PROGRAM TV RAYA (TV9)


PROGRAM TV RAYA (TV9)
TV9 = HANGATNYA RAYA DIHATIKU
DI HATIKU ADA RAYA TV9

TELE-FILEM

SYURGA BAGIKU – 30 Ogos , 6.30 ptg
Razak dituduh memiliki dadah jenis heroindan akan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mengimbas kembali kehidupan Razak, kehidupannya bertambah bahagia dengan kehadiran Azizah yang baru dilahirkan. Namun seminggu selepas melahirkan Azizah, isterinya Aminah telah meninggal dunia. Semenjak isterinya meninggal, Razak menjaga dan mengasuh anak kesayangannya Azizah bagai “menatang minyak yang penuh”. Walaupun hanya seorang penoreh getah, Razak berusaha membahagiakan anaknya dan memastikan segala keperluan anaknya mencukupi. Pertemuan Azizah dengan Budin dan Lisa telah merubah kehidupannya. Azizah terpengaruh dengan ajakan mereka untuk menjual dadah dan kini Azizah hidup mewah. Tidak terlintas langsung di hati Razak yang anaknya terlibat dengan dadah. Tanpa disangka polis datang menyerbu rumah Azizah semasa ketiadaannya dan menangkap Razak setelah dia mengaku dadah itu miliknya. Apabila sekian lama berada di penjara, Razak hairan kenapa anaknya tidak muncul menziarahinya di penjara. Adakah Azizah malu dengan perbuatannya atau kejadian lain menimpa Azizah?
Pelakon : Razak Ahmad, Zarina Zainoordin, Syazwan Zulkifli, Nazim Othman dan Amanda Misbun.

ADIKARYA LAZIZAH – 31 Ogos, 6.30 ptg
Lazizah merupakan seorang wanita yang begitu cekal dan gigih menjaga 3 anak perempuannya tanpa suami. Suami pertama meninggal dunia sebagai seorang perajurit dan yang kedua pula berakhir dengan kekecewaan setelah diceraikan oleh suaminya yang merupakan seorang kaki judi dan sanggup untuk menjual Lazizah untuk mendapatkan wang. Makcik Izah tidak disenangi masyarakat sekeliling kerana suatu ketika dahulu, dia merupakan seorang penari di kelab. Makcik Izah amat meminat sastera dan sering menghasilkan puisi secara spontan dan amat melankolik. Keadaan Makcik Izah bertambah tertekan dengan sikap anak-anaknya Hani Wahiza, Ina Azilah dan Sofiah yang sanggup meminggirkannya setelah dewasa. Makcik Izah pernah dihalau oleh anak dan menantunya ketika menziarahi mereka. Lebih syahdu ianya berlaku ketika berkumandangnya azan Ramadan pertama dan Makcik Izah hanya berbuka dengan seteguk air sejuk. Rizky, seorang pemuda kampung, sering singgah di anjung rumah Makcik Izah untuk mendengar celoteh dan berpuisi. Orang kampung menganggap Makcik Izah gila kerana puisi-puisinya. Tidak cukup dengan itu, mereka menuduh Makcik Izah seorang pelacur tua kerana hampir setiap bulan mereka akan terserempak Makcik Izah menemui seorang lelaki tua. Siapakah lelaki tua itu dan adakah anak-anak Makcik Izah akan insaf dengan perbuatan mereka?
Pelakon : Normah Damanhuri, Lisadawati, Amanda Misbun dan Memey Suhaiza.

SEKERING JIWA ENTE – 1 September, 6.30 ptg
Filem ini mengisahkan tentang tiga jejaka orang bernama Hamzah, Ajis dan Abe yang tinggal serumah dan bekerja di tempat yang berasingan. Antara ketiga-tiga mereka, Hamzah mempunyai 2 karektor yang berlainan sehingga mengaburi mata Kak Nor yang mempunyai anak perempuan. Hamzah tidak seperti 2 rakannya yang lebih bersikap sederhana sesuai mengikut kehidupan dan pekerjaan mereka. Walaupun Hamzah seorang despatch, namun dia suka berlagak apabila berhadapan dengan orang. Malahan dia juga sering berlagak alim semata-mata untuk memikat anak Kak Nor. Sepanjang bulan Ramadan, Hamzah berlagak mengenakan jubah dan memegang tasbih dan memberitahu semua orang yang dia hendak ke surau untuk sembahyang terawikh. Tetapi pada hakikatnya dia melencong ke kedai mamak dan lepak menonton tv di sana.
Pelakon : Bell Ngasri, Syed Ali, Eyzendy Aziz, Ramona Zamzam dan Ainina Ahmad.

KAIN PELIKAT ACAT – 2 September, 6.30 ptg
Mengisahkan Acat seorang anak yatim piatu yang gemar berkain pelikat. Kain pelikat itu mengandungi 1000 kisah berkenaan kematian ayah dan ibunya. Sebab itulah dia sangat sayangkan kain pelikat itu biarpun lusuh,buruk dan koyak. Abang Acat iaitu Sam tidak sukakan Acat kerana baginya Acat punca kematian ibu dan bapanya. Sementara itu, kakak Acat bernama Fida amat menyayangi Acat. Ibu dan bapa mereka meninggal dunia kerana terlibat dengan kemalangan jalanraya ketika membeli kain pelikat buat Acat. Sejak itu, Pakcik Ghafar dan Mak Senah, yang merupakan jiran mereka sering mengambil berat terhadap ketiga beradik itu.
Pelakon : Fimie Don, Erin Malik, Talha, Eizlan Yusuf, Aida Aris, Shah Iskandar, Rozita Che Wan dam Shafii Khan.

FILEM
NIYANG RAPIK – 30 Ogos, 1.30 tghari
Lima pemuda yang berkawan rapat dan juga mengambil jurusan Kajian Sejarah telah pergi ke Kampung Niyang Rapik untuk membuat projek tahun akhir. Setahun kemudian, Helmi, Saiful, Zizan dan Amir dikejutkan dengan kematian Zack secara misteri iaitu akibat busung dip perut. Selepas majlis tahlil arwah Zack, mereka berempat di kejutkan lagi dengan cerita di mana Zack menderita penyakit tersebut sejak setahun yang lepas selepas balik dari kampung Niyang Rapik. Setelah di selidik, mereka berempat mendapati Zack telah mengambil sebuah “kendil” lama dari kampung Niyang sewaktu mereka melakukan projek tahun akhir kajian peninggalan sejarah di kampung Niyang Rapik.

Atas nasihat seorang bomoh di kampung Zack, mereka berempat di arah untuk memulangkan semula “kendil” tersebut kerana di khuatiri ianya adalah penyebab Zack menderita penyakit busung tersebut. Pengembaraan mereka sangat mencabar dan perlu berhadapan dengan pelbagai jenis rintangan yang menyeramkan. Setibanya mereka ke Kampung Niyang Rapik, mereka terus memulangkan “kendil” tersebut kepada ketua kampung tersebut. Namun, perkara pelik tetap berlaku kepada mereka sehinggalah mereka dapat tahu sebenarnya “kendil” yang diambil bukan menjadi punca mereka tersiksa tetapi ada kesalahan besar yang telah dilakukan oleh salah seorang dari mereka berlima sewaktu berada di Kampung Niyang Rapik setahun yang lalu.
Pelakon : Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Liyana Jasmay, Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan dan Ahmad Tarmimi Siregar.

ANTOO FIGHTER – 31 Ogos, 1.30 tghari
Kisah bermula apabila Sekumpulan Makhluk dan Hantu-hantu di zaman dahulu yang diketuai Drakulat Van Listerooy (Awie), kembali mengganas dan bermaharajalela di zaman ini selepas terlepas dari kurungan dan tangkapan kumpulan Penentang Jembalang pada zaman dahulu. Drakulat dan hantu-hantunya telah mengembara ke Kuala Lumpur dan menawan Menara KL sebagai operasi mereka. Objektif utama Drakulat sebenarnya adalah untuk membebaskan “Lord Sharon” iaitu anak Syaitan ke dunia supaya mereka dapat bersama-sama menguasai dunia dan membebaskan kuasa kegelapan ke segenap alam maya. Oleh itu , Drakulat terpaksa mencari seorang gadis yang telah terpilih menerusi keturunan darahnya, iaitu “Delyla” , di mana darahnya dipercayai mempunyai kuasa dan dapat dijadikan korban untuk dipersembahkan kepada “Lord Sharon” supaya dapat bebas ke bumi. Dalam pada itu, kehadiran kumpulan Drakulat dapat dirasai oleh Pak Din ( salah seorang Antoo Fighter terakhir pada zaman 50an). Antoo fighter merupakan kumpulan rahsia yang telah wujud sejak bermulanya alam dan dunia dimana 5 orang manusia akan terpilih untuk menjaga dunia daripada kuasa kuasa jahat setiap 60 tahun.
Pelakon : Radhi OAG, Awie, Harun Salim Bachik, Bront Palare, Nasrizal Ngasri dan Soffi Jikan.

LU FIKIRLAH SENDIRI – 1 September, 1.30 tghari
Mengisahkan tentang impian, cita-cita dan cinta. Nabil (Nabil) dan Natasha (Puteri Sarah) saling meminati tetapi tidak mahu meluahkan hati dan perasaan masing-masing. Pada masa yang sama, mana mungkin mereka boleh bersama kerana mereka mempunyai prinsip hidup yang berbeza. Seorang anak hartawan, seorang lagi pekerja biasa yang menanggung keluarga. Mereka mempunyai pandangan hidup berbeza, seorang pelajar universiti, seorang lagi jejaka yang suka bertukar-tukar kerja. Pada pertemuan pertama, Nabil dan Natasha sudah tidak sefahaman, bertengkar dan bergaduh disebabkan prinsip hidup masing-masing. Walaupun sebenarnya cinta berputik di hati, tetapi mereka cuba menafikan. Akhirnya benci menjadi rindu.
Pelakon : Nabil, Puteri Sarah Liyana, Qazem Nor, Zizan dan Faizal Tahir.

EVOLUSI KL DRIFT – 2 September, 1.30 tghari
File mini memaparkan tentang sebilangan remaja yang masih tercari-cari lagi hala tuju kehidupan serta perubahan dalam kehidupan mereka. Zack (Syamsul Yusof) dan Sham (Farid Kamil) adalah rakan karib dan berkongsi hobi yang sama iaitu meminati bidang perlumbaan kereta ‘drift’. Kelazimannya, hobi ini didominasi oleh golongan maskulin tetapi ianya tidak menghalang Fasha, teman wanita Zack untuk memecahkan tradisi itu dan menjadikannya sebagai satu hobi yang dikira menarik dan agresif. Sejarah silam Fasha telah mendorong Zack lebih mengambil berat dan bersikap protektif terhadap pergaulan Fasha. Zack akan menghalang Fasha daripada bergaul semula dengan golongan yang pernah menjeremuskan Fasha ke lembah yang tidak sihat. Dalam pada itu, tanpa disangka, Sham telah jatuh hati kepada Fasha tetapi terpaksa diketepikan perasaan itu kerana tidak mahu merosakkan hubungan akrabnya dengan Zack. Joe dan Karl pula berasa tercabar apabila Zack telah menghalang mereka untuk mengkhayalkan anak-anak muda untuk meminati bidang lumba kereta ‘drift’. Bagi menyelesaikan masalah antara Zack dan Joe, mereka telah membuat keputusan untuk berlumba bagi mengekspresikan keegoan masing-masing.
Pelakon : Syamsul Yusof, Fasha Sandha, Farid Kamil, Aaron Aziz, Iqram Dinzly & Diana Danielle.

EVOLUSI KL DRIFT 2 – 2 September, 1.30 tghari
Perlumbaan kehidupan Zack dan Sham masih belum berakhir. Zack kini merupakan pelumba “Drifter” profesional. Kemalangan yang dialami Sham tahun lalu membuatkan dia bukan lagi drifter kerana kakinya tempang dan berjalan dengan bantuan tongkat. Peristiwa lampau dan keadaan dirinya yang cacat menghantui diri Sham. Dalam kekalutan ini muncul seorang wanita bernama Aleeya yang juga seorang drifter profesional. Aleeya cemburu dengan kehebatan Zack di litar lumba. Sementara itu, Joe yang terlepas dari kemalangan maut masih lagi menaruh dendam keatas Zack. Wajahnya yang berparut menguatkan lagi keazamannya untuk menghapuskan Zack dan orang-orangnya. Ery, orang kanan Joe juga menaruh dendam pada Zack kerana kawan baiknya Karl dipenjarakan. Selain dari memburu Zack, Joe ingin menguasai seluruh perniagaan dadah di KL. Inspektor Kamal mengesyaki beberapa siri kematian penjenayah dilakukan oleh Joe. Bagaimanakah kesudahan perlumbaan pada litar kehidupan mereka kali ini?
Pelakon : Syamsul Yusof, Farid Kamil, Aaron Aziz, Fasha Sandha, Scha, Shaheizy Sam, Hetty Sarlene, Remy Ishak.

PISAU CUKUR – 4 September, 1.30 tghari
Filem ini mengisahkan tentang dua orang gadis mata duitan iaitu Bella (Maya Karin) dan Intan Mastura (Nur Fazura). Memegang motto “kalau tidak berduit, saya takkan pandang” mereka bercuti di sebuah kapal pelayaran mewah, Putri Duyung untuk mengumpan lelaki kaya. Bella mendampingi Dato’ Hisham yang kematian isteri. Sementara Intan menggunakan Faqir dalam mencapai hasratnya. Dia telah memujuk lelaki itu belajar tarian ballroom untuk menjadi pasangannya. Intan juga telah membantu penyiasat peribadi, Ari untuk menyelesaikan misteri pembunuhan Datuk Zakaria. Mereka berjaya membongkar rahsia suspek pembunuhan itu yang terdiri daripada ketiga-tiga isteri Zakaria dan dua anaknya. Apakah rahsia tersebut? Dan adakah Bella dan Intan berjaya mencapai impian mereka memerangkap lelaki kaya dan mengikis harta mereka?
Pelakon : Maya Karin, Nur Fazura, Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Dato’ Rahim Razali, Khatijah Tan, Umie Aida, Sharifah Sofia, Liyana Jasmay.


PROGRAM MAJALAH TV9
Ketupat Rendang Kopi O – 30 Ogos hingga 4 September, 8.00 pagi
Ketupat Rendang Kopi O gamat dengan kehadiran selebriti popular tanah air pada Hari Raya ini! Disiarkan secara langsung bermula hari raya pertama, ramai artis serta kenamaan terkenal seperti Ana Rafali, Intan Ladyana, David Teoh, Sham Kamikaze dan Kenchana Dewi akan bertandang ke studio untuk menjamu selera di samping membincangkan pelbagai topik-topik hangat bersama hos-hos rancangan popular ini. Bukan mereka sahaja, malah pasangan kembar tercomel Malaysia, Upin & Ipin juga ada! Pastikan Ketupat Rendang Kopi O menjadi pilihan anda untuk memulakan keceriaan Hari Raya Aidilfitri.

Raya Pertamaku – 30 Ogos, 11.30 pagi
Mari kita saksikan pengalaman pasangan selebriti Sazzy Falak dan Nadzril Idrus yang pertama kali menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai ibu dan bapa kepada anak kembar mereka iaitu Iman Lilly dan Tiara Rose. Pasti Syawal ini lebih bermakna dan meriah buat mereka sekeluarga.

Beautiful Places – 1 September, 10.00 malam
Ikuti Syarifah Nur melancong ke tempat-tempat paling indah di seluruh dunia melalui dokumentari mingguan ini. Bukan sahaja akan anda terpegun dengan keindahannya, malah anda juga dapat menyaksikan betapa kuatnya pengaruh Islam di negara-negara seperti Turki, Mesir, Indonesia, India dan China. Selami juga komuniti Islam di sana yang kaya dengan adat resam, sejarah, makanan, muzik dan seni.

AQ5 di Bumi Anbiya – 3 September, 10.00 pagi
Empat finalis Akademi Al-Quran Musim Kelima menjelajahi bumi Anbia Madinah dan Mekah bagi menjejaki peristiwa dan tinggalan Nabi Muhammad SAW. Setiap tempat yang dilawati akan disertai dengan ayat Al-Quran yang menceritakan sejarah dan kaitannya dengan masa kini.

Halaqah Sentuhan Qalbu Edisi Lebaran
“Agungnya Fitrah” – 2 September, 11.30 pagi

Kupasan menarik untuk penonton memahami dan merasai dengan hati tentang makna dan semangat sebenar Hari Raya Aidilfitri. Dalam episod menarik, “Agungnya Fitrah” yang disampaikan oleh Dr. Ary Ginanjar Agustian lebih dokus kepada pengertian, kefahaman, hubung kait fitrah dari ramadhan hingga adil fitri dalam konteks kehidupan umat Islam.

Lagu Raya Untuk Aizat – 1 September, 11.00 malam
Berkisar kepada perjalanan dan aktiviti seni serta pembabitan Aizat Amdan dalam aktiviti sosial (di rumah kebajikan Down Syndrome) yang akan memberikan inspirasi khususnya kepada golongan muda untuk melakar kejayaan dalam apa jua bidang termasuk seni.

Saffiya Eid Ul Fitr… Istanbul – 11 September, 6.00 petang
Pengacara Saffiya, Liyana Hisham, ke Turki untuk menyambut Hari Raya penuh mulia ini. Pelajari bagaimana wanita-wanita moden Islam di Turki menjalani kehidupan harian mereka sambil terus menghidupkan aspek dan kepercayaan Islam.

Program Variasi TV9 Sempena Aidilfitri 2011

Apa Saja FBI Beraya – 30 & 31 Ogos, 11.00 malam
Apa Saja FBI kali ini akan berpuasa dan beraya di Indonesia. FBI akan menyelami kelainan berpuasa dan beraya di seberang. Pelbagai kisah lucu yang terjadi semasa FBI di sana dan FBI ditemani oleh artis jemputan Nidji. Saksikan gelagat lucu Faizal Ismail yang akan membuatkan anda tidak kering gusi!

Galaksi Raya 2011 – 2 September, 9.00 malam
Rakaman Galaksi Raya telah berlangsung di Menara Kuala Lumpur yang mempunyai suasana rumah-rumah tradisional pelbagai negeri yang terletak di situ. Kemunculan artis-artis popular seperti kumpulan lawak Sepah, Enot, Ifa Raziah, Fida, Kumpulan indie Awan Band, gitaris lagenda popular Rosli Mohalim bersama anaknya seorang pelapis generasi hero gitar tempatan iaitu Afiq, Didie Alias, Ida Moin, dan Kilafairy telah menggamatkan suasana dengan keletah spontan dan lucu mereka. Pengacara Galaksi Ikhwan Hot FM tidak ketinggalan turut tampil mengendalikan program ini. Tarikan Galaksi Raya bukan sekadar itu, malah seperti kelazimannya dipadatkan lagi dengan paparan berita dan cerita sensasi. Eksklusif di program ini ialah rakaman detik-detik terakhir keadaan penyanyi era 60an Hasnah Harun sehari sebelum beliau dimasukkan semula ke Unit Rawatan Rapi I.C.U dan menghembuskan nafas terakhirnya di situ. Rakaman eksklusif ini dilakukan ketika majlis tahlil di rumah keluarga allahyarhamah di Johor Bahru.

Ada Bran? – 4 September, 5.30 petang
Ada Bran? merupakan sebuah rancangan yang mencabar orang ramai yang ingin mendapatkan duit. Rancangan ini penuh dengan dengan aksi fizikal dan gelagat lucu peserta. Pengacara, Alif Satar, akan bertanya pada orang ramai secara rawak “Siapa yang ingin mendapat duit?”. Peserta akan dibawa ke satu tempat untuk diberitahu tugasan dan berapa harga tugasan tersebut. Selain orang ramai terdapat penampilan istimewa dari artis popular tanahair seperti Tomok, Faizal Tahir, Saiful Apek, Fizo Omar, Wan Sharmilla, Shahz Jaszle dan ramai lagi! Kepada yang berani menyahut cabaran pasti akan masyuk… dengan duit.


Program Kids TV9 Sempena Aidilfitri 2011
Upin & Ipin : Rindu Opah – 29 Ogos 2011, 7.00malam
Upin & Ipin begitu bersemangat untuk menyambut kedatangan Syawal. Akan tetapi, tahun ini mereka akan beraya tanpa insan yang amat mereka sayangi. Apa yang akan berlaku pada Upin & Ipin? Bagaimana mereka menyambut Syawal pada tahun ini?

Chalkzone: The Big Blowout – 30 Ogos, 4.00 petang
Chalkzone: The Big Blowout akan menemui adik-adik pada Raya Pertama ini jam 4 petang di mana adik-adik dapat mengenali Ruby Tabotie, seorang kanak-kanak biasa namun dengan sebatang kapur ajaib, dia boleh memasuki ke dunia fantasi Chalkzone. Dalam dunia tersebut segala benda yang terconteng dan terpadam akan muncul sebagai benda hidup. Apakah benda atau makhluk yang akan muncul dalam Chalkzone bersama Ruby?

My Life as a Teenage Robot – 31 Ogos, 4.00 petang
Apabila anda adalah robot pada luaran tetapi seorang remaja biasa di jiwa, hidup seringkali menjadi tidak adil. Jenny atau XJ9 sudah letih dan penat untuk mengawasi Bumi. Dia lebih rela membuat aktiviti menarik seperti mengikuti perkembangan artis pop, membaca majalah remaja dan meluangkan masa bersama rakan-rakannya, Brad dan Tuck. Jika anda rasa hidup sebagai remaja adalah susah, cuba jadi 6 kaki dan diperbuat dari besi. Adakah Jenny akan dapat membahagikan masa untuk menyelamatkan dunia dan menghadiri prom?

iCarly: iGo to Japan – 1 September, 4.00 petang
Carly, Sam dan Freddie menerima satu jemputan ke majlis anugerah iWeb di Jepun apabila laman web iCarly dinominasikan untuk kategori komedi terbaik. Walaubagaimanapun, Puan Bendson tidak membenarkan anaknya, Freddie, untuk pergi sendirian, lalu dia dah Spencer ikut serta. Bayaran penerbangan hanya diberikan kepada krew iCarly, jadi Spencer dan Puan Benson telah mencari tranportasi yang lain iaitu satu kapal terbang yang akan dibawa oleg Freightdog dan diisi dengan opossi. Apabila kapal terbang itu tiba-tiba hendak mendarat di Korea, mereka telah terjun keluar dengan payung terjun.

Go, Diego, Go!: Tuga Helps the Moon – 2 September, 4.00 petang
Rancangan kartun ini akan menyaksikan hero dan penyu, Luna, mencari sebahagian dari bulan untuk memastikan dia dapat pulang ke rumahnya.

Spongebob Squarepants: Truth or Square – 3 September, 4.00 petang
Krusty Krab menyambut ulangtahunnya yang ke-117! Spongebob, Patrick, Squidward dan Mr. Krabs telah terkunci di dalam peti ais sebelum mempunyai peluang untuk menyambut ulangtahun itu. Semasa mencuba untuk cari jalan keluar dari peti ais itu, mereka telah mengingati kembali peristiwa-peristiwa manis yang pernah mereka lalui bersama. Sementara itu, Plankton mencari peluang untuk mencuri formula dan resepi rahsia Krabby Patty. Kita akan dapat melihat Spongebob ketika bayi, iklan pertama Krusty Krab, bagaimana Spongebob pertama kali menemui rumah nenasnya, Spongebob dan Sandy berkahwin dan Krabby Patty pertama Spongebob ketika ibunya masih mengandung.

Spongebob Squarepants: WhoBob WhatPants – 4 September, 4.00 petang
SpongeBob WhoBob WhatPants dan bergelak tawa dengan aksi dan keletah Spongebob pada jam 4.00 petang. Spongebob ingin menghabiskan masa bersama teman-temannya. Malangnya apabila semua orang mula melihatnya sebagai seseorang yang berperangai pelik, dia berkemas dan merancang untuk meninggalkan Bikini Bottom selamanya. Apakah yang mengganggu Spongebob sehingga terpaksa meninggalkan tempat asalnya itu?