatu yang dibela serta dijaga oleh makciknya sejak kecil selepas kematian ayahnya. Namun dia berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tidak mendapat kasih sayang dan layanan yang baik dari keluarga makciknya. Di ibu kota, Adnan tinggal bersama Macha, abang saudaranya dan menjadi tempat dia meluahkan rasa hati. Dia mula hidup di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai mat despacth di sebuah syarikat swasta dan menyimpan perasaan pada bosnya,Nadia.
Pelakon: Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Yana Samsudin, Cat Farish, Julia Hana, Angah, Along Cham.

FILEM RAYA: Zoo
Minggu Raya Pertama, 9.00malam

ZOO merupakan sebuah filem komedi fantasi yang mengisahkan seorang jejaka bernama Lan yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan. Sikapnya yang ‘gila-gila’ membawa padah kepada dirinya apabila sering diberhentikan kerja. Akhirnya, Lan berjaya mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di Zoo. Lan diperkenalkan kepada Shila. Menurut Shila ramai pengawal telah lari selepas semalaman bekerja kerana mendakwa haiwan-haiwan tersebut boleh bercakap tetapi Shila juga tidak mempercayainya. Lan tidak mempercayai cerita Shila tersebut telah melihat haiwan-haiwan bercakap pada hari pertama rondaannya. Suatu hari, zoo tersebut kecoh dengan kes kehilangan haiwan-haiwan eksotik. Lan telah dituduh dan diberikan surat amaran oleh En Din yang termakan hasuran Osman yang tidak menyenangi Lan. Daripada bantuan haiwan-haiwannya, Lan berusaha membuktikan dirinya tidak bersalah.
Bagaimanakah haiwan-haiwan itu dan Lan sendiri dapat membantu antara satu sama lain? Saksikan ZOO untuk mengetahui kesudahannya.
Pelakon: Mazlan Pet Pet, Lisa Surihani, Bob Lokman, Azlee Jaafar.

FILEM: 4 Madu
Minggu Raya Pertama, 9.00malam

Kisah bermula apabila Azlan, Seorang pekerja biasa di sebuah chalet, menerima sepucuk surat memintanya untuk hadir ke pejabat guaman di Kuala Lumpur. Walau pun musykil, Azlan nekad pergi ke pejabat guaman itu bersama temanya, Firdaus. Setibanya disana, Azlan diperkenalkan dengan adik tirinya, Azrul, buat pertama kalinya. Mereka berdua memang terlalu berbeza kerana Azrul seorang ahli perniagaan yang berjaya. Di pejabat guaman tersebut, En. Zahrin Ishak, membacakan wasiat yang telah ditinggalkan oleh arwah ayah mereka. Harta-harta wasiat tersebut yang bernilai RM 50 Juta itu akan menjadi hak milik mereka sekiranya mereka dapat memenuhi syarat-syarat wasiat tersebut.
Pelakon: Saiful Apek, Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Rosnah Mat Aris, Allana Amir, Marsha Londoh, Datuk Rahim Razali, Tengku Iedildzuuhrie.

FILEM RAYA: Nur Kasih The Movie
Minggu Raya Pertama, 9.00malam

Aidil yang sememangnya seorang lelaki yang tabah kini meneruskan hidupnya bersama dua anak kecilnya tanpa isteri tercinta disisi. Adam yang mula menjumpai jalan lurusnya, berusaha untuk mengekalkan laluannya tanpa menyimpang lagi dan Nur Amina, seorang gadis suci ini semakin kental melalui cabaran hidup sebagai seorang isteri. Ketiga-tiga jiwa ini masih memerlukan antara satu sama lain. Di saat getir seakan mahu memisahkan Adam dan Nur, Aidil setia di antara kedua-duanya walaupun dirinya juga dihimpit kerinduan teramat. Masih adakah sinar bahagia untuk mereka bertiga akhirnya? Inilah perjalanan hidup mereka dalam usaha mereka mendapatkan pencarian sebenar erti kehidupan. Abadi selamanya.
Pelakon: Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Fizz Fairuz, Muniff Isa, Sara Ali, Shafie Naswip, adik Mia Sara.

FILEM RAYA: Senario Beach Boys
Minggu Raya Pertama, 9.00malam

Kisah bermula apabila Azli, Wahid, dan Mazlan sampai di jeti dan ketika menaiki feri, dompet mereka telah dicuri. Mereka juga terlanggar tiga orang gadis iaitu, Qasidah, Hamidah dan Zuraidah yang juga ingin menaiki feri yang sama dan terjadilah perbalahan kecil antara mereka. Setelah sampai di Ariba Ariba Resort alangkah terperanjatnya mereka apabila Ariba Ariba Resort tidak seindah seperti yang disangka. En Mansor, pemilik resort tersebut memberitahu mereka bahawa dulu resortnya cantik, tapi lama kelamaan resortnya tidak lagi dapat menarik perhatian pengunjung. Lalu tiga sekawan ini pun berhasrat untuk meninggalkan Ariba Ariba Resort lalu datang anak-anak perempuan En Mansor iaitu tiga gadis yang mereka terlanggar di feri tadi. Pada masa yang sama, Azli mendapati Qasidah adalah bekas kekasihnya suatu ketika dahulu dan terpisah akibat tentangan dari ayah Qasidah iaitu En Mansor sendiri.
Pelakon: Azlee Senario, Mazlan Pet Pet, Wahid Senario, Maria Farida, Mek Siti, Marsha Milan Londoh, Dato’ Jamali Shadat, Riezman Khuzaimi.

TELEMOVIE RAYA: Pusara Di Lebuh Raya,
Raya Pertama, 30 Ogos 2011, 11.00pagi

Hakimi merupakan pemandu bas ekspres telah bernazar ingin membawa ibu bapanya mengerjakan umrah jika mendapat anak setelah 5 tahun menanti. Niatnya sering tertangguh malah ada sahaja masalah kewangan yang dihadapi sehingga anaknya sudah pun menjangkau usia 4 tahun. Kini isterinya, Zuraidah mengandungkan anaknya yang kedua. Hakimi nekad ingin membayar nazarnya dan dalam masa yang sama dia ingin melihat isterinya melahirkan anak dengan keadaan yang sempurna. Hakimi sangat terdesak dan sanggup mengambil kerja separuh masa dan menerima tawaran daripada syarikat bas yang belum mempunyai permit bas yang sah. Atas kelesuan badan, bas yang dipandu oleh Hakimi terlibat dalam kemalangan dan mengakibatkan ramai orang yang terkorban. Apakah yang akan berlaku seterusnya?
Pelakon: Fauzi Nawawi, Lisdawati, Fadilah Mansor, Fazli Daniel, Idris Md Diah, Mak Engku

TELEMOVIE RAYA: Sakura,
Raya Kedua, 31 Ogos 2011, 11.00pagi

Mengisahkan tentang Sakura, seorang gadis Jepun berumur 23 tahun yang merupakan cucu Yamada, bekas tentera Jepun yang pernah bertugas di Malaya ketika Perang Dunia Kedua. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Yamada berpesan kepada Sakura agar mencari satu keluarga di Malaya untuk memohon maaf di atas perlakuan tenteranya di mana mereka telah membunuh satu keluarga tanpa dirancang di sebuah kampung yang hanya dikenali sebagai Gajah. Di Malaysia, Sakura dibantu oleh sebuah agensi pelancongan kepunyaan Aliff. Usaha pencarian mereka di Batu Gajah Perak menemui jalan buntu dan diteruskan di Alor Gajah Melaka pula. Pendedahan oleh D. Rahim, datuk Aliff bahawa keluarga mereka yang menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun menyebabkan Aliff rasa serba salah untuk memberitahu hal yang sebenar kepada Sakura. Adakah datuknya akan membuka hati untuk memberi kemaafaan kepada Sakura?
Pelakon: Datuk Ahmad Tarmimi, Shahz Jaszle, Megan Tan, Raja Noorbaizura, Diandra Junaidi, Raf Yaakob, Mak Nani

TELEMOVIE RAYA: Janjiku Pada Al Walid,
Raya Ketiga, 1 September 2011, 11.00pagi

Khalid yang telah kematian isteri kini menghidap sakit tua dan hidup bersendirian. Anak lelakinya, Khalifa sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak lelaki, Afiq. Afiq sudah selesa dengan kehidupan modennya sering terlupa akan asal usul dan ajaran Islam. Khalifa yang gagal membimbingnya telah menghantar Afiq ke rumah Khalid. Afiq langsung tidak menghormati datuknya dan melakukan sesuka hati di rumah Khalid. Khalid begitu sedih kerana ketika belajar dia pernah berjanji di malam Khalid Al-Walid untuk berbakti dan mempertahankan kebesaran islam tetapi dia lupa pada janjinya. Oleh itu, sebagai mengotakan janjinya dia mahu memulakannya dengan mengubah cucunya, Afiq.
Pelakon: Eman Manan, Johan As’ari, Rebecca Nur Al-Islam, Eizlan Yusof, Roslan Salleh, Normah Damanhuri

TELEMOVIE RAYA: Ku Petik Dosa,
Raya Keempat, 2 September 2011, 11.00pagi

Aina dan Haris berkahwin pada usia yang muda dan dikurniakan anak perempuan, Nia Qaseh. Aina mengambil keputusan untuk kembali bekerja apabila mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membelikan pakaian yang berjenama dan menghantar Qaseh ke sekolah tadika swasta. Qaseh telah dihantar ke rumah jirannya, Kak Sal. Bermulalah kehidupan Aina dan Haris yang sibuk bekerja siang dan malam. Suami Kak Sal, Khalid yang terlalu mengikut nafsunya telah menodai kanak-kanak yang masih kecil itu. Kak Sal menjadikan Qaseh sebagai mangsa kemarahannya terhadap Khalid dan merahsiakan hal tersebut daripada Aina dan Haris. Perwatakan Qaseh mula berubah menjadi penyedih dan pendiam. Kebetulan Aina sedang mengandung anak kedua maka perubahan Qaseh dianggap merajuk dan merasakan dirinya tidak disayangi. Keadaan Qaseh semakin teruk sehingga dia selalu demam dan akhirnya muntah darah dan pengsan. Aina mengejarkannya ke hospital dan terkejut apabila pihak hospital mengesahkan Qaseh didera dan dirogol.
Pelakon: Fasha Sanda, Fadilah Mansor, Zaidi Omar, Farah Nadia, Fikree Bakar

TELEMOVIE RAYA: Cerekarama: Di Telapak Kaki Bonda,
Raya Kelima, 3 September 2011, 10.00malam

Faizura, seorang pembuat sepatu manik berkelulusan doktor mewarisi kemahiran kaum Peranakan yang unik tersebut daripada ibu teman lelakinya yang merupakan seorang Nyonya, Bibik Lim. Bibik Lim menyayangi Faizura sebagai anak kandung dan telah menurunkan ilmunya tentang cara menyulam manik atas sepatu nyonya kepadanya. Namun, Faizura tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya sejak meninggalkan kampung untuk menyambung pelajaran di bandar kerana tidak direstui oleh ibunya, Umi Kalsom. Faizura pada zaman mudanya seorang gadis yang keras kepala dan sangat memberontak. Kini, Faizura telah berubah menjadi seorang wanita yang berpegang teguh kepada agama dan nilai-nilai murni. Harapan Faizura untuk memperbaiki hubungannya dengan Umi Kalsom tersimpan dalam sebelah sepatu manik yang disulam ‘Umi’. Apakah doanya akan dimakbulkan?
Pelakon: Diana Daniel, Hansen Lee, Hairie Othman, Sherry Merlis, Nelly, Angelina Tan, Adam Shah, Munif Isa, Izreen Azminda, Shukri Yahya

TELEMOVIE RAYA: Bara Cinta Ramadan,
17 September, 10.00malam

Malik ialah seorang pemandu lori sudah berkahwin dengan Rozita selama 13 tahun dan dikurniakan 3 orang anak, Amran (12 tahun), Roslina (9 tahun) dan Shafik (8 tahun). Sejak berkahwin, Malik tinggal bersama mertuanya, Arpah di kampung. Arpah tidak sukakan Malik menetap di rumahnya tetapi terpaksa akur dengan keadaan demi cucu-cucunya. Seperti tahun-tahun lepas, apabila Ramadan menjelang, Malik menolak untuk bekerja lebih masa supaya dapat berbuka puasa bersama anak-anak dan membawa keluarga berterawih di masjid. Namun, tindakan Malik tidak disenangi oleh Arpah kerana sudah dua tahun Malik mengambil keputusan seperti itu. Arpah malu kerana sebahagian dari makan minum dia dan Malik sekeluarga ditanggung oleh Shamsuddin, suami kepada adik Rozita. Arpah mula berulang kali menghasut Rozita supaya memaksa Malik mencari duit sebanyak mungkin untuk persediaan 1 Syawal. Justeru itu, Rozita yang sebelum ini terkenal dengan isteri yang amat memahami, mula mendesak Malik.
Pelakon: Zamarul Hisyam, Jasmin Hamid, Fauziah Nawi, Ako Mustapha, Zarina Zanordin